Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, September 13, 2012

Panduan Lesen Perlombongan Perlu Diwujudkan


Kerajaan negeri meminta agensi yang terbabit dengan pelesenan perlombongan mewujudkan garis panduan baru kepada pengusaha lombong dan lori muatan bijih besi agar menjaga keselesaan orang ramai dan menghindarkan kerosakan kemudahan asas.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, kerajaan negeri berharap agensi terbabit iaitu Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pentadbiran daerah menyiapkan garis panduan khususnya mengutamakan kebersihan lori muatan galian berkenaan dan keselamatan jalan raya yang kerap mengalami kerosakan.

Beliau berkata, langkah itu amat penting kerana banyak laporan berlaku kerosakan jalan raya di kawasan perlombongan di Lipis, Jerantut, Bandar Muadzam Shah, Raub dan Kuantan.

"Kita perlu mengetatkan syarat lori bijih besi dibersihkan terlebih dahulu di tempat (depot) muatan sebelum bergerak keluar ke jalan raya untuk menghindarkan tanah lumpur atau kekotoran lain memenuhi laluan dan mencemarkan alam sekitar sehingga orang ramai tidak selesa.

"Sudah banyak lesen perlombongan dikeluarkan kepada pengusaha berkenaan tetapi syarat yang dikenakan masih longgar dan pengabaian aspek kebersihan alam sekitar serta penjagaan kemudahan asas oleh agensi terbabit," katanya.

Menurut beliau, kerajaan negeri berharap PTG, JAS dan agensi berkaitan dengan pelesenan lombong bijih besi dan alam sekitar mengetatkan syarat serta panduan berkenaan dalam kalangan pengusaha dan pemilik lori.

"Saya banyak menerima aduan penduduk di negeri ini mengenai lori muatan bijih besi yang meninggalkan kekotoran (lumpur) di atas jalan raya, malahan banyak jalan yang rosak teruk akibat laluan muatan berat ke pelabuhan," katanya.

Adnan berkata, kerajaan negeri akan mengkaji semua peraturan dan permohonan mengeluarkan lesen berkenaan pada masa akan datang berikutan sebelum ini banyak memberi impak alam sekitar dan keselesaan penduduk.

Sebelum ini, jelasnya, tiada syarat khusus termasuk panduan tertentu dalam kalangan pemohon lombong bijih besi dan sesiapa sahaja boleh berbuat demikian, malah kerajaan negeri tiada halangan mengeluarkan lesen berkenaan.

"Kita tahu hasil aktiviti ini, kerajaan negeri mendapat royalti dan digunakan untuk projek pembangunan serta kebajikan rakyat negeri ini.

"Ia jelas menunjukkan sektor perlombongan bijih besi semakin meningkat dan perlu ada satu garis panduan untuk kegiatan itu dan kali ini kerajaan negeri perlu bertegas," katanya.

Sehubungan itu, katanya, pengusaha terbabit perlu bertanggungjawab untuk keselesaan orang ramai termasuk menjaga kemudahan jalan raya yang banyak mengalami kerosakan.

Tambahnya, keuntungan yang diperoleh oleh syarikat terbabit sewajarnya dilestarikan untuk membantu kerajaan negeri menjaga kemudahan asas dan keselesaan penduduk setempat.

0 comments:

share2