Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, June 22, 2012

Disamun Dengan Parang


BENTONG – “Jangan apa-apakan keluarga saya, ambil sahaja apa yang awak mahu,” itu rayuan seorang peniaga warga emas yang menjadi mangsa samun di kediamannya dekat perumahan Sungai Marong, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa, Leng Wang Luin, 76, berada di rumah bersama isteri, anak, menantu dan dua cucunya.

Wang Luin berkata, ketika bersembahyang di ruang tamu dia dikejutkan dengan kehadiran empat lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang di belakangnya.

Menurutnya, dia diarahkan diam oleh salah seorang lelaki itu dan meminta agar menurut permintaan mereka menyerahkan wang tunai dan barangan berharga.

“Saya sempat merayu agar mereka tidak mencederakan ahli keluarga yang berada dalam rumah. “Ketika itu, isteri sedang mandi manakala anak dan menantu serta dua cucu tidur dalam bilik,” katanya.

Wang Lui berkata, atas desakan mereka, dia menyerahkan tunai lebih kurang RM3,000 yang disimpan untuk kecemasan.

Menurutnya, kemudian mereka menggeledah semua bilik di dalam rumah mencari barang berharga lebih kurang setengah jam sebelum melarikan diri.

“Ini kejadian kali pertama berlaku ke atas keluarga saya sejak tinggal di sini dan kami masih belum dapat mengenal pasti kerugian sebenar. “Saya lega kerana ahli keluarga tidak diapa-apakan dan berharap polis menjalankan siasatan sewajarnya,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Menurutnya, unit anjing pengesan K-9 dan forensik polis turut dipanggil untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan,” katanya.

0 comments:

share2