GOLONGAN belia dan muda-mudi di negara ini bakal memainkan peranan penting menentukan hala tuju kepimpinan Malaysia dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) untuk tahun-tahun paling penting menjelang Wawasan 2020.
Di ketika pihak pembangkang cuba menggambarkan majoriti rakyat terutamanya belia menyokong mereka, keputusan pilihan raya setakat ini tetap menyatakan sebaliknya.
Seperti juga di kalangan pengundi veteran, golongan pengundi muda negara ini masih terbahagi kepada penyokong kerajaan, penyokong pembangkang dan pengundi atas pagar.
Jika pembangkang mendakwa puluhan ribu muda-mudi menyertai mereka dalam perhimpunan haram tempoh hari, itu cuma satu angka kecil berbanding keseluruhan 11.9 juta belia yang majoritinya menolak sebarang perbuatan 'sumbang' dan bertentangan dengan agama serta adat budaya ketimuran.
Bukan semua golongan belia boleh dijadikan catur mahupun kuda tunggangan untuk kepentingan politik individu atau kumpulan tertentu sebaliknya ramai di antara mereka cukup bijaksana dalam bertindak dan menilai bagaimana wakil rakyat mereka menjalankan tugas masing-masing.
Tarikh luput untuk surat kuasa semua wakil rakyat juga semakin hampir dan siapa yang lebih mengutamakan berpolitik daripada menjalankan tanggungjawab sebaiknya di kawasan masing-masing selepas tamat mandat lima tahun, memang sepatutnya mereka panas punggung.
Walau bermacam isu cuba dipolitikkan, golongan belia seperti mana-mana rakyat Malaysia lain hanya mahu wakil rakyat yang membela nasib mereka untuk hidup yang lebih baik kelak dan bukannya janji-janji kosong yang tidak berpijak di bumi nyata.
Walaupun sebilangan kecil muda-mudi ini dikaitkan dengan tindakan beremosi, darah panas, taksub mahupun tidak matang, sejarah membuktikan lebih ramai lagi golongan belia yang mampu berfikiran secara rasional dalam menilai menggunakan kewarasan dan logik akal.
Yang menyokong BN kekal menyokong, yang menyokong pembangkang semakin suram sementara yang di atas pagar dapat menilai siapa yang bekerja untuk rakyat dan siapa yang memperjuangkan agenda peribadi.
Hakikatnya, pengundi muda yang melahirkan rasa kecewa dengan kepimpinan BN terdahulu pada PRU 2008 masih lagi menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) dan tidak pernah meninggalkan perjuangan mereka untuk menyertai pihak lawan.
Pengundi muda atas pagar pula tidak menyertai arena politik secara aktif tetapi jelas sekali masih rasional akalnya dalam menolak pemimpin mahupun agenda sempit yang hanya akan memudaratkan masa depan negara dan generasi berikutnya.
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee mengakui ada perubahan besar di kalangan belia negara peringkat akar umbi yang dilihat makin ramai menyokong BN.
Ini jelasnya, berkait rapat dengan pelbagai program dialog, perhimpunan dan bermacam aktiviti lain bersama kerajaan.
"Bukan perhimpunan di Putrajaya sahaja mendapat sambutan menggalakkan, jelajah belia di setiap daerah dan negeri sebelum itu juga menampakkan penerimaan muda-mudi yang cukup tinggi.
"Saya juga akui suara belia tidak diketepikan kerajaan dalam membuat sesuatu keputusan dan ini menjadikan kami yakin kepada kepimpinan BN," katanya.
Menurutnya lagi, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri dalam ucapan dan perjumpaan bersama belia mengakui peranan muda-mudi dan Perdana Menteri mahu belia terlibat dalam keputusan membentuk negara.
Tambahnya, banyak isu di mana penglibatan belia diambil kira, khususnya MBM sendiri yang turut serta secara serius untuk memberi idea dan teguran yang diterima secara terbuka oleh kerajaan.
"Namun, saya berharap kerajaan dapat meneruskan usaha mendekati golongan muda terutamanya dalam menyalurkan bantuan mengurangkan beban hidup mereka.
"Walaupun telah ada bantuan seperti Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), mungkin dapat difikirkan bantuan yang boleh disampaikan terus kepada golongan belia ini," ujarnya.
Mohamed Maliki mencadangkan kerajaan menimbangkan bantuan kemudahan khusus untuk orang muda yang baru mula berdikari melalui perniagaan atau bekerja sendiri.
"Selain itu, mungkin dapat ditimbangkan bantuan khas untuk golongan muda yang baru berkahwin dan menimang cahaya mata.
"Jika sekurang-kurangnya bantuan untuk susu tepung bayi mahupun untuk keperluan bayi, pasti dapat mengurangkan beban hidup golongan belia," jelasnya.
Naib Presiden Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi), Mohd. Zufry Mohd. Yunus turut bersetuju semakin ramai belia kini yang tertarik kepada BN hasil pelbagai program dan aktiviti yang dijalankan.
"BN dilihat menerima pandangan orang muda dan secara matang mendalami masalah yang dihadapi oleh rakyat.
"Bermacam bantuan disampaikan kepada orang muda termasuk BR1M dan baucer buku dan ini menarik golongan muda untuk bersama kerajaan," katanya.
Menurutnya, sambutan menggalakkan dalam Himpunan Jutaan Belia di Putrajaya bulan lalu menunjukkan belia mahu mendekati dan memahami matlamat kepimpinan BN.
Tambahnya, kerajaan juga diharap dapat meneruskan usaha menarik sokongan belia dengan tumpuan kepada aspek pendidikan dan pekerjaan untuk muda-mudi yang menganggur.
"Kerajaan sudah banyak memudahkan pendidikan hingga ke peluang pekerjaan untuk belia tetapi mungkin ada beberapa isu yang dapat dipertimbangkan demi masa depan muda-mudi ini.
"Ini termasuk caj satu peratus Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang para pelajar harap dapat ditampung kerajaan di samping peluang berdikari melalui perniagaan," ujarnya.
Jelas Mohd. Zufry, pengangguran masih ada di kalangan belia terutamanya jika terpaksa bersaing dengan pekerja asing yang dibayar dengan gaji lebih rendah.
"Negara lain seperti Singapura dan Australia juga menghadapi masalah akibat pekerja asing dan kerana itu kita tidak mahu muda-mudi terlalu bergantung kepada cara 'makan gaji'.
"Kerajaan diharap dapat menyediakan kelonggaran untuk belia berdikari melalui perniagaan terutamanya mengatasi masalah bank-bank yang mahukan cagaran dan pengalaman untuk pinjaman sedangkan graduan tiada semua itu," tegasnya.
Menurutnya lagi, kerenah birokrasi sedemikian menyebabkan beberapa bantuan yang diumumkan sebelum ini masih gagal dilaksanakan demi membantu belia berdikari.
0 comments:
Post a Comment