FELDA BUKIT MENDI – Pihak pengurusan Felda menafikan dakwaan seorang anak peneroka mengenai kelewatan dan kerumitan agihan wang durian runtuh kepada waris peneroka.
Dalam laporan Sinar Harian semalam, generasi kedua Felda melahirkan rasa kecewa dengan cara Felda menguruskan penyerahan wang durian runtuh kepada peneroka.
Pengurus Rancangan, Abdul Halil Abd Majid berkata, setiap cek di atas nama peneroka yang sudah meninggal dunia, langsung tidak memberi masalah kepada pihaknya untuk memproses pertukaran cek baru.
Menurutnya, mungkin berlaku salah faham menyebabkan ada dalam kalangan anak peneroka tidak berpuas hati.
“Bagi masalah pengadu iaitu Roslan Abu Bakar yang disiarkan Sinar Harian semalam adalah lebih berbaur fitnah.
“Ibu waris sudah pun menerima wang durian runtuh pada 8 Jun lalu dengan tempoh tidak sampai sebulan pun agihan cek itu yang disampaikan Ahli Parlimen Bera,” katanya.
Abdul Halil berkata, pihaknya sentiasa menjalankan tanggungjawab terhadap keperluan peneroka atau lebih tepat warga Felda.
Katanya, pihaknya tidak akan menyusahkan mana-mana pihak kerana wang durian runtuh itu adalah milik peneroka, isteri dan anak-anak peneroka.
“Itu wang mereka dan kami tidak akan melengah-lengah perkara ini,” katanya.
0 comments:
Post a Comment