Nama YUKTES VIJAY hanya diketahui ramai setelah pemuda berusia 25 tahun itu menulis dua surat terbuka kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bulan lalu.
Kandungan surat-surat itu yang antaranya disiarkan oleh blog AIDC (http://www.anwaraidc.com) memang mengejutkan kerana cerita-cerita dalaman berhubung kes liwat membabitkan bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd. Saiful Bukhari Azlan turut didedahkan.
Lebih mengejutkan, Yuktes yang pernah berkhidmat sebagai pembantu kepada peguam yang mengendalikan kes tersebut, Sankara Nair, mengakui beliau sangat mengagumi Anwar yang dianggap sebagai idolanya.
Yuktes sekarang menyatakan penyesalannya kerana membiarkan dirinya terpedaya dengan karisma Anwar.
Matlamat perjuangannya kini adalah untuk memastikan rakyat Malaysia tidak melakukan kesilapan yang serupa. Tegas Yuktes, beliau tidak mahu melihat Anwar dilantik menjadi Perdana Menteri.
Bilakah saudara mula bertemu dengan Anwar?
YUKTES: Tiga minggu selepas saya bekerja dengan Sankara Nair. Lokasinya di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, kes saman fitnah Anwar terhadap Dr. Mahathir. Saya memang sangat gembira. Maklumlah, dapat berjumpa dengan idola saya buat kali pertama. Malah, saya bercita-cita ingin menjadi seperti Anwar. Beliau kata ingin membawa reformasi di negara ini dan melawan korupsi. Saya pun percaya kata-kata Anwar. Siapa yang tidak suka kalau ada orang yang ingin membawa kebaikan untuk negara kita.
Pada perjumpaan pertama itu, saya dapati Anwar seorang yang mudah mesra. Soalan pertama yang beliau tanya ialah berapa umur saya. Saya pun memberitahu Anwar umur saya 22 tahun. Kemudian, beliau tanya sama ada saya sudah mengisi borang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetapi saya jawab tidak berminat dalam bidang politik kerana ingin menjadi seorang peguam.
Kembali kepada kisah saya bekerja dengan Sankara Nair. Saya tidak merungut sedikit pun sebab saya rasa seperti sangat beruntung kerana didedahkan dengan kes yang paling besar dan berprofail tinggi di Malaysia pada masa itu. Saya baru sahaja tamat pengajian. Jadi, mengapa saya perlu merungut? Semua kawan-kawan saya mahu berada di tempat saya.
Ketika saya mula menghadiri perbicaraan kes itu di mahkamah, Mohd. Saiful Bukhari telah selesai memberi keterangan. Berdasarkan keterangan Mohd. Saiful Bukhari dan nota-nota mahkamah, saya mendapati ada sedikit persamaan antara kami berdua. Mohd. Saiful Bukhari memberitahu mahkamah, Anwar ialah idolanya. Anwar pun idola saya ketika itu. Pada masa itu saya amat membenci Mohd. Saiful Bukhari kerana beliau cuba mencaci idola saya. Perasaan saya terhadap Anwar boleh diibaratkan seperti perasaan seorang peminat terhadap selebriti pujaannya. Apa sahaja yang Anwar kata, saya percaya. Secara jujur, saya amat membenci akhbar Utusan Malaysia dahulu. Sekiranya saya dapati nasi lemak dibungkus dengan akhbar Utusan Malaysia, saya pasti tidak akan membelinya.
Bagaimana saudara tersedar dengan tembelang Anwar?
YUKTES: Kesangsian terhadap Anwar timbul pada 21 Mac 2011. Saya pasti 100 peratus kerana itu tarikh lahir saya. Kira-kira pukul 2 petang, Sankara Nair memasuki pejabat dan mengajak saya ke rumah Anwar di Segambut Dalam. Di dalam kereta, Sankara Nair memberitahu, beberapa orang kenamaan bergelar Datuk sedang menayangkan video seks kepada sekumpulan wartawan di Hotel Carcosa Seri Negara. Pada masa itu, saya tidak tahu apa yang berlaku kerana tidak mendengar sebarang berita pun. Tiada laporan tentang perkara itu oleh MalaysiaKini.
Tiba di rumah Anwar, saya lihat isterinya yang juga Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Naib Presiden PKR, Tian Chua; Setiausaha Akhbar Anwar, Ikmal Ahmad; pemimpin PKR, R. Sivarasa dan dua lagi individu yang saya tidak kenali berkumpul di sebuah bilik. Kalau tidak silap, pada masa yang sama, kumpulan wartawan yang pertama sedang menonton video seks di Hotel Carcosa Seri Negara. Lima minit kemudian, Anwar memasuki bilik itu dengan memakai singlet dan kain sarung. Beliau duduk di kerusi dan saya seterusnya menyatakan rasa simpati terhadap beliau dan berjanji akan mempertahankan namanya.
Kami berbincang bagi mencari alasan bagi menafikan dakwaan yang bakal timbul susulan penayangan video seks itu. Salah satu alasan yang dicadangkan adalah video seks tersebut direka menggunakan teknologi CGI (computer-generated imagery). Saya beritahu Anwar, alasan ini sukar diterima kerana penghasilan klip video berdurasi 15 minit menggunakan teknologi CGI memerlukan perbelanjaan yang besar. Anwar kata UMNO ada banyak duit. Semasa berbincang, kami juga mencipta alasan kononnya lelaki dalam video seks itu memakai topeng. Seperti yang dipraktikkan dalam filem Hollywood. Namun, buat pertama kalinya, saya rasa kurang senang dengan Anwar. Saya berkata di dalam hati, tiada siapa yang tahu lelaki di dalam video itu ialah Anwar. Mengapa beliau panik?
Apa reaksi Anwar ketika itu?
YUKTES: Bila dalam keadaan resah, Anwar akan menggerakkan jari-jari tangannya. Saya melihat situasi yang sama berlaku dan muka beliau kelihatan resah. Dalam keadaan normal, riak wajah Anwar ceria dan peramah. Setelah kumpulan kedua dibawa masuk menonton video seks di Hotel Carcosa Seri Negara, timbul desas-desus mengatakan seorang pemimpin pakatan pembangkang terlibat. Tetapi, sesiapapun boleh dikaitkan. Boleh jadi Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar atau Penasihat DAP, Lim Kit Siang. Mengapa Anwar harus panik. Saya tidak fikir Kit Siang akan panik setelah mendengar desas-desus itu. Saya pun hairan. Anwar seorang yang rasional dan bijak. Mengapa Anwar panik disebabkan oleh video yang beliau sendiri tidak pernah menontonnya?
Saya masih ingat lagi kami dihidangkan teh dan karipap oleh Dr. Wan Azizah. Selepas sejam berada di rumah tersebut, saya perasan Dr. Wan Azizah berbisik kepada Anwar, Bang, jam tak ada." Pada masa itu, saya tidak tahu apa yang dimaksudkan oleh Dr. Wan Azizah. Saya terdengar Anwar seolah-olah berkata, Tak apa, tak apa, tak apa." Tidak lama kemudian, saya kembali ke pejabat dan imej video tersebut mula tersebar. Sankara Nair memberitahu saya, isu itu masih belum membabitkan soal perundangan dan kami tidak perlu masuk campur kerana akan diuruskan oleh budak-budak politik. Sebelum keluar dari rumah, saya terdengar mereka membuat perancangan berkaitan dengan perut buncit. Semasa Anwar menunjukkan perutnya dahulu, beliau masih memakai baju. Namun, semasa di rumah Anwar pada 21 Mac 2011, saya nampak perutnya memang buncit. Kesangsian saya terhadap Anwar semakin bertambah.
Saya semakin ragu apabila Datuk Shazryl Eskay Abdullah membuat kenyataan meminta Anwar menjelaskan di manakah jam tangan Omega. Saya kaitkan kenyataan Shazryl Eskay itu dengan bisik-bisik di antara Dr. Wan Azizah dan Anwar. Pada masa itu, kelihatan seperti masuk akal. Bagaimanapun, saya tidak berfikir panjang tentang perkara itu. Saya fikir, setiap lelaki ada keperluannya sendiri, jadi apa masalahnya. Saya tahu perbuatan yang ditunjukkan dalam video seks itu salah mengikut Islam tetapi saya anggap itu perkara biasa. Saya pun tidak kisah. Pada masa yang sama, perbicaraan kes tuduhan Anwar meliwat Mohd. Saiful Bukhari sedang berjalan.
Mengikut pemerhatian saudara, bagaimana sikap Anwar semasa perbicaraan kes itu?
YUKTES: Beliau selalu berdolak-dalik. Isu laporan perubatan oleh Pusat Rawatan Islam (Pusrawi) merupakan salah satu contoh. Anwar kata laporan itu bermasalah kerana tidak diisi dengan betul. Saya bukan peguam tersohor seperti Karpal Singh tetapi secara logiknya, kita seharusnya memanggil individu yang mengisi borang itu ke mahkamah. Lebih mudah untuk membuat pengesahan dengan individu terbabit. Sebaliknya, Anwar mendesak supaya Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah digantikan dengan hakim yang lain. Tiga kali Anwar mengemukakan permohonan menukar hakim. Mengapa Anwar berbuat demikian? Pada masa itu, situasi perbicaraan seperti memihak kepada pihak pembelaan. Saya kemudiannya menyedari semua itu hanyalah permainan Anwar. Itulah sebabnya perbicaraan kes tersebut memakan masa paling lama dalam sejarah Malaysia. Tiga tahun lebih. Semua orang sangka perbicaraan itu konspirasi UMNO dan Barisan Nasional (BN). Sebenarnya, tidak. Bagaimana keadaan itu boleh berlaku? Ia disebabkan tindakan Anwar memfailkan sebanyak 56 permohonan dan rayuan di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan.
Anwar juga pernah menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terlibat dalam konspirasi kes liwat Mohd. Saiful Bukhari. Saya mula sedar kes itu bukan satu konspirasi apabila pihak pembelaan menyoal ibu angkat Mohd. Saiful Bukhari, Datuk Mumtaz Jaafar. Mumtaz memberitahu, beliau tidak mahu membawa Mohd. Saiful Bukhari berjumpa dengan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor. Jadi, Mumtaz membawa Mohd. Saiful Bukhari bertemu Pegawai Khas Najib, Khairil Anas Yusof untuk membuat temu janji.
Semasa perbicaraan, saya masih kurang jelas apa yang sebenarnya berlaku. Setelah bekerja di pejabat penyandang kerusi Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan, baru saya tahu. Katakan ada seorang pemuda ingin berjumpa Kamalanathan berhubung permohonan biasiswa dan saya mengaturkan temu janji antara mereka berdua. Namun, sekiranya pemuda itu mengemukakan masalah lain dalam pertemuan itu, Kamalanathan tidak bersalah. Begitu juga dengan Najib. Beliau tidak tahu tentang masalah sebenar Mohd. Saiful Bukhari. Najib yang pada masa itu Timbalan Perdana Menteri bertemu Mohd. Saiful Bukhari atas temu janji diatur Pegawai Khasnya. Selepas Mumtaz disoal siasat, baru saya tahu penglibatan Najib di dalam kes Mohd. Saiful Bukhari adalah secara tidak langsung. Sebagai graduan undang-undang, saya percaya dengan apa yang saya lihat. Memang tiada langsung bukti yang membabitkan Najib dalam konspirasi seperti yang didakwa Anwar.
Kami juga menerima maklumat Timbalan Ketua Polis Pahang sekarang, Datuk Mohd. Rodwan Mohd. Yusof (pada masa itu berpangkat Asisten Suprintendan) pernah mengadakan pertemuan dengan Mohd. Saiful Bukhari di sebuah hotel di Shah Alam, Selangor. Jadi, kami fikir kes ini satu konspirasi. Anwar juga begitu yakin beliau akan dipenjarakan. Katanya, cemarkan nama BN sebanyak yang mungkin.
Saya juga meragui hujah-hujah yang dikemukakan Anwar bagi menjelaskan sebab beliau berada di Kondominium Desa Damansara yang dikatakan sebagai lokasi kejadian liwat terhadap Mohd. Saiful Bukhari. Anwar kata tujuannya berada di kondominium itu adalah untuk berjumpa pakar ekonomi. Fakta itu tidak pernah dibuktikan. Masalahnya, terdapat rakaman video menunjukkan dua lelaki Cina masuk ke dalam kondominium tetapi apabila Mohd. Saiful Bukhari masuk, dua lelaki terbabit telah keluar. Kami di pihak pembelaan mencari jalan untuk menafikan Mohd. Saiful Bukhari berada di dalam bilik bersama Anwar. Jadi, saya menyamar sebagai ejen hartanah dan dibenarkan masuk ke kondominium terbabit setelah memberi kata laluan Mokhtar kepada pengawal keselamatan. Timbul idea pada masa itu. Saya lihat ada kamera litar tertutup (CCTV) yang merakam pergerakan keluar dari lif tetapi tiada CCTV yang merakam pergerakan masuk ke dalam kondominium. Undang-undang sebenarnya berkait rapat dengan aspek teknikal. Dengan memanipulasi aspek teknikal, kami telah berjaya mencipta keraguan munasabah. Mohd. Saiful Bukhari memang berada di dalam kondominium tetapi tiada bukti menunjukkan beliau berada di dalam bilik yang sama dengan Anwar.
Walaupun berjaya mencari jalan untuk membantu Anwar, rasa sangsi terhadap idola saya itu masih ada. Saya sering ponteng kerja. Namun, saya sering berkata kepada diri sendiri, Apa masalahnya kalau kita ada seorang Perdana Menteri yang biseksual?'' semata-mata untuk menyedapkan hati. Saya juga semakin kurang rapat dengan Anwar. Semasa menyaksikan perbicaraan kes Anwar dituduh meliwat Mohd. Saiful Bukhari, saya selalu duduk di bahagian belakang dan tidur. Keluarga saya pun mula menghadapi masalah kewangan. Saya terpaksa meminjam duit daripada kawan-kawan. Ada di antara mereka yang mencaci saya tetapi saya tidak tergamak memberitahu mereka, saya tidak dibayar gaji walaupun bekerja untuk Anwar. Ironinya, semua kawan-kawan saya itu merupakan penyokong pakatan pembangkang.
Difahamkan saudara telah menulis tiga surat terbuka kepada Anwar setakat ini. Dari surat-surat itu, dapat diandaikan saudara seperti membenci Anwar. Apakah punca yang menyebabkan saudara berubah hati terhadap beliau?
YUKTES: Kebencian terhadap Anwar yang pernah saya jadikan idola timbul selepas demonstrasi Bersih 3.0 di Kuala Lumpur tahun lalu. Untuk makluman, saya turut menyertai demonstrasi itu. Saya berada di sekatan polis paling hadapan yang memisahkan peserta demonstrasi dan Dataran Merdeka. Kira-kira pukul 5 petang, saya ternampak sekumpulan ahli-ahli Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menendang sekatan polis. Petugas-petugas Unit Amal Pas cuba menghentikan perbuatan itu tetapi ahli-ahli SAMM terus melakukannya.
Selepas itu, pihak polis mula bertindak. Saya juga nampak Tian Chua berdiri berhampiran sekatan polis. Dalam suasana yang agak kecoh itu, saya terlihat pihak polis cuba menahan seorang lelaki manakala seorang wanita yang dipercayai kenalan lelaki itu cuba menghalang. Tanpa membuang masa, saya cuba menyelamatkan wanita terbabit. Kemudian, berlaku pergelutan antara saya dan beberapa anggota polis dan akhirnya saya terlantar di hadapan perkarangan Kelab Diraja Selangor.
Ketika itu, saya dapat melihat wajah sebenar Tian Chua. Beliau tahu saya bekerja untuk siapa. Sebagai seorang manusia, Tian Chua sekurang-kurangnya akan berdiam diri atau memberi saya minum air. Sebaliknya, Tian Chua terus memberi ceramah secara spontan dan mengaitkan saya sebagai mangsa keganasan polis. Tian Chua tergamak menjadikan saya sebagai bahan untuk berceramah. Kecederaan yang saya alami agak parah dan saya dirawat di Hospital Kuala Lumpur selama empat hari. Semasa terlantar menahan kesakitan di hospital, tidak pernah walau sekali pun Anwar melawat saya atau menghubungi saya untuk bertanya khabar. Saya semakin geram dengan perangai Anwar setelah melihat rakaman video di YouTube yang menunjukkan beliau memberi isyarat tangan kepada peserta demonstrasi untuk merempuh sekatan polis. Saya tahu peserta demonstrasi tidak akan bertindak begitu sekiranya tiada arahan daripada Anwar dan saya tahu arahan itu memang salah.
Sivarasa pernah menghubungi saya sebaik sahaja keluar dari hospital. Pada mulanya, saya gembira kerana masih ada pemimpin PKR yang prihatin dengan nasib saya. Namun, kegembiraan itu pudar apabila Sivarasa meminta saya menghadiri Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Majlis Peguam tentang Bersih 3.0 pada 11 Mei 2012. Sivarasa mahu saya mengumumkan bahawa saya dipukul anggota polis kerana membantu Anwar. Saya amat kesal dengan Sivarasa kerana saya ditangkap bukan atas sebab itu. Memang saya salah kerana menghalang tugas polis menahan peserta demonstrasi. Saya tidak menghadiri EGM Majlis Peguam itu setelah Sankara Nair menasihatkan saya tidak perlu melakukan seperti yang diminta Sivarasa.
Mungkin ada pihak yang menuduh saudara menulis surat-surat terbuka itu atas motif politik.
YUKTES: Tiada motif politik langsung. Memang saya bekerja dengan Kamalanathan sejak September 2012 tetapi beliau tidak tahu langsung tentang surat-surat yang saya tulis. Kamalanathan hanya tahu setelah membaca surat-surat yang disiarkan portal berita Free Malaysia Today. Saya mengagumi Kamalanathan setelah melihat sendiri keikhlasan beliau berkhidmat untuk rakyat. Kamalanathan ialah imej seorang ahli politik yang saya ingin lihat pada diri Anwar. Malangnya, Anwar lebih banyak berpolitik daripada membantu rakyat.
Mengapa saya berani menulis surat terbuka kepada Anwar? Saya tidak mahu negara ini hancur sekiranya Anwar dilantik menjadi Perdana Menteri. Saya tidak faham kenapa masih ada orang yang percaya dengan janji-janji kosong Anwar hendak turunkan harga minyak, hapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan turunkan tol. Saya bukan pakar ekonomi tetapi bila Anwar kata keuntungan Petronas kira-kira RM70 bilion setahun akan digunakan untuk menampung kos subsidi, ia seperti tidak logik. Bila harga minyak diturunkan, sudah tentu keuntungan Petronas semakin menyusut, bukan RM70 bilion lagi. Saya berani bertaruh, Anwar tidak akan menunaikan semua janjinya sekiranya beliau mengambil alih pentadbiran negara.
Saya juga bosan dengan sikap Anwar apabila diasak dengan soalan-soalan berkaitan skandalnya oleh pihak media. Dalam isu video seks, saya tidak faham mengapa Anwar tunjukkan perutnya kepada orang ramai. Langkah terbaik adalah tunjukkan jam tangan Omega sekiranya beliau masih menyimpannya.
0 comments:
Post a Comment