Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, June 6, 2013

PATUHI 7 WASIAT RAJA MELAYU


Kerajaan diminta melaksana dan memperkasa tujuh wasiat Raja-Raja Melayu supaya kepentingan serta hak keistimewaan orang Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan terjamin.

Pengarah Pusat Kajian Institut Raja Malaysia, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, langkah itu perlu diambil segera berikutan banyak kepentingan orang Melayu seperti tanah rizab Melayu, kedudukan bahasa Melayu dan agama Islam sebagai agama rasmi semakin terhakis.

Katanya, wasiat itu juga perlu diingatkan kembali kepada rakyat apatah lagi dengan perkembangan semasa yang turut memperlihat institusi diraja dipertikai pihak tertentu.

"Lihat bagaimana tanah rizab orang Melayu semakin mengecil dan kini tinggal kurang 30 peratus berbanding 50 peratus seperti yang terkandung dalam wasiat itu. Malah, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan juga telah mula berani dipertikai kaum lain yang sepatutnya tidak berlaku kerana perkara itu jelas terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merumuskan kertas kerjanya yang bertajuk '7 Wasiat Raja-raja Melayu: Satu analisis sejarah dan Perlembagaan Negara Malaysia' dalam Seminar Institusi Raja (SIRaj).

Beliau berkata, wasiat itu masih relevan dan akan terus diguna pakai kerana kesemua tujuh wasiat tersebut telah dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, sistem pentadbiran negara yang mengamalkan konsep raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen berjaya diadun dengan baik selama lebih 55 tahun.

"Perubahan perspektif mungkin berlaku kerana beberapa faktor seperti perubahan masa dan persekitaran. Namun, kedudukan pemerintahan beraja sebagai pengimbang kepada sistem pentadbiran dan pengurusan negara yang dipimpin rakyat akan terus kekal selagi Perlembagaan tidak diubah," katanya.

Sementara itu, Mufti Perak berkata "Seluruh rakyat khususnya orang Melayu digesa bangkit mempertahankan institusi raja yang kini berdepan ancaman daripada kelompok tertentu terutama selepas Pilihan Raya Umum Ke-13.

Tan Sri Harussani Zakaria berkata, Islam sendiri mengarahkan setiap umatnya mentaati raja dan adalah berdosa jika rakyat bertindak menderhaka termasuk menghasut orang ramai bangkit mengancam institusi raja.

"Apabila raja diancam, umat Islam wajib berjihad mempertahankannya apatah lagi dalam situasi di Malaysia," katanya semasa membentangkan kertas kerja bertajuk 'Islam dan Raja' pada Seminar Institusi Raja.

Dalam pada itu, seorang lagi ahli panel, Prof. Datuk Dr. Abdullah Zakaria Ghazali ketika sesi soal jawab memberitahu, adalah tidak mustahil untuk Malaysia bertukar menjadi negara republik.

Beliau yang juga pensyarah kanan Jabatan Sejarah Universiti Malaya mengambil contoh apa yang berlaku di Iran, Mesir dan Indonesia sebagai teladan tentang bagaimana negara tersebut bertukar daripada sistem beraja ke republik.

0 comments:

share2