PENDAPATAN perkapita rakyat di Malaysia malahan di seluruh rantau ini
dilihat gagal mengejar peningkatan kos hidup dan inflasi khususnya
kenaikan mendadak harga rumah sejak krisis kewangan dunia pada 1990-an.
Ini jelas kelihatan melalui statistik yang menunjukkan sekitar dua
juta isi rumah masih belum mempunyai rumah sendiri di seluruh Malaysia
dengan majoritinya terdiri daripada golongan berpendapatan rendah dan
sederhana.
Golongan berpendapatan rendah di bawah RM2,500 kini telah disediakan
dengan bermacam bentuk bantuan seperti Rumah Mesra Rakyat, Program
Perumahan Rakyat dan Skim Pinjaman Perumahan.
Bagaimanapun, isi rumah berpendapatan sederhana antara RM2,500 dan
RM7,500 sebulan yang tidak layak untuk bantuan tersebut dan tidak mampu
membeli rumah pada harga pasaran pula tersepit di tengah-tengah.
Sekitar separuh daripada isi rumah berpendapatan sederhana yang belum
memiliki rumah sendiri juga didapati berada dalam kawasan Lembah Klang,
lebih 250,000 isi rumah di Selangor yang hanya mempunyai sekitar 7,000
unit rumah kosong dan lebih 120,000 lagi di Kuala Lumpur yang hanya
mempunyai sekitar 2,000 unit rumah kosong.
Walaupun negeri-negeri lain turut mencatatkan jumlah tinggi isi rumah
pertengahan yang belum mempunyai rumah sendiri, tetapi nisbah dengan
rumah kosong sedia ada tidak begitu ketara seperti di Lembah Klang.
Memandangkan sebahagian besar rakyat yang berasal daripada keluarga
berpendapatan rendah telah beralih ke kumpulan berpendapatan sederhana
sejak 20 tahun lalu, bilangan isi rumah yang tersepit di tengah-tengah
ini semakin meningkat dan memerlukan bantuan segera daripada kerajaan.
Walaupun kerajaan telah menggerakkan pelbagai program bagi menjana
ekonomi dan pendapatan tinggi seperti Program Transformasi Ekonomi
(ETP), kumpulan pertengahan ini dilihat masih sukar mengejar trend harga
rumah semasa.
Oleh itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan
konsep perumahan mampu milik, Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang
dilancarkan melalui fasa pertama pada 4 Julai 2011 melibatkan 42,000
unit rumah di 20 lokasi strategik.
Perdana Menteri yang mahukan satu sistem lebih mantap kemudiannya
membentuk Unit PR1MA, bukan sahaja untuk menyediakan perumahan mampu
milik malahan membentuk komuniti yang kukuh dan selamat dari awal hingga
selepas unit rumah itu didiami.
Ketua Pegawai Eksekutif Unit PR1MA di Pejabat Perdana Menteri, Datuk
Abdul Mutalib Alias menjelaskan, fasa pertama itu digerakkan beberapa
syarikat perumahan swasta mengikut sistem awal untuk bina dan jual.
Unit PR1MA kemudian ditubuhkan pada Julai 2011 bagi membentuk satu
sistem kukuh untuk menjamin kejayaan konsep perumahan mampu milik
berkualiti dan gaya hidup komuniti dalam jangka panjang.
Dengan mandat yang diberikan, Akta PR1MA diluluskan di Parlimen pada
hujung 2011 dan digazetkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada Januari
2012," katanya.
Menurut beliau, pejabat dan organisasi baru Perbadanan PR1MA Berhad
mula dibentuk sejak Februari lalu dan kini dalam proses mengaktifkan
Akta PR1MA dan membentuk PR1MA Corporation.
Jelasnya, pembangunan rumah mampu milik di bawah fasa pertama pada
2011 tidak tertakluk kepada Akta PR1MA tetapi tetap dibangunkan pemaju
swasta secara kerjasama dengan Unit PR1MA.
Tegasnya, konsep rumah mampu milik PR1MA oleh Perdana Menteri kini
telah mengalami evolusi menjadi satu sistem lebih baik bagi mengurangkan
beban kumpulan pertengahan khususnya perumahan berkualiti di kawasan
bandar.
PR1MA juga berperanan menyediakan polisi dan garis panduan yang
jelas untuk jangka panjang dalam membentuk komuniti yang stabil dan
selamat serta gaya hidup holistik, mengikut permintaan isi rumah dan
bukannya mengikut trend pasaran.
Projek pertama PR1MA yang sepenuhnya di bawah kelolaan unit ini dan
mengikut Akta PR1MA akan dilancarkan Perdana Menteri di Seremban pada 29
September ini," katanya.
Menurut Abdul Mutalib, projek PR1MA di bawah akta sama di Lembah
Klang pula akan dilancarkan secepat mungkin dengan sasaran pelancaran
serentak beberapa tapak projek di kawasan strategik sekitar Kuala
Lumpur.
Beliau memaklumkan, beberapa syarat kelayakan ditetapkan termasuk
pendapatan isi rumah antara RM2,500 hingga RM7,500 tetapi hanya
mengambil kira untuk suami dan isteri, tidak termasuk anak yang sudah
bekerja.
Kita juga beri keutamaan kepada mereka yang sudah tinggal atau
bekerja di kawasan projek PR1MA akan dibangunkan tetapi mereka yang
dalam perancangan berpindah ke kawasan itu juga boleh memohon mengikut
syarat tertentu.
Rumah PR1MA juga hanya boleh dibeli oleh mereka yang tiada rumah
atau ada satu rumah lain sahaja, selain syarat ketat iaitu jika mahu
menjual rumah PR1MA mereka dalam tempoh 10 tahun pertama," tegasnya.
Menurut beliau, mereka yang menjual rumah itu di bawah satu tahun
pemilikan hanya akan menerima kembali kos asal, sementara antara tahun
kedua hingga ke sembilan hanya menerima harga kos dengan nilai inflasi
tahunan sahaja.
Tambahnya, pembeli juga perlu tinggal di rumah PR1MA yang dibeli dan
hanya boleh menyewakannya atas alasan tertentu mengikut kelulusan pihak
pengurusan sementara mereka yang melanggar garis panduan boleh diambil
tindakan mengikut peruntukan akta tersebut.
Syarat tersebut bagi mengelakkan aktiviti spekulasi harga rumah
tanpa membebankan pembeli yang terpaksa menjual atas faktor tertentu di
samping menghalang rumah disewa kepada warga asing mahupun terlalu ramai
penyewa dalam satu rumah.
Selain itu, program ini juga boleh menjana kekayaan untuk pembeli
rumah PR1MA jika mereka menjualnya selepas 10 tahun apabila anak-anak
sudah besar, mengikut harga pasaran," katanya.
Abdul Mutalib menegaskan, sistem baru di bawah Akta PR1MA itu penting
bukan sahaja bagi mencapai sasaran menyediakan rumah mampu milik yang
berkualiti malahan berserta satu struktur pengurusan dan kawal selia
yang jelas agar sebarang masalah peringkat akar umbi dapat sampai kepada
pihak atasan dengan pantas.
Beliau juga menasihatkan orang ramai agar tidak khuatir tentang
proses pemilihan kerana semuanya akan dijalankan secara telus melalui
laman web dan setiap permohonan akan ditapis dengan rapi sebelum
diluluskan.
Sebuah pangkalan data kebangsaan akan dibina menjelang hujung tahun
ini dan semua yang berkelayakan boleh mendaftar bagi memastikan
kemampuan masing-masing serta saiz, bilangan dan harga rumah yang sesuai
disediakan mengikut permintaan di sesebuah kawasan.
Kita akan memaklumkan jika ada projek PR1MA akan dibina berhampiran
tempat tinggal atau bekerja mereka bagi memudahkan proses permohonan,
tapisan dan menjamin ketelusan undian," ujarnya.
Beliau menjelaskan, reka bentuk rumah PR1MA akan mengikut saiz tanah
yang disediakan kerajaan negeri atau pemaju tetapi bukannya seperti
rumah kos rendah kerana keutamaan kepada memenuhi permintaan dan
keperluan pembeli.
Tegasnya, apa yang mahu disediakan adalah rumah mampu milik
berkualiti yang lebih murah daripada harga pasaran, sama ada bagi
keluarga ataupun yang bujang, seterusnya membawa kumpulan pertengahan
kembali ke kawasan bandar.
Trend pasaran rumah kini memaksa golongan pertengahan keluar tetapi
fokus kita adalah meningkatkan jumlah perumahan mampu milik yang
berkualiti secepat mungkin seterusnya membawa mereka kembali ke
bandar-bandar.
Dalam menyelesaikan masalah perumahan kumpulan pertengahan ini,
secara tidak langsung dapat menjana kekayaan jangka panjang kepada
mereka dan pada masa sama membina jaringan serta struktur dalam sebuah
komuniti yang kukuh dan selamat seperti yang disasarkan Perdana
Menteri," tegasnya.
0 comments:
Post a Comment