KEHANGATAN menyambut Maulidur Rasul masih dirasai, sudah menjadi kemestian umat Islam menyambut Rabiulawal dengan pelbagai cara dan gaya. Terdapat ceramah, kuliah, seminar, perarakan dan lain-lain.
Namun sambutan Maulidur Rasul bukan hanya setakat berarak sambil berselawat disertai dengan jamuan makan. Ia bukan sekadar suka-suka atau untuk menunjuk-nunjuk. Ia adalah bertujuan memperingati perjuangan dan pengorbanan Nabi Muhammad SAW dalam menegakkan Islam di muka bumi ini.
Dalam memperingati Baginda, penghayatan adalah perlu kepada sifat dan akhlak Nabi Muhammad dan dijadikan pedoman setiap insan dan amalan dalam kehidupan setiap orang Islam.
Akhlak mempunyai peranan yang penting dalam mencorakkan tingkah laku dan kehidupan seseorang. Setiap tingkah laku yang lahir daripada manusia sebenarnya adalah cernaan daripada apa yang tersemat di dalam dirinya.
Sebagaimana menurut Al-Ghazali: "Setiap yang ada di dalam hati akan menzahirkan kesannya pada anggota badan sehinggalah setiap pergerakannya adalah berlandaskan kepadanya".
Berkaitan dengan akhlak Nabi, tokoh Islam, Dr. Ahmad Muhammad al Hufy menggambarkan, setiap orang dapat merasakan indahnya taman yang luas dengan pepohonan rendang. Segala sesuatu yang ada di dalamnya berbau harum semerbak, manis buah-buahannya dan sedap dipandang mata.
Itulah gambaran akhlak Nabi yang luhur, sehingga tidak seorang pun dapat memastikan manakah di antara budinya yang lebih tinggi martabatnya. Semuanya menarik dan mempesona ibarat mutiara yang sentiasa berkilau-kilauan. Dalam hadis berkaitan dengan pendidikan insan berakhlak mulia daripada Abu Hurairah Rasullullah SAW bersabda: "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang baik" (riwayat Ahmad).
Salah satu misi yang dibawa oleh Rasulullah SAW adalah membina kembali akhlak manusia yang telah runtuh sejak zaman para nabi yang terdahulu akibat dari penyembahan berhala oleh pengikutnya yang telah menyeleweng.
Perkara ini juga berlaku pada zaman jahiliyah di mana akhlak manusia runtuh kerana mewarisi perangai umat yang terdahulu dengan tradisi meminum arak, membuang anak, membunuh, melakukan kezaliman sesuka hati, menindas serta suka memulau kaum yang rendah martabatnya.
Dalam al-Quran kita dapati kisah-kisah sejarah dan tamadun manusia seperti kisah kaum Lut, Samud, kaum Nabi Ibrahim, Bani Israel dan lain-lain menunjukkan bahawa sesuatu ummah itu kekal kerana kukuhnya akhlak dan juga runtuhnya sesuatu ummah kerana lemahnya akhlaknya.
Proses pembentukan sesebuah masyarakat adalah seperti membina sebuah bangunan. Dalam membina sesebuah bangunan, asasnya hendaklah disiapkan terlebih dahulu. Sama jugalah dengan pembentukan masyarakat ia mesti dimulakan dengan pembinaan asasnya terlebih dahulu.
Jika kukuh asas yang dibina maka tegaklah masyarakat itu, sebaliknya jika lemah maka robohlah apa-apa saja yang dibina di atasnya. Akhlak merupakan asas yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika memulakan pembentukan masyarakat Islam.
Akhlak yang baik dan akhlak yang buruk adalah dua jenis tingkah laku yang berlawanan dan terpancar daripada dua sistem nilai yang berbeza. Individu dan masyarakat yang dianggotai oleh nilai-nilai dan akhlak yang baik akan melahirkan individu dan masyarakat yang sejahtera.
Sebaliknya jika individu dan masyarakat itu dikuasai oleh nilai-nilai dan tingkah laku yang buruk, akan menjadi kacau bilau dan porak peranda. Masyarakat yang kacau bilau, tidak mungkin dapat membantu tamadun yang berjaya.
Sesebuah masyarakat yang inginkan kejayaan perlu bermula daripada sistem nilai yang kukuh yang ditunjangi akidah yang benar. Sesebuah masyarakat itu akan runtuh dan hancur tamadunnya disebabkan keruntuhan nilai-nilai dan akhlak.
Martabat manusia akan turun menjadi setaraf haiwan sekiranya akhlak runtuh dan nilai-nilai murni tidak dihayati. Akhlak adalah pengukur nilai kejayaan sesuatu masyarakat dalam mencapai proses kemajuan dan pembangunan.
Tanpa akhlak manusia akan berada di lembah kehinaan walau macam mana pun kejayaan yang dicapai. Ketandusan akhlak menjadi punca sesuatu masyarakat tidak mencapai ketamadunan yang sebenar. Contohnya tamadun Barat yang diasaskan oleh kapitalis dan lain-lain, tidak akan kekal lama kerana mengetepikan akhlak.
Keruntuhan akhlak pada individu atau masyarakat akan menyebabkan berlakunya pelbagai krisis contohnya krisis nilai, keruntuhan rumah tangga, remaja liar, belia yang tidak berdaya saing serta kehancuran sesebuah negara.
Akhlak adalah sesuatu sikap yang boleh diubah dan dibentuk, contohnya Saidina Umar al-Khattab, keadaan beliau semasa berada di zaman jahiliyyah berbanding keadaannya setelah memeluk agama Islam. Oleh itu akhlak merupakan sesuatu yang semula jadi tetapi ia perlu dibentuk.
Iman adalah asas kepada akhlak Islam. Tidak akan sempurna iman seseorang jika tidak disertai oleh akhlak yang baik. Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Orang yang sempurna imannya ialah mereka yang paling baik akhlaknya".
0 comments:
Post a Comment