Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, August 15, 2013

PILU ANAK MAUT MENJELANG SYAWAL



ROMPIN - Ketibaan Syawal kali ini bagi seorang peneroka di Felda Selendang 1 di sini dan keluarga cukup menghibakan kerana mereka bukan sahaja kehilangan rumah, malah anak yang dikasihi turut rentung dalam kejadian dua hari menjelang hari lebaran.

Abdullah Osman, 58, tidak menyangka kejadian menyayat hati itu menimpa keluarganya pada saat segala persiapan menyambut hari raya siap sepenuhnya.

"Selama ini hanya terbaca di akhbar dan menonton berita di televisyen mengenai kejadian sama menimpa orang lain, tetapi bila saya sendiri menghadapinya, saya terasa amat perit dan sukar untuk digambarkan.

"Sesiapapun akan bersedih terutama apabila kehilangan anak yang merupakan orang kurang upaya (OKU). Namun, saya reda dengan ketentuan-Nya dan takdir yang tertulis ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan daripada Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Abu Bakar Harun dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pahang, Datuk Johari Hussain di rumahnya yang terbakar di sini, semalam.

Terdahulu, pada 6 Ogos lalu, seorang remaja OKU, Mohd. Faizzudin Abdullah, 14, rentung selepas gagal diselamatkan selepas rumah mereka terbakar dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu di Felda Selendang 1 di sini.

Menurut Abdullah, anak kelima daripada lapan beradik itu tidak boleh berjalan tetapi mampu bergerak dengan cara mengesot menggunakan kedua belah tangannya.

"Ketika kejadian saya dan isteri, Zaimah Abdul Majid, 45, baru sahaja keluar dari rumah ke Mersing, Johor untuk servis kereta dan sempat berpesan kepada anak-anaknya supaya menjaga diri masing-masing.

"Kebiasaannya arwah akan berada di bahagian depan rumah tetapi entah bagaimana ketika kejadian arwah berada di biliknya," jelasnya sambil memberitahu dua anaknya turut berada di rumah ketika kejadian namun sempat menyelamatkan diri.

Sementara itu, menurut Abu Bakar, Abdullah sekeluarga kini ditempatkan di sebuah inap desa berhampiran tapak rumah mereka buat sementara waktu sehingga kediaman mereka siap sepenuhnya.

"Kerajaan negeri dan Felda akan berusaha membantu bagi meringankan beban mangsa termasuk menghulurkan sumbangan tokensebanyak RM5,000 dan RM10,000 bantuan bencana.

"Pihak Felda juga bersetuju mempercepatkan pinjaman berjumlah RM35,000 bagi membina rumah dengan segera di atas tapak asal," jelasnya.

0 comments:

share2