Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, May 11, 2012

3 Sebab Mengapa Najib Memilih Felda Jengka


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan tiga sebab mengapa beliau memilih Felda Jengka 8 yang terletak antara Jengka dan Jerantut sebagai lokasi untuk mengumumkan durian runtuh kepada peneroka.

Beliau berkata, sebab pertama adalah kerana beliau sudah lama tidak menjejakkan kaki ke Jerantut, justeru pada kali ini beliau berhasrat melewati bandar berkenaan.

“Sebab yang kedua pengumuman tersebut sewajarnya dilakukan di Pahang kerana di Pahang inilah cerita Felda bermula pada 1956 sehingga kini. “Selain itu, di Pahang ini jugalah terdapat tanah rancangan Felda yang paling banyak di negara kita, sekali gus pemilihan ini dibuat sebagai satu penghargaan kepada Kerajaan Negeri ini kerana memberi sokongan kuat kepada Felda,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sejahtera Peneroka Bersama Perdana Menteri yang dihadiri lebih 40,000 peneroka, di sini, kelmarin.

Najib berkata, sebab ke­tiga pula ialah di Pahang adalah tempat yang membuatkan beliau terkenangkan apa yang dilakukan Almarhum ayahandanya, Tun Abdul Razak

Menurutnya, ini adalah impian ayahanda sebagai se­orang pengasas kepada Felda.

“Ketika melalui jalan memasuki Felda Jengka 8 dan melihatkan rumah-rumah peneroka di sini, mengingatkan saya kepada Almarhum ayahanda saya. “Pada hari ini, melihatkan keadaan tanah rancangan ini mengenangkan saya kepada­ legasi ayahanda dan transformasi kepada legasi tersebut ke tahap yang lebih tinggi dan berjaya,” katanya.

Beliau berkata, untuk warga Felda sampai ke tahap hari ini bukanlah satu perkara mudah kerana ia bukan datang bergolek.

“Apa yang ada pada hari ini adalah atas timbunan usaha jerih payah kudrat empat kerat peneroka menghalangi segala rintangan membentuk satu tanah rancangan yang sangat berjaya untuk diwarisi generasi seterusnya,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut memberi jaminan tanah yang ada pada hari ini akan kekal menjadi hak peneroka dan tidak akan digadaikan.

0 comments:

share2