Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, March 13, 2013

Serangan Lahad Datu Buka Mata Semua - PM


Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu disifatkan sebagai peristiwa yang bukan sahaja membuka mata kerajaan malah seluruh rakyat Malaysia terutama penduduk Sabah.

Perdana Menteri berkata, dalam keadaan Malaysia yang telah mengecapi keamanan sejak sekian lama peristiwa itu sememangnya telah memberi satu bentuk pengajaran iaitu betapa pentingnya usaha meningkatkan persiapan bagi menghadapi ancaman luar.

Sambil menegaskan bahawa kerajaan tidak akan memandang ringan tentang soal keselamatan beliau berkata, pasukan keselamatan akan terus diberikan latihan yang terbaik selain dilengkapi dengan peralatan lebih canggih supaya mereka lebih bersedia jika berlaku kejadian seperti itu.

''Saya rasa kita telah menikmati suasana aman dan stabil yang cukup lama di Malaysia iaitu selepas pihak komunis meletak senjata pada tahun 1989. Mulai saat itu Malaysia dilimpahi suasana aman dan stabil dalam tempoh yang begitu panjang.

''Oleh itu kejadian ini (serangan di Lahad Datu dan Semporna) merupakan ancaman luar dan kita perlu menanganinya. Jadi jika kami membuat keputusan menambah perbelanjaan untuk pertahanan dan keselamatan, jangan pula rakyat mempertikaikannya pula,'' katanya dalam program "Conversation with the PM" melalui TV3 malam ini.

Najib berkata, rakyat perlu melihat langkah itu sebagai satu usaha untuk melindungi keselamatan, kedaulatan serta integriti wilayah negara.

Dalam perkembangan sama, beliau sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal berkaitan keselamatan, kedaulatan dan integriti wilayah Malaysia.

Untuk itu Perdana Menteri berkata, kerajaan akan melakukan sedaya upaya bagi memastikan rakyat Malaysia tanpa mengira di mana mereka berada di negara ini, berasa selamat serta terjamin.

''Selain itu langkah ini juga adalah untuk memastikan masa depan mereka juga dipelihara oleh pihak kerajaan.

Menyentuh perkara sama beliau berkata usaha menjamin keselamatan negara bukan sahaja menjadi tanggungjawab pasukan keselamatan dan kerajaan tetapi juga semua rakyat Malaysia melalui peranan masing-masing.

''Antaranya memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada kerajaan serta pasukan keselamatan kita,'' ujarnya.

Mengulas dakwaan media asing bahawa pengganas Sulu bertindak demikian kerana dihasut pihak tertentu di Filipina, termasuk mereka yang menentang presidennya, Najib berkata:

''Apabila saya bercakap dengan Presiden (Benigno) Aquino, beliau memberitahu saya bahawa pihak mereka akan memulakan siasatan. Sebenarnya, beliau membuat kenyataan yang sungguh menarik iaitu mereka terdiri daripada golongan yang agak miskin.

''Sudah tentu mereka tidak memiliki kemampuan untuk melancarkan operasi seperti itu terhadap Malaysia. Oleh itu, beliau berpendapat mereka mendapat pembiayaan dari tempat lain.

''Apa yang disyaki itu nampaknya mempunyai asas yang cukup kuat, tapi kita perlu membuat siasatan dan bukti yang secukupnya perlu diperoleh sebelum kita boleh menuding jari kepada sesiapa,'' katanya lagi.

1 comments:

  • Unknown says:
    March 13, 2013 at 9:22 AM

    Sekarang kita sudah tahu siapa siapa kawan dan siapa musuh & pengkhianat bangsa.

share2