Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, November 29, 2012

Pengundi Muda Penentu Kemenangan


Jumlah pengundi muda seramai 5.9 juta orang dijangka menjadi faktor penentu kemenangan sesebuah parti dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan datang.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah itu merupakan pecahan daripada keseluruhan 13.1 juta pengundi berdaftar di seluruh negara.

"Daripada jumlah itu, seramai 2.4 juta pengundi terdiri daripada mereka yang berumur lingkungan 21 hingga 29 tahun dan kali pertama mengundi. Mereka ini terdiri daripada kumpulan profesional dan separa profesional yang akan menjadi faktor penentu kemenangan.

"Jadi, amat penting untuk mendekati golongan ini melalui pelbagai pendekatan bagi mendapatkan sokongan sama ada secara bersemuka atau melalui media sosial," katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata, sekiranya pendekatan bersemuka tidak dapat digunakan sepenuhnya untuk mendekati kumpulan berkenaan, skuad media trooper UMNO dan Barisan Nasional (BN) harus memainkan peranan dengan berkesan.

"Media trooper berperanan untuk menangkis serangan yang dilemparkan pembangkang dengan syarat ia harus berada dalam bilik yang sama walaupun bantal berbeza.

"Pada masa tersebut, tidak penting untuk melayan perbezaan pendapat sebaliknya kemenangan UMNO dan BN harus menjadi objektif utama," katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan calon yang akan mewakili BN pada PRU-13 diisi oleh calon orang muda, Ahmad Zahid menjelaskan perkara itu tidak mustahil berdasarkan taklimat yang disampaikan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Ia memberi bayangan bahawa generasi muda akan diberi peluang kali ini dan hakikat itu harus dilihat secara positif oleh mereka yang telah lama berkhidmat dalam parti.

"Kita harus memberi peluang kepada mereka untuk mewujudkan satu struktur pemimpin pelapis UMNO dan BN," katanya.

0 comments:

share2