Pages

Friday, September 21, 2012

Lelaki Kurang Gunakan KB1M



Golongan lelaki dilaporkan paling kurang memanfaatkan kemudahan Klinik Bergerak 1Malaysia (KB1M) sejak ia dilancarkan di daerah ini hampir setahun lalu.

Ahli Parlimen Bentong, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, berdasarkan maklumat, setiap kali KB1M masuk ke perkampungan Orang Asli atau kawasan pedalaman, kebanyakan pesakitnya cuma terdiri daripada golongan wanita dan kanak-kanak.

Menurutnya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana golongan lelaki juga perlu menjalani rawatan kesihatan terutama mereka yang berusia 45 tahun ke atas.

“KB1M disediakan untuk memudahkan penduduk mendapatkan rawatan dan khidmat nasihat tanpa perlu keluar jauh. Namun, ia masih tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

“Justeru, saya berharap golongan lelaki juga dapat memanfaatkan kemudahan ini kerana ia penting untuk memastikan kesihatan diri mereka terjaga,” katanya.

Tiong Lai berkata, golongan lelaki tidak seharusnya culas untuk menjaga kesihatan diri memandangkan mereka merupakan ketua keluarga.

Menurutnya, kesedaran perlu diterapkan dalam diri mereka supaya lebih fokus terhadap penjagaan kesihatan.

“Tambahan pula, kemudahan ini memudahkan mereka tanpa perlu keluar dari kawasan kampung.

“Oleh itu, kita harap KB1M akan terus dimanfaatkan semua golongan tanpa mengira peringkat usia,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor