Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, December 14, 2012

Rambo / Orang Minyak Bentong Berjaya Ditangkap

Penduduk di sini takut untuk keluar rumah, tapi saya tiada pilihan kerana bekerja di sebuah syarikat kawalan keselamatan.

“Saya yang terpaksa meninggalkan anak dan isteri pada waktu malam dan hampir setiap jam saya akan menelefon isteri, untuk memastikan mereka selamat atau pulang ke rumah untuk menjenguk jika berkesempatan.” Demikian kata seorang penduduk Mohd Ismail Mohd Yunus, 39, mengenai kehadiran Rambo Bentong yang turut dikenali sebagai orang minyak di kalangan penduduk daerah ini sebelum dicekup polis 14 November lalu.

Menurutnya, walaupun banyak kawalan keselamatan kampung melalui Skim Rondaan Sukarela (SRS) dibuat di sebahagian besar kampung di Bentong, sebagai ketua keluarga, perasaan bimbang sentiasa ada terutama selepas mendapat tahu siapa sasaran kegemaran penjenayah berkenaan.

Mohd Ismail yang berasal dari Kampung Ketari, tetapi tinggal di Kampung Benus di daerah sama berkata, semua pihak berhati-hati dan tidak putus-putus berdoa agar pihak berkuasa dapat menjejaki dan segera menangkap suspek.

Apa tidaknya, lelaki itu dilaporkan melakukan jenayah dari satu kampung ke satu kampung, malah ada satu kes pecah rumah dan rogol di Kampung Gementi terletak hanya beberapa meter dari rumah mentua saya.

“Dari sudut positif pula, saya melihat semua penduduk kampung tidak kira bangsa sepakat mengawal keselamatan kampung menjelang malam,” katanya.

Menurutnya, sebagai penduduk tempatan, dia bersyukur kerana pihak berkuasa turut berkongsi perasaan resah dan bersengkang mata dengan penduduk.

“Lebih manis lelaki itu akhirnya ditangkap, sekali gus membolehkan kami menarik nafas lega,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Chan Boon Nam, 66, berkata kehadiran penjenayah berkenaan meresahkan penduduk tempatan terutama mereka yang keluar ke kebun pada awal pagi.

Menurutnya, dia percaya beberapa das tembakan yang didengar pada awal pagi ketika pergi ke kebun dipercayai dilakukan lelaki berkenaan untuk menakut-nakutkan dia dan beberapa pekerja lain.

“Kadang-kadang sayur dan buah-buahan berterabur di tanah, tapi saya tak kisah, cuma geram apabila terdengar bunyi tembakan kerana takut ada yang cedera atau meninggal dunia.

“Ada satu ketika pekerja saya mendakwa terserempak lelaki pelik membawa senapang dan dia meminta mereka agar tidak takut menyebabkan pekerja saya menyangka lelaki itu Orang Asli,” katanya.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, siasatan polis mendapati lelaki berusia 42 tahun itu juga mahir memburu selain memiliki kelengkapan ikhtiar hidup lengkap serta senjata menjadikannya tidak ubah seperti watak filem aksi lasak, Rambo.

Menurutnya, ‘Rambo Bentong’ itu dipercayai hidup dengan makan haiwan dan tumbuhan liar di hutan ketika bersembunyi untuk mengelak dikesan polis.

“Ketika melakukan jenayah, suspek membawa pisau Rambo, senapang buatan sendiri dan pemutar skru sebagai senjata untuk mencederakan mangsanya,” katanya.

0 comments:

share2