Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, May 13, 2013

Timbalan KSU KBS Parah, Isteri Maut Nahas


Isteri kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Zaidon Asmuni maut dalam kemalangan di Kilometer 157.9 Lebuh Raya Utara-Selatan, dekat sini malam tadi.

Dalam kejadian pukul 11.40 malam itu, Zaidon, 57, patah tangan dan cedera di kaki manakala anak perempuan pasangan tersebut berusia 21 tahun dan anak lelakinya, 12 tahun cedera di bahagian badan.

Jenazah Datin Halimah Awaludin, 55, dihantar ke Hospital Tangkak di sini manakala Zaidon dan dua anak mereka menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di Muar.

Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris berkata, kejadian berlaku apabila kereta Proton Perdana V6 yang dinaiki empat beranak bersama pemandunya berusia 22 tahun itu hilang kawalan.

"Akibatnya, kereta berkenaan merempuh sebuah treler di hadapannya sebelum berpusing dan melanggar pembahagi jalan. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala yang lain cedera.

"Namun pemandu kereta itu dan pemandu treler berkenaan tidak mengalami kecederaan. Dipercayai keluarga Zaidon ketika itu dalam perjalanan dari Putrajaya ke Batu Pahat," katanya.

Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim, sempat meluangkan masa melawat Zaidon dan anak-anaknya di HPSF pagi semalam, bagi memberi kata-kata semangat.

Turut menziarahi Zaidon adalah Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. 

0 comments:

share2