Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, September 27, 2012

Evolusi PR1MA Kepada Sistem Komuniti


PENDAPATAN perkapita rakyat di Malaysia malahan di seluruh rantau ini dilihat gagal mengejar peningkatan kos hidup dan inflasi khususnya kenaikan mendadak harga rumah sejak krisis kewangan dunia pada 1990-an.

Ini jelas kelihatan melalui statistik yang menunjukkan sekitar dua juta isi rumah masih belum mempunyai rumah sendiri di seluruh Malaysia dengan majoritinya terdiri daripada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Golongan berpendapatan rendah di bawah RM2,500 kini telah disediakan dengan bermacam bentuk bantuan seperti Rumah Mesra Rakyat, Program Perumahan Rakyat dan Skim Pinjaman Perumahan.

Bagaimanapun, isi rumah berpendapatan sederhana antara RM2,500 dan RM7,500 sebulan yang tidak layak untuk bantuan tersebut dan tidak mampu membeli rumah pada harga pasaran pula tersepit di tengah-tengah.

Sekitar separuh daripada isi rumah berpendapatan sederhana yang belum memiliki rumah sendiri juga didapati berada dalam kawasan Lembah Klang, lebih 250,000 isi rumah di Selangor yang hanya mempunyai sekitar 7,000 unit rumah kosong dan lebih 120,000 lagi di Kuala Lumpur yang hanya mempunyai sekitar 2,000 unit rumah kosong.

Walaupun negeri-negeri lain turut mencatatkan jumlah tinggi isi rumah pertengahan yang belum mempunyai rumah sendiri, tetapi nisbah dengan rumah kosong sedia ada tidak begitu ketara seperti di Lembah Klang.

Memandangkan sebahagian besar rakyat yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah telah beralih ke kumpulan berpendapatan sederhana sejak 20 tahun lalu, bilangan isi rumah yang tersepit di tengah-tengah ini semakin meningkat dan memerlukan bantuan segera daripada kerajaan.

Walaupun kerajaan telah menggerakkan pelbagai program bagi menjana ekonomi dan pendapatan tinggi seperti Program Transformasi Ekonomi (ETP), kumpulan pertengahan ini dilihat masih sukar mengejar trend harga rumah semasa.

Oleh itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan konsep perumahan mampu milik, Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang dilancarkan melalui fasa pertama pada 4 Julai 2011 melibatkan 42,000 unit rumah di 20 lokasi strategik.

Perdana Menteri yang mahukan satu sistem lebih mantap kemudiannya membentuk Unit PR1MA, bukan sahaja untuk menyediakan perumahan mampu milik malahan membentuk komuniti yang kukuh dan selamat dari awal hingga selepas unit rumah itu didiami.

Ketua Pegawai Eksekutif Unit PR1MA di Pejabat Perdana Menteri, Datuk Abdul Mutalib Alias menjelaskan, fasa pertama itu digerakkan beberapa syarikat perumahan swasta mengikut sistem awal untuk bina dan jual.

“Unit PR1MA kemudian ditubuhkan pada Julai 2011 bagi membentuk satu sistem kukuh untuk menjamin kejayaan konsep perumahan mampu milik berkualiti dan gaya hidup komuniti dalam jangka panjang.

“Dengan mandat yang diberikan, Akta PR1MA diluluskan di Parlimen pada hujung 2011 dan digazetkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada Januari 2012," katanya.

Menurut beliau, pejabat dan organisasi baru Perbadanan PR1MA Berhad mula dibentuk sejak Februari lalu dan kini dalam proses mengaktifkan Akta PR1MA dan membentuk PR1MA Corporation.

Jelasnya, pembangunan rumah mampu milik di bawah fasa pertama pada 2011 tidak tertakluk kepada Akta PR1MA tetapi tetap dibangunkan pemaju swasta secara kerjasama dengan Unit PR1MA.

Tegasnya, konsep rumah mampu milik PR1MA oleh Perdana Menteri kini telah mengalami evolusi menjadi satu sistem lebih baik bagi mengurangkan beban kumpulan pertengahan khususnya perumahan berkualiti di kawasan bandar.

“PR1MA juga berperanan menyediakan polisi dan garis panduan yang jelas untuk jangka panjang dalam membentuk komuniti yang stabil dan selamat serta gaya hidup holistik, mengikut permintaan isi rumah dan bukannya mengikut trend pasaran.

“Projek pertama PR1MA yang sepenuhnya di bawah kelolaan unit ini dan mengikut Akta PR1MA akan dilancarkan Perdana Menteri di Seremban pada 29 September ini," katanya.

Menurut Abdul Mutalib, projek PR1MA di bawah akta sama di Lembah Klang pula akan dilancarkan secepat mungkin dengan sasaran pelancaran serentak beberapa tapak projek di kawasan strategik sekitar Kuala Lumpur.

Beliau memaklumkan, beberapa syarat kelayakan ditetapkan termasuk pendapatan isi rumah antara RM2,500 hingga RM7,500 tetapi hanya mengambil kira untuk suami dan isteri, tidak termasuk anak yang sudah bekerja.

“Kita juga beri keutamaan kepada mereka yang sudah tinggal atau bekerja di kawasan projek PR1MA akan dibangunkan tetapi mereka yang dalam perancangan berpindah ke kawasan itu juga boleh memohon mengikut syarat tertentu.

“Rumah PR1MA juga hanya boleh dibeli oleh mereka yang tiada rumah atau ada satu rumah lain sahaja, selain syarat ketat iaitu jika mahu menjual rumah PR1MA mereka dalam tempoh 10 tahun pertama," tegasnya.

Menurut beliau, mereka yang menjual rumah itu di bawah satu tahun pemilikan hanya akan menerima kembali kos asal, sementara antara tahun kedua hingga ke sembilan hanya menerima harga kos dengan nilai inflasi tahunan sahaja.

Tambahnya, pembeli juga perlu tinggal di rumah PR1MA yang dibeli dan hanya boleh menyewakannya atas alasan tertentu mengikut kelulusan pihak pengurusan sementara mereka yang melanggar garis panduan boleh diambil tindakan mengikut peruntukan akta tersebut.

“Syarat tersebut bagi mengelakkan aktiviti spekulasi harga rumah tanpa membebankan pembeli yang terpaksa menjual atas faktor tertentu di samping menghalang rumah disewa kepada warga asing mahupun terlalu ramai penyewa dalam satu rumah.

“Selain itu, program ini juga boleh menjana kekayaan untuk pembeli rumah PR1MA jika mereka menjualnya selepas 10 tahun apabila anak-anak sudah besar, mengikut harga pasaran," katanya.

Abdul Mutalib menegaskan, sistem baru di bawah Akta PR1MA itu penting bukan sahaja bagi mencapai sasaran menyediakan rumah mampu milik yang berkualiti malahan berserta satu struktur pengurusan dan kawal selia yang jelas agar sebarang masalah peringkat akar umbi dapat sampai kepada pihak atasan dengan pantas.

Beliau juga menasihatkan orang ramai agar tidak khuatir tentang proses pemilihan kerana semuanya akan dijalankan secara telus melalui laman web dan setiap permohonan akan ditapis dengan rapi sebelum diluluskan.

“Sebuah pangkalan data kebangsaan akan dibina menjelang hujung tahun ini dan semua yang berkelayakan boleh mendaftar bagi memastikan kemampuan masing-masing serta saiz, bilangan dan harga rumah yang sesuai disediakan mengikut permintaan di sesebuah kawasan.

“Kita akan memaklumkan jika ada projek PR1MA akan dibina berhampiran tempat tinggal atau bekerja mereka bagi memudahkan proses permohonan, tapisan dan menjamin ketelusan undian," ujarnya.

Beliau menjelaskan, reka bentuk rumah PR1MA akan mengikut saiz tanah yang disediakan kerajaan negeri atau pemaju tetapi bukannya seperti rumah kos rendah kerana keutamaan kepada memenuhi permintaan dan keperluan pembeli.

Tegasnya, apa yang mahu disediakan adalah rumah mampu milik berkualiti yang lebih murah daripada harga pasaran, sama ada bagi keluarga ataupun yang bujang, seterusnya membawa kumpulan pertengahan kembali ke kawasan bandar.

“Trend pasaran rumah kini memaksa golongan pertengahan keluar tetapi fokus kita adalah meningkatkan jumlah perumahan mampu milik yang berkualiti secepat mungkin seterusnya membawa mereka kembali ke bandar-bandar.

“Dalam menyelesaikan masalah perumahan kumpulan pertengahan ini, secara tidak langsung dapat menjana kekayaan jangka panjang kepada mereka dan pada masa sama membina jaringan serta struktur dalam sebuah komuniti yang kukuh dan selamat seperti yang disasarkan Perdana Menteri," tegasnya.

0 comments:

share2