Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang didakwa bertanggungjawab menyediakan kertas panduan bagi menegaskan pendirian pakatan pembangkang yang membenarkan kalimah Allah digunakan oleh bukan Islam.
Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Abdul Hadi diberi peranan itu bagi memastikan tiada percanggahan berhubung isu berkenaan dalam pakatan pembangkang.
Menurut beliau, Abdul Hadi telah menyediakan draf kertas panduan tersebut dengan berpandukan hujah panjang yang diterangkan oleh ulama-ulama besar.
"Nabi Muhammad pesuruh Allah, bin Abdullah itu nama digunakan sebelum Nabi menerima wahyu yang bermakna nama itu digunakan sebelum Islam, itu kenyataan pertama.
"Saya bawa draf yang dipersetujui oleh PKR beri kepada DAP, di mana yang timbul masalah, setuju bentang dalam mesyuarat minta Abdul Hadi baca dan kita luluskan.
"Di mana kita hina Allah? Di mana kita tunduk kepada kehendak DAP atau Cina atau Kristian? Ini fitnah," katanya ketika berucap sebelum mengumumkan calon-calon PKR di Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-13 di padang bola sepak AU2, Keramat di sini malam tadi.
Turut hadir Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.
Anwar dalam ceramahnya di Kota Bharu, Kelantan pada 26 Februari lalu pernah mendedahkan, kenyataan bersama pemimpin pakatan pembangkang yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain itu disediakan dan ditandatangani oleh Abdul Hadi.
Pada 8 Januari lalu, Abdul Hadi mengumumkan pendirian pakatan pembangkang yang menyatakan Islam tidak menghalang penganut agama lain menggunakan kalimah Allah dalam amalan mereka walaupun tidak mencapai maksud asal bahasa al-Quran.
Bagaimanapun, Majlis Syura Ulama Pas memutuskan kalimah Allah khusus untuk agama Islam dan tidak boleh digunakan penganut agama lain berikutan bantahan banyak pihak termasuk golongan alim ulama.
Keputusan Majlis Syura itu bagaimanapun tidak diterima oleh Pengerusi DAP, Karpal Singh yang menyifatkannya tidak mewakili suara majoriti dalam Pas serta menggesa Abdul Hadi meminta badan tertinggi Pas itu mengkaji semula keputusan tersebut.
Anwar menambah, ketetapan pakatan pembangkang yang dirangka oleh Abdul Hadi itu tidak mengizinkan kalimah Allah dipermainkan, digunakan dengan maksud merendah atau menghina atau merosakkan makna.
0 comments:
Post a Comment