Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, May 16, 2013

Masalah Kemiskinan Sentiasa Ditangani


Kerajaan negeri mempunyai strategi yang tersusun bagi membangunkan kampung-kampung tradisional di pinggir Sungai Pahang dan Sungai Tembeling di daerah ini untuk dimajukan menerusi sektor pertanian dan pelancongan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, langkah ini bertujuan membantu mengubah kehidupan penduduk yang berpendapatan rendah dan menghapuskan saki baki kemiskinan berasaskan transformasi pembangunan bidang tertentu.

Beliau berkata, agensi seperti Felcra, Jabatan Pertanian dan Jabatan Perikanan akan membantu penduduk yang mempunyai tanah terbiar untuk melaksanakan projek perladangan getah, kelapa sawit, tanaman kontan dan ternakan ikan air tawar bagi menambah pendapatan mereka.

"Selain bagi meningkatkan pendapatan penduduk, pada masa sama kita mahu menarik golongan belia kembali ke kampung masing-masing,".

Menurut beliau, kerajaan menyediakan kemudahan asas di kampung tradisional di pinggir sungai berkenaan dengan membina jalan raya dan jeti untuk keselesaan petani memunggah hasil kampung ke bandar Jerantut dan tempat pengumpulan hasil pertanian.

"Tanggungjawab sosial kerajaan BN telah diterjemahkan sejak sebelum dan selepas pilihan raya umum yang lepas dengan membina banyak projek kemudahan asas membabitkan kos yang tinggi di kampung-kampung tradisional," ujarnya.

Justeru, kata Ahmad Shukri, usaha itu akan diteruskan berasaskan Aku Janji Barisan Nasional (BN) setelah rakyat memberi mandat sekali lagi kepada BN untuk meneruskan pemerintahan negeri ini.

"Usaha murni kerajaan BN negeri menerusi pelbagai program telah terbukti apabila kemiskinan tegar berjaya dikurangkan sehingga tiga peratus sahaja sejak dua tahun lepas.

"Bagi DUN Pulau Tawar, Projek Perumahan Masyarakat Setempat (PPMS) di Bukit Rang di sini iaitu penempatan sebanyak 100 keluarga miskin telah terbukti mengubah pendapatan peserta dan kini mereka bebas daripada belenggu berkenaan,".

Kerajaan BN juga telah merancang membahagikan lot tanah di Bukit Rang dan kampung tradisional lain untuk belia berkeluarga membina rumah dan memudahkan mereka menumpukan perhatian kepada bidang pertanian dan usahawan sebagai sumber pendapatan.

Tambahnya, usaha membina penempatan setempat untuk Orang Asli di DUN Pulau Tawar telah dan akan dilaksanakan oleh kerajaan di samping membabitkan penyertaan aktif golongan minoriti di sini dalam sektor pertanian dan pendidikan.

0 comments:

share2