Lebih ramai pemimpin DAP kini semakin 'berani' tampil menggesa pengundi menolak Pas dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) berikutan kedegilan parti itu mahu mewujudkan negara Islam.
Ketua Cawangan DAP Bagan Luar, G. Asoghan berkata, Pas tidak sensitif terhadap penolakan bukan Islam yang 'bermati-matian' menentang agenda penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud di negara ini.
Menurut beliau, sejak Mac 2008, Pas juga membawa banyak polisi bertentangan dengan hak masyarakat bukan Islam di Kelantan, Kedah dan Selangor seperti mengehadkan lesen menjual arak, menentang pembinaan panggung wayang dan orang bukan Islam yang berdua-duaan disaman atas tuduhan berkhalwat.
"Semua dasar ini menyebabkan kami hilang keyakinan dengan Pas, malah pemimpin-pemimpin cawangan DAP seluruh Pulau Pinang berikrar menolak Pas dalam pilihan raya umum kali ini.
"Sehubungan itu, saya mohon semua pengundi bukan Islam di seluruh negara tidak mengundi mana-mana calon Pas,".
Beliau mengulas gesaan Timbalan Pengerusi DAP Johor, Norman Fernandez supaya rakyat negeri itu khususnya pengundi bukan Islam menolak Pas memandangkan mereka dilihat tidak konsisten dalam pendirian melaksanakan hukum hudud.
Dalam pada itu, Asoghan yang bertanding atas tiket Bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Dalam berkata, beliau kecewa dengan sikap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkan 'talam dua muka' kerana tidak pernah konsisten dengan pelaksanaan hukum hudud.
"Gesaan Norman dan Pengerusi DAP, Karpal Singh supaya Anwar menyatakan pendirian terhadap hukum hudud dan penubuhan negara Islam adalah satu tindakan betul.
"Malaysia sebuah negara sekular yang ada undang-undang sivil di bawah Perlembagaan Persekutuan dan hukum hudud tidak disebut dalam Perlembagaan. Kita tidak patut mempunyai 'ideologi' berbeza dalam pakatan pembangkang jika mahu tawan Putrajaya," katanya.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa DAP Kedah, S. Neelamekan turut menggesa pengundi bukan Islam menolak Pas sehingga parti tersebut menyatakan pendirian menggugurkan hasrat mewujudkan negara Islam.
Jelasnya, sikap Pas yang begitu konsisten mahukan pentadbiran Islam tidak memberi kelebihan kepada pakatan pembangkang dan harus dihentikan segera.
"Pendirian Pas melaksanakan hukum hudud adalah sungguh 'menyakitkan' dan tidak seharusnya disokong.
"Walaupun kami bekerjasama dengan Pas dan mempunyai impian menubuhkan kerajaan baharu, namun saya tidak akan sesekali mengundi 'calon Pas'," ujarnya.
DAP Perak hari ini juga membuat penegasan sama dengan alasan pelaksanaan undang-undang itu tidak ada dalam agenda pakatan pembangkang.
Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham menegaskan, agenda penubuhan negara Islam serta pelaksanaan hukum hudud tidak akan dilaksanakan walaupun pakatan pembangkang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini.
Menurutnya, perkara tersebut jelas dipersetujui oleh Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam konvensyen pakatan pembangkang di Shah Alam, Selangor pada 2009.
"Dalam konvensyen itu, ketiga-tiga parti telah bersetuju bahawa kalau pakatan pembangkang menjadi kerajaan, tiga dokumen akan menjadi panduan iaitu Perlembagaan Persekutuan.
"Kedua manifesto polisi bersama pakatan pembangkang dan dokumen ketiga ialah buku jingga yang menyenaraikan semua projek dan program yang akan dilaksanakan,"
0 comments:
Post a Comment