KUANTAN - Nikmat keamanan dikecapi rakyat seharusnya dihargai dan bukan mencemarkannya dengan kekacauan kerana terpengaruh pihak tertentu yang iri hati dengan apa yang dimiliki selama ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, keamanan perlu dijaga dan bukan hanya dipertanggungjawabkan kepada pasukan keselamatan tetapi juga rakyat secara keseluruhannya.
"Kita bersyukur dengan keamanan dinikmati sekarang. Jika dibandingkan dengan negara bergolak seperti Syria, rakyat di sana bukan tunggu untuk makan tetapi takut terkena tembakan atau bom.
"Berbanding negara ini, kita tidak perlu bimbang dan boleh melakukan apa sahaja kerana pasukan keselamatan sentiasa bersiap siaga tanpa mengira masa.
"Pengorbanan mereka seharusnya dihargai dengan rakyat bersama-sama menjaga apa yang dinikmati ketika ini," katanya di sini hari ini.
Beliau berucap pada majlis Singgah Sahur bersama warga anak kapal KD Pahang di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini.
Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Datuk Mohd. Hazmi Yusof; Panglima Wilayah Satu, Laksamana Muda Datuk Panglima Mohd. Roslan Mohd. Ramli; Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab. Ghani dan Pegawai Pemerintah KD Pahang, Kapten Azhar Adam.
Adnan berkata, sebahagian besar rakyat merasa kecewa apabila ada pihak yang mahu mewujudkan keadaan huru-hara di negara ini.
"Itulah sebenarnya peranan pasukan keselamatan untuk memastikan keamanan negara tidak tergugat dengan tindakan pihak terbabit," jelasnya.
Dalam pada itu, Adnan mengumumkan kerajaan negeri bersetuju memperuntukkan sebanyak RM500,000 untuk dimasukkan ke dalam tabung cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seperti TLDM, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Darat dan Polis Diraja Malaysia di negeri ini.
Jelasnya, dana berkenaan akan membolehkan kebajikan warga pasukan keselamatan terbela dan dapat melakukan beberapa aktiviti rekreasi yang dijalankan oleh mereka.
0 comments:
Post a Comment