ISU penguasaan golongan Anwarinas di dalam Pas
sememangnya menjadi perbualan hangat dalam arena politik negara.
Kewujudan kumpulan ini dikatakan telah mengubah struktur landasan
perjuangan politik parti itu yang selama ini mempengaruhi pemikiran
orang Melayu dengan slogan, simbol, laungan dan perjuangan Islamnya.
Malahan kumpulan Anwarinas ini dikatakan semakin mencengkam
penguasaan politik mereka, apabila Pas dalam usaha meraih kuasa,
mengejar impian menumbangkan Barisan Nasional (BN) dan memburu mimpi
indah menggantikan UMNO bersedia menjalinkan kerjasama politik dengan
Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.
Impian Pas untuk dilihat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi
dengan PKR dan DAP dalam satu gabungan yang dikenali dengan Pakatan
Rakyat tidak tercapai.
Istilah tahaluf siyasi yang dicanangkan oleh Pas bagi menghalalkan
persahabatan dengan kedua-dua parti itu hakikatnya dilihat lebih banyak
membawa kerugian kepada Pas.
Perjuangan negara Islam semakin ditinggalkan dan golongan ulama yang
menjadi pengasas serta simbol kekuatan Pas selama ini semakin
terpinggir. Apa yang lebih malang, dalam usaha menjaga persahabatan
dengan PKR dan DAP, Pas dilihat sedia menyokong apa sahaja yang
dilakukan oleh kedua-dua parti berkenaan.
Malahan kadang kala pemimpin-pemimpin Pas dilihat hilang keberanian
untuk menyanggah kenyataan atau tindakan pemimpin PKR dan DAP biar pun
kebanyakannya bertentangan dengan dasar dan prinsip perjuangan Pas.
Kalau pun ada yang bersuara hanya golongan ulama, namun ia tidak ke
mana kerana cengkaman puak Anwarinas dikatakan cukup hebat, malahan satu
sumber memberitahu penulis, sudah ada pemimpin Pas bertaraf ulama yang
sudah dpengaruhi oleh golongan Anwarinas ini.
Dalam memperkatakan soal cengkaman Anwarinas ini, maka tulisan Ahli
Majlis Penyelidikan, Dewan Ulama Pas pusat, Ahmad Mouyideen Hasyim di
dalam laman web
ulamak.pas.org.my pada 22 September lalu amat
menarik untuk dikaji. Ini kerana beliau mendedahkan pula bagaimana wujud
satu kumpulan baru dalam Pas yang menggelarkan diri mereka
Islamist Democrats' .
''Jelaslah, golongan ini menggunakan istilah
Islamist Democrats adalah untuk membezakan diri mereka dengan golongan yang mereka labelkan sebagai
Islamist dalam Pas. Golongan
Islamist
pada pandangan mereka adalah golongan yang memperjuangkan doktrin
negara Islam dan pelaksanaan undang-undang Islam," tulis Ahmad
Mouhyideen.
Apa yang menarik, beliau turut menulis, ''Daripada istilah
Islamist
yang membawa maksud pejuang demokrasi yang Islamik, kita dapat fahami
bahawa asas perjuangan golongan ini adalah demokrasi dan Islam hanyalah
sifat kepada perjuangan tersebut.
"Penekanannya adalah kepada demokrasi sementara Islam hanya untuk
memperincikan lagi siri demokrasi tersebut. Dari sudut ini, golongan ini
telah membuat kesilapan yang sangat besar.
"Secara tidak sengaja, ia telah menukar penekanan daripada perjuangan
Islam kepada perjuangan demokrasi. Istilah ini juga seterusnya
meletakkan ciri Islamik menjadi hanya salah satu ciri sahaja kepada
Pejuang Demokrasi."
Sememangnya kita tidak pasti sejauh manakah golongan
Islamist Democrats
ini sudah melebarkan pengaruh mereka di dalam Pas tetapi apa yang pasti
ciri-ciri golongan ini jika tulisan Ahmad Mouhyideen dirujuk tidak ada
bezanya dengan golongan Anwarinas.
Ia memandangkan beliau menekankan, ''Justeru, tidak peliklah mereka
mengelak daripada memperjuangkan dasar Pas yang amat jelas dan syumul.
Mereka mengesa agar Pas tidak menimbulkan isu hudud kerana perbincangan
dan perdebatan isu ini pada pandangan mereka membawa kesan yang
negatif."
Mungkin ramai pemimpin Pas terutamanya golongan pro-Anwarinas akan
berasa tidak selesa dengan tulisan Ahmad Mouhyideen namun jika dikaji
secara mendalam beliau secara ikhlas ingin memberi peringatan kepada
penyokong-penyokong parti itu mengenai wujudnya satu kelompok yang boleh
menggugat dasar perjuangan Pas.
Mereka perlu faham imej parti itu semakin merudum dan keyakinan orang
Islam bahawa Pas akan meneruskan perjuangan Islam semakin terhakis. Ini
memandangkan orang Melayu percaya bahawa Pas kini bukanlah lagi
dikuasai oleh golongan ulama yang akan mampu mempertahankan perjuangan
parti tersebut.
Oleh itu, 'pendedahan' Ahmad Mouhyideen ini boleh dianggap satu lagi
peringatan bagaimana Pas kini semakin berceramuk dengan usaha puak-puak
tertentu untuk menguasai parti berkenaan demi mencapai cita-cita politik
mereka.
Dalam soal ini, golongan ulama seharusnya menyedari bahawa jika
mereka masih lagi mahu berdiam diri dan mengamalkan sikap terlalu
bertolak ansur dengan golongan Anwarinas atau
Islamist Democrats
semata-mata untuk menjaga kepentingan politik Pas menjelang pilihan
raya, percayalah kelompok ulama akan terus terpinggir dan tidak akan
dihiraukan lagi kewujudan mereka.
Kita sudah saksikan bagaimana ketika golongan ulama mengecam
keceluparan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dalam isu
demonstrasi membantah penerbitan filem
Innocence of Muslims, ada di kalangan pemimpin Pas seolah-olah tidak menghormati ketegasan berkenaan.
Mereka menganggap kenyataan Koo Ham sebagai peribadi dan ia sama
sekali tidak akan menggugat hubungan Pas dengan DAP dalam pakatan
pembangkang.
Sememangnya tidak salah jika golongan ulama mahu mementingkan
perpaduan dalam parti bagi mengelakkan tercetus perpecahan menjelang
pilihan raya tetapi dalam masa yang sama mereka tidak boleh dilihat
terlalu tunduk untuk melawan kelompok Anwarinas atau
Islamist Democrats dalam parti itu.
Jika golongan ulama tidak mahu melihat Pas terus diperkotak-katikkan,
maka mereka perlu menunjukkan ketegasan, puak Anwarinas dan
Islamist Democrats
harus ditentang habis-habisan. Ia memandangkan kewujudan kelompok
berkenaan telah menyebabkan Pas dianggap bercelaru dalam perjuangannya.
Tambahan pula Ahmad Mouhyideen sendiri menegaskan, perjuangan golongan
Islamist Democrats
bercanggah dengan perjuangan Pas dan gerakan Islam yang lain. Tegas
beliau, perjuangan mereka tidak boleh diterima kerana asas perjuangan
mereka adalah demokrasi, bukannya Islam.
Justeru, jika puak-puak ulama di dalam Pas masih membiarkan golongan Anwarinas atau mereka dikenalpasti sebagai
Islamist Democrats
membuat kenyataan dan tindakan bertentangan dengan apa yang
diperjuangkan oleh golongan ulama, ia sudah tentulah akan merugikan
politik parti tersebut.
Apa pun sudah jelas kini, Pas semakin berserabut dengan berceramuk
dengan kewujudan pelbagai kumpulan yang mahu menguasai parti itu dan
segala-galanya berlaku akibat ketaksuban dan terlalu percaya dengan
janji-janji politik PKR dan DAP bahawa mereka akan menguasai Putrajaya
dan sekali gus menumbangkan kerajaan BN.
Tetapi hakikatnya, semua orang sudah menyaksikan bagaimana sejak
bersahabat dengan kedua-dua parti itu, Pas lebih banyak ruginya daripada
untung sehingga timbul anggapan bahawa dalam pilihan raya umum nanti
parti itu akan menjadi lebai malang menang sorak kampung tergadai.
0 comments:
Post a Comment