Golongan lelaki dilaporkan paling kurang memanfaatkan kemudahan Klinik
Bergerak 1Malaysia (KB1M) sejak ia dilancarkan di daerah ini hampir
setahun lalu.
Ahli Parlimen Bentong, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, berdasarkan
maklumat, setiap kali KB1M masuk ke perkampungan Orang Asli atau kawasan
pedalaman, kebanyakan pesakitnya cuma terdiri daripada golongan wanita
dan kanak-kanak.
Menurutnya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana golongan lelaki
juga perlu menjalani rawatan kesihatan terutama mereka yang berusia 45
tahun ke atas.
“KB1M disediakan untuk memudahkan penduduk mendapatkan rawatan dan
khidmat nasihat tanpa perlu keluar jauh. Namun, ia masih tidak
dimanfaatkan sepenuhnya.
“Justeru, saya berharap golongan lelaki juga dapat memanfaatkan
kemudahan ini kerana ia penting untuk memastikan kesihatan diri mereka
terjaga,” katanya.
Tiong Lai berkata, golongan lelaki tidak seharusnya culas untuk menjaga
kesihatan diri memandangkan mereka merupakan ketua keluarga.
Menurutnya, kesedaran perlu diterapkan dalam diri mereka supaya lebih fokus terhadap penjagaan kesihatan.
“Tambahan pula, kemudahan ini memudahkan mereka tanpa perlu keluar dari kawasan kampung.
“Oleh itu, kita harap KB1M akan terus dimanfaatkan semua golongan tanpa mengira peringkat usia,” katanya.
0 comments:
Post a Comment