Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, June 27, 2012

Orang Mabuk Serang Sekeluarga


SUNGAI KERPAN (Lipis) - Enam sekeluarga yang tinggal di kawasan Rumah Murah Sungai Kerpan, di sini, berhadapan detik mencemaskan apabila kawasan rumah mereka diserang tiga lelaki bersenjatakan parang.

Mangsa, R Ramachandran, 25, berkata, ketika kejadian yang berlaku kira-kira jam 3 pagi itu, dia sekeluarga sedang tidur sebelum dikejutkan bunyi bising dari arah luar rumah.

“Saya terdengar orang memanggil nama saya dari luar rumah lalu saya menjenguk melalui pintu dan terlihat seorang lelaki yang juga jiran tetangga.

“Saya kemudiannya berbicara secara baik dan sekiranya lelaki berkenaan tidak berpuas hati tentang sesuatu hal saya meminta untuk berbincang pada keesokan pagi,” katanya, di sini, semalam.

RAMACHANDRAN berkata, lelaki berkenaan seperti tidak berpuas hati dengan penjelasan tersebut lalu bertindak menghubungi rakannya.

“Beberapa minit kemudian datang dua lelaki yang juga rakan serumah dengan lelaki terbabit dan mula membuat kacau. Mereka juga ada menyebut bahawa mereka ahli Kumpulan 24.

“Salah seorang daripada mereka menggunakan parang dan cuba mengugut kami. Malah, mereka bertindak lebih agresif dengan merosakkan pagar rumah, memecahkan cermin tingkap dan
pasu bunga selain merosakkan dua motosikal saya,” katanya.

Ramachandran berkata, dia kemudiannya bertindak menghubungi bapa saudara, K Shekumaran yang tinggal berdekatan untuk meminta pertolongan.

“Tidak berapa lama kemudian, bapa saudara saya tiba dengan beberapa anggota polis untuk meleraikan pertelingkahan terbabit.

“Walaupun terdapat anggota polis di situ namun kumpulan lelaki terbabit masih bertindak kasar dan memukul bahagian belakang kepala bapa saudara saya,” katanya.

Ramachandran berkata, polis kemudiannya menahan tiga lelaki terbabit dan membawa mereka ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk siasatan.

SEMENTARA itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, kesemua suspek terbabit di bawah pengaruh alkohol sebelum bertindak menyerang rumah mangsa.

“Kesemua suspek direman sehingga 27 Jun ini. Selain itu, polis juga ada membuat rampasan senjata berupa parang sepanjang dua kaki yang digunakan seorang suspek ketika menyerang
mangsa,” katanya.

Abdul Razak berkata, pihaknya mendapati Kumpulan 24 yang kononnya disertai suspek terbabit adalah tidak benar. Mungkin di bawah pengaruh alkohol maka suspek mengeluarkan kenyataan yang tidak sahih dan hanya ingin menakutkan mangsa,” katanya.

Abdul Razak berkata, kes berkenaan masih dalam siasatan dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

0 comments:

share2