Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, June 6, 2012

Adakah Kita Sudah Bersedia ?


TRANSFORMASI secara umumnya bererti berhijrah dari satu yang baik kepada yang lebih baik. Daripada dasar yang ada sekarang, diperkemaskan kepada yang lebih sempurna bagi mengejar sesuatu sasaran dan matlamat.

Sasaran dan matlamat Malaysia, di bawah Perdana Menteri Najib Tun Razak ialah melakukan program transformasi untuk menuju ke arah Wawasan 2020. Kita ada lapan tahun lagi untuk menjadi sebuah negara maju.

Meletakkan sasaran 2020 itu merupakan strategi yang cukup sempurna. Ia adalah satu wawasan terbaik yang diasaskan oleh negara ini.

Tapi bukan mudah untuk mencapainya. Untuk menjadi sebuah negara maju sepenuhnya harus mengambil kira pelbagai aspek - kestabilan ekonomi, sosial, politik, kebudayaan dan yang paling penting ialah minda kita.

Minda bererti pemikiran, sikap, tingkah laku, kesopanan, kesusilaan, etika, adap dan lain-lain. Ia juga bererti kita harus berfikir dengan baik dan matang. Cara berfikir rakyat Singapura berbeza dengan Malaysia. Cara berfikir pegawai-pegawai kerajaannya berbeza dengan kita. Strategi strategiknya berbeza dengan kita.

Singapura ialah sebuah negara maju. Sesebuah negara maju biasanya sistemnya telah stabil. Pemikiran rakyatnya bergerak seiring dengan kestabilan sistem itu. Tujuan saya mengambil contoh republik itu adalah kerana ia sebuah negara maju yang paling hampir dengan kita.

Pemikirannya bergerak ke hadapan, bukan sebaliknya. Pemikirannya dicabar supaya berfikir ke hadapan secara kritis dan kreatif. Pemikirannya dicabar supaya melakukan eksplorasi dan penerokaan-penerokaan baru.

Eksplorasi minda harus bergerak seiring dengan transformasi minda. Berani saya katakan itulah yang dilakukan oleh pihak pembangkang, yang tidak dilakukan oleh pihak sebelah sini.

Peperangan politik juga melibatkan transformasi dan eksplorasi minda. Bukan statik. Bukan kaku. Bukan hanya bertahan, tapi menyerang.

Para pegawai strategik kerajaan, ahli-ahli politik kerajaan harus mempunyai minda sebegini. Pemikiran yang strategis yang mampu menganalisis isu, mengintepretasi serta menyerang. Bukan hanya mempertahankan atau menjelaskan isu-isu yang ditembak oleh pihak musuh.

Dalam peperangan politik atau dalam permainan sukan sekali pun, terlalu kerap bertahan atau mengalah akan membawa padah.

Saya sedih apabila melihat kita terlalu banyak bertahan daripada menyerang. Apakah kita sudah keletihan minda dan miskin idea, sedangkan kita berada di pihak yang sepatutnya menang?

Sebagai orang media saya memerhati perkembangan ini sedang berlaku. Semua kenyataan yang tersiar di media tradisional atau baru lebih kepada mempertahankan diri. Jarang-jarang kelihatan satu terjahan membunuh terhadap lawan.

Semua pihak kelihatan syok sendiri membuat kenyataan itu dan ini. Terlalu banyak pihak termasuk NGO-NGO yang sekadar mahu suara dan muka mereka kelihatan dalam media.

Sebenarnya, terlalu banyak kelemahan dan kesilapan serta kemudaratan yang dilakukan pihak pembangkang di Pulau Pinang, Selangor, Kedah, Kelantan yang tidak cukup didedahkan.

Kerja kita setiap hari ialah mempertahankan isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak sebelah sana. Kita harus mula menyerang dari sekarang. Menanam keyakinan orang terhadap sesuatu isu mengambil masa. Jika tidak dimulakan sekarang, mungkin ia sudah terlambat.

Kita tidak boleh lagi membenarkan rakyat kita yakin terhadap tuduhan pembangkang melebihi daripada kebenaran, sehinggakan soal benar atau tidak bukan lagi menjadi persoalan.

Kita tidak boleh lagi membenarkan pemikiran rakyat yakin bahawa harga minyak akan diturunkan dalam tempoh 24 jam selepas mereka memerintah, walaupun kita tahu kenyataan itu merupakan satu pembohongan.

Kita amat-amat bimbang jika rakyat akan yakin terhadap kenyataan itu, melebihi daripada kebenaran.

Oleh itu, dalam peperangan politik yang akan berlangsung ini, kita harus bijak merangka perang saraf. Jika pembangkang menggunakan tipu muslihat, kita guna pendekatan yang lebih profesional. Setelah memerintah selama 55 tahun, semua kebaikan ada di hadapan kita. Mereka tiada.

Saya ulang, jangan biarkan rakyat menerima keyakinan sebagai kebenaran, walaupun ia satu pembohongan.

Tindakan Amerika Syarikat, misalnya mengumumkan untuk meletakkan armada laut serta logistiknya di rantau ini telah mempengaruhi emosi China. China sudah menarik kening, melihatkan pergerakan itu, walaupun Amerika tidak bermaksud mahu berperang. Ternyata Amerika berfikiran ke hadapan.

Kita sepatutnya sudah bersedia untuk menyerang dan bersiap siaga menerima serangan balas yang sudah dirancang. Serangan balas itu sepatutnya ialah satu pukulan maut.

Saya pasti kita ada strategi itu. - Utusan Malaysia

0 comments:

share2