Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, April 30, 2013

Peneroka Felcra Sri Makmur Terima Geran


PEKAN - Sebanyak 186 peserta Felcra Sri Makmur 1 dan 2, dekat sini bersyukur apabila menerima geran hak milik tanah masing-masing.

Penyerahan geran tanah seluas 3.24 hektar kepada setiap peneroka berkenaan disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob pada satu majlis di sini semalam.

Peneroka Felcra Sri Makmur 1, Mohd Yusuf Unus, 70, amat gembira dengan penyerahan geran tanah itu yang ditunggu lebih 40 tahun.

"Buat masa ini tanah tersebut ditanam kelapa sawit dan saya menerima imbuhan RM600 setiap bulan selain dividen yang diberi Felcra empat kali setahun," katanya ketika ditemui Bernama selepas majlis tersebut.

Mohd Yusof Awang Hussin, 71, yang menyertai Felcra Sri Makmur 2 pada 1973, turut berkongsi kegembiraan itu berkata beliau merasa lega selepas menunggu sekian lama janji pihak Felcra akhirnya ditepati dengan pemberian geran tersebut.

"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada pihak Felcra atas penyerahan geran tanah ini...saya akan terus mengusahakan tanaman kelapa sawit ini yang telah banyak membawa pulangan buat saya dan keluarga," katanya sambil menambah seorang daripada enam anaknya juga peneroka Felcra.

Adnan ketika berucap pada majlis itu menasihatkan peneroka mengusahakan sendiri tanah milik mereka dan tidak menggadai atau menjualnya kepada pihak ketiga.

Katanya, tanah berkenaan sepatutnya menjadi sumber rezeki dan diwariskan kepada generasi kedua untuk memastikan pembangunan dirancang kerajaan di kawasan berkenaan dapat diteruskan.

"Adalah menjadi harapan kerajaan untuk memastikan semua warga peneroka dapat terus menikmati hasil daripada usaha mereka mengerjakan ladang Felcra... yang sebelum ini bukan milik mereka.

"Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab...untuk membuktikan kita ini kerajaan yang menetapi janji, hari ini kita serahkan surat hak milik kepada peneroka Felcra Sri Makmur 1 dan 2, seperti dijanjikan sebelum ini," katanya.

Turut hadir Ahli Lembaga Pengarah Felcra Datuk Abdul Fattah Abdullah. - Bernama

0 comments:

share2