Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, August 15, 2013

PAYA TERBIAR MAMPU MENJANA PENDAPATAN



TEMERLOH - Jabatan Pertanian Pahang diminta membuat kajian menyeluruh terhadap 165 hektar sawah dan paya terbiar di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lanchang untuk dimajukan dengan projek ternakan ikan sebagai salah satu produk tarikan pelancong di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan dan Pelancongan negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin berkata, terdapat banyak paya dan sawah terbiar di dalam DUN Lanchang dipercayai sesuai untuk projek ternakan ikan air tawar atau sebagainya.

Menurutnya, projek tersebut jika dimajukan secara terancang akan menjadi satu lagi daya tarikan pelancong ke Pahang khususnya di daerah ini selain Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah (PKGKKG) dan Taman Deerland di Bukit Rengit, Lanchang.

"Saya yakin jika usaha itu direalisasikan, sudah tentu akan memberi manfaat besar kepada industri pelancongan selain meningkatkan pendapatan penduduk setempat.

"PKGKKG dan Taman Deerland yang terdapat di Lanchang berjaya menarik lebih 10,000 hingga 15,000 pelancong dalam dan luar negeri setiap minggu.

"Jika projek ternakan ikan itu diwujudkan, bilangan pelancong akan bertambah seperti temasya menangkap ikan air tawar di Paya Lanar, Lanchang yang berjaya menarik 2,000 pelancong tempatan mengambil bahagian dalam temasya tersebut yang diadakan setiap tahun," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di rumahnya di Taman Bahagia Permai di sini baru-baru ini.

Mohd. Sharkar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang berkata, kedua-dua kawasan terbabit amat sesuai dimajukan dengan projek ternakan ikan kerana mempunyai bekalan air yang mencukupi dan berhampiran dengan jalan raya serta mudah bagi pelancong untuk melawat.

Tambahnya, kerajaan negeri bersedia memberi kerjasama serta bantuan supaya paya dan sawah itu dimajukan dengan projek tersebut sebagai salah satu daya tarikan baharu pelancong ke negeri ini.

1 comments:

  • Anonymous says:
    August 15, 2013 at 9:52 PM

    Bilalah Temerloh nak pesat membangun?

share2