Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, March 13, 2013

PENDEDAHAN WARTAWAN TENTANG ANWAR IBRAHIM



SEJAK menjadi wartawan profesional (sepenuh masa) lebih 24 tahun lalu, saya terlalu banyak bergelumang dengan politik. Saya dikelilingi oleh orang politik yang berbagai warna dan corak.

Maka itu kami sudah tidak hairan dengan permainan sepak-terajang, auta, silap mata dan sandiwara politik.

Namun, sepanjang kerjaya itu jugalah Anwar Ibrahim dilihat sebagai pemain yang cukup hebat. Permainan beliau cukup dengan muslihat yang licik. Permainannya sukar dikesan. Namun para wartawan cukup arif dengan pergerakan beliau.

Semasa "pemerintahan" beliau selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia dahulu, rata-rata kalangan wartawan seusia dan sezaman dengan saya ketika itu cukup "tidak begitu gemar dengan beliau".

Setiap kali duduk di meja minum, tiada perkara lain yang digossipkan, kecuali mengenai si Anwar ini. Pendek kata, semasa beliau dalam Kabinet lagi, kami para wartawan sudah mula menggossipnya. Ada sahaja yang tidak kena dengan gelagat si Anwar ini, baik dari segi perwatakannya, sikapnya, cara menovering-nya, penguasaannya terhadap "bos-bos" media kami, mengenai lingkungan sahabat-sahabat kroninya dan pelbagai lagilah.

Beliau dilihat cukup rakus dan kemudian kelihatan gelojoh. Cara hidupnya berubah sekelip mata daripada corak ABIM kepada korporat. Kroni-kroninya juga turut berubah.

Setiap kali minum teh tarik di atas meja (pada masa itu), ada sahaja kami mengata mengenai beliau. Ia termasuklah mengenai cara beliau berucap. Berbunga-bunga dan berfalsafah sehinggalah kami tidak faham apa yang mahu diucapkan.

Selepas beliau dipecat, maka terserlah lagi sikap beliau yang sebenar. Warna-warna sebenar kulit Anwar sudah terjelma. Terus-terang kami katakan itulah sebenarnya Anwar Bin Ibrahim. Beliau lebih licik lagi.

Beliau suka berdrama. Beliau suka berteater. Beliau suka bersyair. Beliau suka berpuisi. Sehingga dalam hal-hal realiti pun beliau suka bersandiwara.

Oleh itu tidak hairanlah, beliau pernah menuduh kerajaan meracunnya dengan racun arsenik. Sepanjang tempoh perbicaraannya dulu, dia memakai pendakap leher dengan imej mata lebam untuk menunjukkan simpati kepada rakyat. Drama sakit pinggangnya cukup mendebarkan dan macam-macam lagi.

Drama beliau cukup hebat. Disingkatkan cerita yang panjang, kini isu pencerobohan di Lahad Datu juga mahu didramakan.

Puak-puaknya tiba-tiba mengatakan itu semua sandiwara. Hulu balangnya, yang gemar tidur di depan trak FRU, Tian Chua mengatakan ia hanyalah ploy (muslihat) UMNO untuk menarik perhatian rakyat. Ada yang sanggup mengatakan tugas polis dan tentera adalah untuk mati dan berbagai-bagai lagi.

Tian Chua enggan memohon maaf kepada pihak keselamatan polis dan tentera apabila membuat tuduhan itu. Saya difahamkan beliau ada menghantar SMS kepada satu pihak mengatakan "saya serahkan nasib saya kepada Yang Maha Esa" namun tidak sekali-kali akan memohon maaf.

Orang Anwarinas dalam Pas juga mendakwa tragedi di Lahad Datu sebagai sandiwara.

Berikut ialah petikan berita Tian Chua yang ditulis oleh lidah rasmi PKR, Keadilan Daily.

KUALA LUMPUR 1 MAC: Serangan tembak menembak di Lahad Datu dipercayai konspirasi terancang kerajaan UMNO untuk mengalih perhatian dan menakut-nakutkan rakyat, kata Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua.

Ahli Parlimen Batu itu berkata, insiden berkenaan menimbulkan banyak persoalan dan keraguan di sebalik wayang mainan kerajaan UMNO.

"Kita rasa pelik kenapa media Malaysia tidak melaporkan kejadian itu? Semua sumber laporan oleh media asing.

"Dari mana mereka dapat info sedangkan tidak ada wakil media yang dibenarkan membuat liputan? Malah berita yang dilapor itu setakat ini belum diketahui kesahihannya," kata Tian kepada Keadilan Daily.

Namun peliknya, sepanjang tempoh tragedi Lahad Datu itu tiada siapa pun daripada kalangan PKR mahupun Pas yang berkunjung ke Sabah mahupun Sarawak untuk menunjukkan rasa simpati mereka. Yang dilaporkan pergi hanya Lim Kit Siang ke Sabah iaitu dua hari selepas kejadian dan tokoh kerdil PKR, CheguBard hujung minggu lalu. Selain daripada itu tiada.

Tapi yang hairannya, sebelum tragedi Lahad Datu itu Anwar dan konco-konconya sering berulang-alik ke Sabah. Anwar ke Sabah pada Disember 2012 lalu bersama-sama Azmin Ali dan beberapa yang lain, sambil bergembira menyanyi dan menari lagu 'Sabah Akan Hilang'.

Benarkah beberapa ketika sebelum itu, Anwar difaham dan dikatakan beberapa kali ke Filipina. Tidak diketahui untuk tujuan apa?

Selepas daripada itu Anwar mengadakan Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) Januari lalu, sebelum meletusnya tragedi di Lahad Datu baru-baru ini.

Semuanya berlaku secara kebetulan. Pihak pembangkang terus menerus mengatakan bahawa BN akan kehilangan simpanan tetapnya (fixed deposit) di Sabah. Sabah mempunyai 25 kerusi Parlimen.

Tiba-tiba, nak jadikan cerita lebih kalut. Bekas penyiasat persendirian P. Balasubramaniam (PI Bala) balik dari tempat persembunyiannya di luar negara. Setibanya dalam negara, dia dibawa mengadakan ceramah di Dewan Perhimpunan Cina Selangor, Kuala Lumpur untuk mengaitkan PM dengan kes Altantuya. Malah semasa tiba di lapangan terbang dia secara terus terang mengatakan "pulang untuk membantu pembangkang".

Namun, ceramah itu dikatakan tidak mencapai matlamat yang dikehendaki. Apa yang dia cakap sebelum ini dan pada ceramah itu tidak konsisten. Tahu-tahu PI Bala dikatakan diserang sakit jantung pula semasa berceramah di Bachok, Kelantan. Dia kini berada di hospital.

Aktivis PKR, CheguBard dalam blognya kelmarin mendakwa PI Bala mungkin menjadi mangsa sihir(?!)

Berikut petikan CheguBard dalam Kedailan Daily kelmarin: Katanya, terdapat dakwaan mengatakan Balasubramaniam jatuh sakit kerana terkena ilmu sihir.

"Ada kawan-kawan sebut, angkara ilmu hitam. Saya tak tahu. Mereka (musuh Bala) boleh buat apa sahaja. Yang penting, kita tawakal kepada Maha Pencipta," kata Badrul.

Secara kebetulan atau sengaja mahu mengalihkan perhatian penduduk Malaysia daripada isu Lahad Datu, PKR tiba-tiba mengadakan sidang akhbar bapa Saiful, Azlan Bukhari.

Melihatkan tiada impak besar pendedahan Azlan berbanding pendirian anaknya Saiful yang terus mendakwa dia diliwat oleh Anwar, Azlan membuat satu lagi sidang akhbar di pejabat PKR kelmarin.

Itu juga tidak berjaya untuk menutup pendirian Saiful yang terus menuduh Anwar meliwatnya. Saiful pernah bersumpah laknat di dalam masjid diiringi oleh bapanya, Azlan.

Selagi saya berada dalam lingkungan kewartawanan Malaysia dan politik Malaysia maka sandiwara demi sandiwara ini akan terus berlaku.

REALITINYA: Tragedi pencerobohan di Lahad Datu dan Semporna serta kawasan sekitarnya telah mengorbankan lapan nyawa anggota pasukan keselamatan kita. Ia bukan main-main. Kita tidak tahu mengapa ada orang yang bermain sandiwara dalam hal ini? (Berita terbaru pagi semalam melaporkan seorang lagi anggota perajurit kita terkorban).

Anggota-anggota polis itu dibunuh, juga dengan penuh tipu muslihat melalui serangan gerila. Pengganas ini dikatakan cukup ganas dan kejam sehingga sanggup mencederaparahkan anggota badan anggota-anggota keselamatan yang dibunuh dan semasa mereka masih nazak. Tak perlulah saya perincikan keadaan jenazah para syuhada itu, terlalu sedih.

Hasil daripada tragedi pencerobohan itu, rakyat Malaysia telah bersatu. Soal keselamatan negara dianggap tidak boleh dikompromi.

Keselamatan berada di paras tertinggi keperluan hidup rakyat, mengatasi politik dan ekonomi.

Rakyat pelbagai bangsa termasuk kaum Cina yang menguasai ekonomi negara, mula menunjukkan sokongan secara semula jadi kepada peristiwa pencerobohan tersebut. Security First, kata mereka.

Tian Chua yang cuba mengalihkan perhatian daripada isu Lahad Datu itu ditolak rakyat. Lebih 1,000 repot polis dibuat di seluruh negara.

Tian Chua dikutuk di sini-sana.

DAP nampaknya cuba pejam mata dengan isu ini. Jika isu-isu lain, termasuk kes ahlinya terjun bangunan di Shah Alam dulu mereka mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja, isu Lahad Datu mereka hanya meminta supaya ditubuhkan Jawatankuasa Parlimen. DAP senyap sunyi dalam isu kedaulatan negara yang dicerobohi ini.

Dalam PKR sendiri berlaku krisis antara ahli Melayu dan Cina. Ada sesetengah pemimpin Melayu mendesak Tian Chua dikenakan tindakan disiplin di atas keceluparannya. Ahli-ahli Cina hanya berdiam diri.

Semoga Malaysia yang indah dan kaya ini, terus aman dan damai. - Utusan Malaysia

0 comments:

share2