Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, September 2, 2012

Sambutan Kemerdekaan Di Pahang Meriah


Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 peringkat negeri disambut dengan penuh semangat patriotik dan meriah apabila lebih 10,000 hadir menyaksikan perarakan di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 1.

Lebih membanggakan, hampir kesemua mereka yang berada di padang berkenaan seawal pukul 7 pagi tidak berganjak sehingga berakhir upacara bagi menyaksikan pelbagai persembahan serta perbarisan.

Semangat patriotik rakyat Pahang dalam menyambut Hari Kemerdekaan itu terbukti apabila sambutan yang bermula pada pukul 9 pagi tersebut sentiasa diiringi dengan laungan 'Merdeka' daripada hadirin.

Sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri itu juga dimeriahkan dengan keberangkatan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, barisan Exco kerajaan negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail .

Upacara dimulakan dengan nyanyian lagu 'Allah Selamatkan Sultan Kami' serta pemeriksaan perbarisan kawalan kehormat oleh Tengku Abdullah.

Sambutan kemudian diteruskan dengan upacara menaikkan Jalur Gemilang disertai dengan nyanyian lagu Negaraku dan bacaan ikrar Rukun Negara seterusnya diikuti dengan laungan 'Merdeka' sebanyak tujuh kali.

Sambutan seterusnya dimeriahkan dengan persembahan koir daripada Kumpulan Koir Perkhidmatan Awam Negeri Pahang dengan lagu-lagu patriotik.

Acara diteruskan dengan pergerakan formasi oleh 800 pelajar sekolah menengah dari seluruh Kuantan yang membuat bentuk Jalur Gemilang.

Tiga buah pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) daripada Pangkalan Udara Kuantan yang mengambil bahagian turut membuat lintas hormat di padang berkenaan.

Acara sambutan diteruskan dengan perbarisan lintas hormat daripada 91 kontinjen dari jabatan kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelajar sekolah menengah dan rendah sekitar Kuantan.

Acara yang ditunggu-tunggu pengunjung adalah perarakan kenderaan daripada agensi kerajaan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM); Polis Diraja Malaysia (PDRM); Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Upacara seterusnya diakhiri dengan lagu 'Allah Selamatkan Sultan Kami' dan menyaksikan keberangkatan pulang Tengku Mahkota Pahang serta tetamu kehormat lain.

Kira-kira 8,000 peserta terdiri daripada pelbagai peringkat seperti pelajar sekolah, guru, polis, tentera, kakitangan kerajaan dan swasta yang mengambil bahagian dalam acara sambutan itu mula berkumpul seawal pukul 6 pagi.

0 comments:

share2