Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, June 21, 2012

Pertahankan Demokrasi


JIKA generasi muda inginkan kemajuan yang kita kecapi bak oksigen yang disedut dengan percuma hari ini berkekalan, hanya satu perkara yang mereka perlu pertahankan dengan sepenuh jiwa dan raga. Perkara tersebut adalah bersumpah untuk patuh kepada Rukunegara iaitu Percaya Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang, dan Kesopanan Dan Kesusilaan. Pendek kata sistem demokrasi yang menjadi asas kemajuan negara kita jangan ada kompromi oleh mana-mana pihak dalam dan luar.

Hari ini anak muda tidak kira daripada bangsa Melayu, Cina, India, Serani, etnik dari Sabah dan Sarawak dan Orang A sli dari pelbagai suku perlu celik dan berpijak di bumi nyata bahawa kemajuan dan keamanan yang sedang kita kecapi hari ini hampir pupus angkara parasit yang tidak perlu diperkenalkan lagi.

Cuma berfikirlah dalam terang dan suluhlah minda dalam kegelapan apakah dengan menghancurkan sistem demokrasi kita akan lebih maju dan mampu melonjak setanding negara maju yang bukan sahaja mengalami masalah hutang lapuk malahan ada yang maju di padang bola tetapi kantung kerajaan semakin mengecil.

Lihat dengan mata dan hati mengapa raja-raja yang kita kasihi dengan mudah disindir di dalam media-media baru. Fikirkan juga mengapa ada pihak yang asyik menyerang Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) atas isu yang pihak mereka sendiri tidak tahu bagaimana hendak selesaikan. Jika ada masa pergilah melawat blog-blog pro parti bukan kerajaan BN yang semuanya menggunakan bahasa yang langsung tidak mencerminkan Rukunegara ke lima kesopanan dan kesusilaan.

Dalam masa yang sama lihatlah kepada diri pemimpin parti pembangkang yang gagal mendapat atau mengekalkan kuasa yang ada atas alasan Kerajaan BN yang dipilih secara demokrasi tidak telus dalam pilihan raya. Bayangkan juga ada pemimpin pembangkang yang hebat dalam perundangan di negara ini namun melihat asas negara ini ditubuhkan secara perundangan yang sah ada kecacatan hingga tergamak mempertikai banyak perkara berhubung Perlembagaan Persekutuan.

Tidak salah untuk anak muda masuk ke gelanggang politik, namun ada yang baru kenal dunia sudah pandai mengkritik polis dan pemimpin negara yang langsung tidak membuat salah kepada dirinya. Inikah generasi yang ingin dilahirkan pejuang-pejuang kemerdekaan seperti Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Tan Cheng Lock dan Tun VT Sambanthan. Jika mereka masih hidup sudah pasti mereka melahirkan rasa kesal kerana bersusah payah membentuk negara ini sebagaimana yang ada hari ini.

Pemimpin-pemimpin negara yang telah meninggalkan kita, telah melihat jauh ke hadapan, jika tiada Perlembagaan Persekutuan maka masa depan negara sebagai negara mengamalkan demokrasi tidak dapat dikekalkan dan kita bukan sahaja tidak menjadi negara maju malah mundur semundurnya.

Hari ini Malaysia bukan sahaja bergerak sebagai ekonomi berdaya saing dalam senarai 20 teratas malahan lokasi negara yang strategik untuk menabur modal. Termasuk modal air liur yang dibuat oleh parasit-parasit yang mahu menjahanamkan sistem demokrasi terpimpin.

Orang muda perlu sedar bahawa Kerajaan Barisan Nasional dipimpin oleh manusia dan setiap manusia ada kelemahannya. Namun setiap pemimpin dalam parti akan menutup kelemahan tersebut. Adakah kerana seorang pemimpin yang kemaruk kuasa kita sanggup kehilangan asas negara ini. Adakah kerana mulut seorang pemimpin yang membuat fatwa yang cenderung membela diri dan partinya, kita cepat menghukum parti BN yang berjasa meletakkan ekonomi dan infrastruktur negara pada kelas dunia.

Orang muda perlu berhati-hati dengan setiap fakta dan dogma yang dibawa oleh parasit-parasit dengan pelbagai topeng dan imej, kononnya memperjuangkan keadilan sejati sedangkan jika kita amati kepada peristiwa yang melanda hingga kesetiaan kepada raja dilanggar, keluhuran perlembagaan dipersoalkan menyentuh hak istimewa orang Melayu dan raja-raja kita, pendek kata tindak-tanduk penuh muslihat hingga demonstrasi mencemari Kuala Lumpur merupakan bibit mengancam sistem demokrasi negara kita.

Generasi muda tanpa segan silu dan gentar perlu mempertahankan sistem hak majoriti memilih siapa wakil dalam Kerajaan Persekutuan dan negeri. Kerana hari ini kita ada cukup asas untuk hidup selesa iaitu keamanan dan kestabilan ekonomi. Tekan suis lampu menyala. Pusing paip air mengalir. Kalau panas buka pendingin udara. Kalau hendak informasi 24 jam buka Radio Bernama 24 dan dengan gajet tablet.

Kalau hendak buat isu masuk ke laman twitter, lambung isu untuk disambut oleh rakan-rakan twitter. Waktu malam jika rasa nak tonton bola sepak, negara yang aman ini menjanjikan stadium kedai mamak untuk kita bersorak-sorai meraikan gol pemain bola yang bertaraf bintang.

Ingatlah kita akan kehilangan segala-galanya jika kita menggadaikan sistem demokrasi kita kepada parasit-parasit politik di luar sana. Bayangkan semua kenikmatan ini hilang begitu sahaja.

0 comments:

share2