Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, June 7, 2012

Pusat Judi Terus Berleluasa


KUANTAN – Pelbagai langkah diambil pihak berkuasa untuk membanteras kegiatan judi haram yang kebanyakannya berselindung di sebalik pusat kafe siber.

Bukan sahaja sukar dibendung, malah ada pusat judi tidak pernah serik untuk meneruskan kegiatan mereka dengan mengaburi mata umum serta pihak berkuasa menggunakan taktik tersendiri.

Kegiatan judi menyebabkan pelbagai masalah termasuk pergolakan rumah tangga seperti dihadapi seorang wanita yang membuat aduan mengenai sifat suaminya yang ketagih judi.

Pemerhatian di sekitar bangunan dimaksudkan mendapati kafe siber itu berada di lokasi strategik dan terbuka, namun menimbulkan tanda-tanya berikutan masih lengang pada jam 10 pagi.

Berdasarkan tinjauan, seorang pekerja yang bertugas berhampiran kafe siber itu menyatakan ia dijadikan premis perjudian dan hanya beroperasi pada sebelah petang.

Menurutnya, walaupun bangunan itu seolah-olah tutup, tetapi sebenarnya pelanggan hanya dibenarkan masuk menggunakan pintu belakang premis.

“Bangunan itu menjadi tempat perjudian, tetapi cuba berselindung di sebalik kafe siber. Bermula jam 4 petang, bangunan itu mula aktif. Tetapi agak mencurigakan kerana pelanggan masuk secara sembunyi melalui pintu belakang,” katanya.

Dia berkata, pusat judi itu bukan hanya satu bangunan kerana terdapat sebuah lagi premis turut menjalankan operasi sama.

“Banyak kali pusat judi ini diserbu, tetapi mereka tidak takut dan tetap beroperasi semula. Tidak jauh dari bangunan itu, terdapat satu lagi tempat perjudian. Masalah ini bukan perkara baru,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, polis memandang serius mengenai kegiatan itu yang menjadi penyumbang kepada peningkatan kes jenayah termasuk pecah rumah dan sebagainya.

Menurutnya, dalam tempoh Mac hingga Mei tahun ini, sebanyak 113 serbuan dilakukan ke atas pusat siber berlesen dan haram sekitar bandar ini, manakala sebanyak 1,191 set komputer dianggarkan bernilai RM1.1 juta berjaya dirampas.

“Polis kesal kerana kebanyakan premis lakukan kesalahan berulang kali, malah pernah juga dikenakan tindakan sebelum ini," katanya.

Menurutnya, dalang kegiatan itu agak licik apabila menggunakan pelbagai taktik untuk melindungi operasi mereka termasuk penggunaan khidmat tonto, pengawasan kamera litar tertutup dan sebagainya.

Mohd Jasmani berkata, semua premis terbabit dikenakan pelbagai tindakan termasuk rampasan komputer, pembatalan lesen, pemotongan bekalan elektrik dan air, manakala penjaga pula dikenakan tindakan di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi terbuka 1960.

0 comments:

share2