Masih segar dalam ingatan Pengerusi Setia Haruman Sdn. Bhd. (SHSB), Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar bagaimana syarikatnya terpaksa menawarkan kadar sewa subsidi bagi menarik lebih banyak pelabur ke Cyberjaya. Saban malam, beliau gagal memejamkan mata kerana memerah otak memikirkan masa depan Cyberjaya. Namun masa-masa sukar yang meninggalkan kenangan pahit tersebut sudah jauh berlalu, Mustapha Kamal yang meneraju SHSB sebagai pemaju utama Cyberjaya kini boleh tersenyum bangga dengan usaha yang telah beliau taburkan.
Daripada sebuah ladang kelapa sawit, Cyberjaya kini menempatkan empat institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) selain syarikat dan organisasi antarabangsa terkenal seperti Shell, Dell, HP, HSBC, IBM, BMW, Ericsson, Huawei dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Walaupun begitu, suasana sunyi yang membosankan akan mula dirasai sebaik sahaja memasuki waktu senja apabila pekerja-pekerja syarikat antarabangsa dan penuntut IPTS di Cyberjaya mula 'mengosongkan' bandar ini. Kenyataan ini memang ada benarnya kerana berdasarkan statistik terkini, populasi Cyberjaya pada waktu siang sekitar 54,000 orang tetapi angka tersebut mengucup mendadak menjelangnya waktu malam.
Adalah sukar untuk melihat Cyberjaya sebagai bandar yang bertenaga pada waktu malam kerana sebaik-baik matahari membenam, pejabatnya akan kosong dan jalan-jalan pula menjadi lengang. Cuma di satu dua kawasan sahaja kelihatan kelibat para penuntut berborak-borak di kedai-kedai mamak atau restoran. Ada juga yang mendakwa situasi ini disebabkan oleh ketiadaan pusat-pusat hiburan di Cyberjaya.
Penduduk Cyberjaya pada masa ini hanya sekitar 13,000 orang berbanding populasi di bandar bersebelahan iaitu Putrajaya yang melebihi 85,000 orang. Namun perlu diingatkan bahawa pembangunan dan perkembangan Putrajaya boleh dikatakan dipacu oleh sektor awam di mana pembinaan kuarters dan pejabat kerajaan membawa kepada pertambahan penduduk secara mendadak. Berlainan dengan Putrajaya, Cyberjaya mempunyai cabaran yang tersendiri kerana ia tidak dirancang sebagai sebuah bandar 'penjawat awam' sebaliknya pembangunannya perlu dipacu sektor swasta. Sebagai sebuah bandar baru, Cyberjaya memiliki pelbagai kelebihan yang tidak dimiliki oleh bandar-bandar lain kerana pembangunannya dijalankan secara terancang mengikut perkembangan teknologi binaan dan perancangan bandar yang baik.
Cabaran utama Cyberjaya bagaimanapun terletak pada kemampuannya untuk menjadi sebuah bandar bertenaga seperti Kuala Lumpur, Puchong atau Subang Jaya. Atas kesedaran ini, SHSB sebagai pemaju utama telah mewujudkan pelan gelombang baru Cyberjaya di mana syarikat itu bersama 16 pemaju lain dijangka melabur RM20 bilion mulai tahun ini hingga 2016. Dalam tempoh tersebut, SHSB sendiri dijangka melabur RM2.5 bilion dalam empat projek iaitu masing-masing dua projek komersial dan perumahan. Projek komersial SHSB melibatkan pembinaan pusat beli-belah, kedai, pejabat, kemudahan santai dan hiburan serta unit pejabat rumah (SOHO). Trend pelaburan dalam perumahan komersial sepanjang 2012 hingga 2016 menampakkan usaha untuk meningkatkan populasi Cyberjaya serta menjadikannya sebagai sebuah bandar yang bertenaga tidak kira siang atau malam.
Mustapha Kamal melihat tempoh 2012 hingga 2016 sebagai fasa pembangunan yang penting buat Cyberjaya kerana ia bakal menentukan kejayaan bandar itu sebagai Lembah Silikon Malaysia. Sememangnya SHSB mempunyai cita-cita yang besar untuk menjadikan Cyberjaya setaraf seperti Bangalore yang merupakan Lembah Silikon India.
''Kita menyasarkan supaya selepas fasa pembangunan 2012 hingga 2016, kita akan bersedia untuk membawa masuk syarikat-syarikat berimpak tinggi yang boleh memberi kesan penting kepada ekonomi negara. ''Kita mahu membawa syarikat bermutu yang mampu menyediakan peluang pekerjaan profesional kepada rakyat Malaysia," katanya dalam taklimat media baru-baru ini. Cita-cita untuk menjadikan Cyberjaya setaraf Bangalore malahan Santa Clara Valley iaitu Lembah Silikon India dan Amerika Syarikat sememangnya mencabar, tetapi ia bukanlah sesuatu yang mustahil.
Ia berasaskan kepada hakikat bahawa Cyberjaya telah menunjukkan pembangunan mantap sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan banyak pelabur baru mengintai potensi tempat ini yang terletak di sebelah Putrajaya dan tidak jauh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Putrajaya, Cyberjaya dan KLIA, ketiga-tiga tempat ini asalnya hanya ladang kelapa sawit tetapi kini masing-masing menjadi pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan, pusat pelaburan berimpak tinggi dan pintu masuk utama ke Malaysia. ''Dengan aktiviti pembangunan yang begitu pesat di Cyberjaya, kita menjangkakan Cyberjaya akan memasuki gelombang baru lima tahun akan datang. Ia akan menjadi sebuah bandar yang bertenaga dan selesa diduduki," kata Mustapha Kamal.
0 comments:
Post a Comment