Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, September 2, 2012

Merdekakan Diri Daripada Ketaksuban


SAMBUTAN Kemerdekaan Ke-55 negara ini sepatutnya membuka mata kita untuk bersikap lebih matang dalam tindakan. Tema 'Janji Ditepati' walaupun tidak disenangi sesetengah pihak sewajarnya menjadi sumber muhasabah diri dalam menilai kematangan diri dan kesediaan kita untuk bergerak ke hadapan dalam mencapai apa jua yang dicita-citakan.

Muhasabah diri hanya boleh dilakukan jika kita berupaya keluar dari sikap taksub yang keterlaluan terhadap banyak perkara yang berlaku di sekeliling kita. Sikap taksub atau sesetengah orang menganggap sebagai kepercayaan ekstrem menyebabkan kita gagal membuka mata hati dalam membuat penilaian sewajarnya.

Dalam soal pendidikan misalnya, ketaksuban terhadap apa yang dianggap hebat oleh orang lain, menyebabkan kita gagal membuka mata kepada kejayaan yang kita capai selama ini. Kita hanya menganggap apa yang kita capai itu hebat, hanya apabila pihak lain mengatakan yang kita hebat.

Kerana itulah, apabila universiti kita tidak ditarafkan sebagai antara yang terbaik maka kita menganggap sistem pendidikan apatah pengajian tinggi kita bukan yang terbaik. Sedangkan hakikatnya negara kita membangunkan dalam tempoh 55 tahun ini sebahagian besarnya dilahirkan daripada cerdik pandai kita, sama ada yang mendapat pendidikan dari dalam mahu pun dari luar negara.

Mereka yang banyak mengkritik pengajian dan pendidikan kita pun sebenarnya lahir dari sistem pendidikan negara yang memberi peluang dan ruang yang amat jelas dalam memberikan kebebasan untuk menerokai segala yang kita ada dalam acuan dan dunia kita sendiri tanpa mengetepikan dunia luar dan proses globalisasi yang membawa kepada pelbagai cabaran yang sedang kita hadapi sekarang ini.

Dalam tempoh 55 tahun ini juga, banyak pencapaian besar yang hanya boleh diakui jika kita tidak taksub kepada apa yang kita percayai semata-mata, atau taksub kepada perspektif yang berteraskan kepada kumpulan atau mazhab yang kita anuti.

Kemerdekaan sebenar adalah apabila kita berupaya bersikap lebih terbuka, bersedia menerima pandangan orang lain dan pada masa sama mempertahankan nilai-nilai yang kita miliki dan yakini sebagai teras pembangunan negara bangsa yang bersifat mandiri dan mempunyai kedaulatannya yang tersendiri.

Kita patut bersyukur, kerana dalam tempoh 55 tahun ini, banyak janji yang dilakarkan sejak 1957, kemudiannya diperbaharui melalui pelbagai dasar utama negara dari Rancangan Malaysia Pertama membawa kepada Wawasan 2020 dan teras Rukun Negara yang mencari citra bangsa yang berdaulat dan merdeka, jelas berupaya menjadikan kita satu bangsa progresif, berbudaya dan memandang jauh ke hadapan.

Walaupun pada asasnya bumiputera diberikan keutamaan dalam pembangunan negara, namun hakikatnya kaum-kaum lain tidak pernah diketepikan. Malah, dalam tempoh 55 tahun ini, tidak juga menunjukkan orang Melayu atau mana-mana bumiputera yang berada pada kedudukan tertinggi dalam senarai mereka yang terkaya, namun ini tidak pula bermakna yang terdapat kumpulan tertentu yang disisihkan.

Oleh sedemikian janji-janji yang diberikan oleh mana-mana pihak yang kerap pula bijak menaburkannya, haruslah dilihat dengan realistik. Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, janji-janji manis mudah ditaburkan untuk memenangi hati orang ramai, golongan muda dan pihak-pihak tertentu, namun hakikatnya, apa yang kita capai selama ini tidak harus dikorbankan hanya kerana mengejar pelangi yang tidak tercapai tangan.

Sikap taksub yang keterlaluan kerap menutup pandangan mata kita terhadap erti sebenar kejayaan dan pencapaian. Sikap taksub juga boleh merosakkan pembangunan negara disebabkan oleh sikap mengikut dan percaya secara buta tuli malah juga akan menjahanamkan satu bangsa dan mewujudkan penjajahan baru yang lebih berbahaya. Apatah lagi jika pihak atau individu yang diikut mempunyai kepentingan diri dan didalangi pihak tertentu yang mempunyai kepentingan.

Kita telah pun melihat banyak negara yang hancur hanya kerana kesilapan yang dibuat akibat percayakan pihak tertentu. Walaupun pemimpin negara dijatuhkan disebabkan oleh pelbagai alasan, namun yang menderita akhirnya ialah rakyat apabila negara menjadi kucar kacir.

Tidak salah untuk membuat teguran terhadap kelemahan sesuatu sistem, namun teguran yang dibuat biarlah berhemah dan bersikap objektif tanpa dipengaruhi oleh sesuatu pihak yang mempunyai kepentingan tertentu. Rakyat dan masyarakat berhak melakukan perubahan dalam sesuatu sistem dan proses kerja yang ternyata perlu dilakukan penambahbaikan berterusan.

Tetapi ia tidak wajar dilakukan atas kepentingan tertentu yang di luar batas agama, moral dan etika yang ada. Anak-anak muda kita pula tidak mudah dipengaruhi oleh segala yang ideal dan janji-janji manis yang hanya bermain dengan perasaan dan darah muda yang sentiasa inginkan perubahan dan sesuatu yang baru dan segar.

Misalnya, apabila terdapat gesaan mewujudkan proses demokrasi yang lebih bebas atau sistem yang dilakukan lebih "bersih", ia harus dilihat dengan berhati-hati. Kebebasan keterlaluan tidak akan menguntungkan sesiapa. Tiada kebebasan hakiki dalam apa jua yang dilakukan, sebaliknya ia harus terkawal dan tidak mendatangkan kemudaratan kepada orang lain.

Malah, hakikat sebenar dalam mana-mana sistem pun, terdapat kelemahan dan kekurangan yang tidak mungkin bersih sepenuhnya, namun kitalah yang akan menentukan apa yang dianggap bersih atau tidak. Biar secantik mana pun sesuatu sistem, jika manusia yang melaksanakannya tidak mempunyai integriti tinggi dan akauntabiliti, maka ia sukar dilaksanakan.

Proses penambahbaikan dalam apa jua pun yang mempunyai kepentingan masyarakat dan negara boleh dilakukan tetapi bukan berasaskan ketaksuban kepada pegangan politik atau untuk pemimpin tertentu tetapi mestilah berteraskan kepada kebaikan bersama dan kepentingan masyarakat, orang ramai dan negara.

Seorang pemimpin dihormati kerana kepimpinannya yang terbukti jelas dan berupaya membawa masyarakat dan negara ke hadapan menghadapi segala cabaran, bukannya mereka yang hanya bijak berkata-kata, berani menabur janji dan bercakap berkobar-kobar membakar semangat dengan segala retorik, tetapi tidak berteraskan kepada realiti, tidak realistik dan hanya kata-kata manis yang payah diterjemahkan dalam tindakan.

Kerana itu, demi memastikan kelangsungan masa depan rakyat dan negara, adalah wajar kita memerdekakan diri dari segala ketaksuban, hingga menjadikan kita buta walaupun mampu melihat, pekak walaupun mampu mendengar kerana pada akhirnya sesebuah negara hanya berupaya mengekalkan kemerdekaannya dengan keupayaan menghadapi segala cabaran jika mempunyai jati diri, bersatu padu dan rakyat yang berilmu pengetahuan, bijaksana dalam pertimbangan dan tidak mudah kalah dengan segala hasutan.

0 comments:

share2