SAYA adalah antara 10 ketua negara dan kerajaan yang tiba di Phnom Penh untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN.
Sepanjang dua hari akan datang, kami akan menganalisis cabaran dan peluang yang mendepani rantau ini serta membincangkan bagaimana kami boleh bekerjasama dengan sebaik mungkin untuk menanganinya.
Walaupun tumpuan utama kami nanti ialah mengenai masa depan ASEAN, namun adalah sesuatu yang memberi manfaat sekiranya kami mengimbas kembali kerjasama yang pernah terjalin antara kami suatu ketika dulu, untuk melihat sejauh mana jalan yang telah kami lalui.
Persatuan ini diasaskan secara rasmi pada 1967, tetapi sidang kemuncak pertamanya hanya diadakan pada 1976 iaitu ketika rantau ini dan penduduknya menghadapi saat-saat yang bergelora.
Peperangan mencengkam Vietnam dalam sebahagian besar tempoh dua dekad lepas.
Penghapusan kaum melanda seluruh Kemboja. Indonesia dan Filipina bergelut dengan pemerintahan tentera yang bersifat kuku besi, manakala amalan demokrasi di Thailand pula diruntun kacau-bilau, kekeliruan serta keganasan.
Ketika para pemimpin lima negara pengasas ASEAN duduk untuk memulakan rundingan mereka di Bali, banyak pihak di dunia meramalkan Asia Tenggara akan dicengkam sengketa pasca penjajahan dan kemiskinan.
Syukurlah, kesudahannya tidak demikian. Menjelang bermulanya dekad selepas itu, keamanan, kemakmuran dan demokrasi mula melebarkan sayapnya ke seluruh Asia Tenggara berikutan kemunculan para pemimpin baru yang kaya dengan idea-idea baru.
Malah, krisis kewangan 1997 terbukti tidak lebih umpama suatu bonggol di jalan raya apabila ekonomi Asia Tenggara dan pengaruh global berkembang dengan lebih hebat.
ASEAN juga berkembang bersamanya — bukan saja daripada segi saiz, tetapi juga daripada segi skopnya.
Bermula sebagai sebuah persatuan dengan matlamat utamanya untuk memelihara kestabilan serantau, hari ini, negara anggota ASEAN bersatu dalam satu ikatan padu melalui pelbagai perjanjian ekonomi, sosial, pendidikan dan sukan, di samping pelbagai inisiatif serta acara.
Secara tradisi, masyarakat Asia amat menitikberatkan hal-hal kekeluargaan, meraikan kejayaan satu sama lain dan saling bertolongan ketika susah.
Berbeza dengan kebanyakan budaya di Barat, di mana anggotanya "yang bermasalah" dipencilkan, tidak diambil peduli atau dibiarkan untuk diurus oleh pihak lain, penduduk Asia sebaliknya berbangga apabila dapat mengurus sendiri hal ehwal mereka.
Demikian jugalah halnya dengan keluarga ASEAN. Daripada segi ekonomi, kami lebih kuat berbanding sebelum ini — keseluruhan KDNK rantau ini lebih kukuh berbanding India — walaupun masih perlu menangani defisit demokrasi.
Walaupun mencapai pelbagai kejayaan sepanjang 1980-an dan 1990-an, kebanyakan warga ASEAN masih menghadapi masalah untuk memilih pemimpin masing-masing.
Ada pihak berkata perkara itu mencerminkan kegagalan kepimpinan ASEAN.
Kata mereka negara demokrasi seperti Malaysia sepatutnya menjauhkan diri daripada jirannya yang kurang bebas dan satu-satunya cara untuk menghasilkan penambahbaikan adalah dengan menggunakan senjata ekonomi terhadap mereka yang tidak mahu menggunakan peti undi.
Saya mempunyai pendapat berbeza. Sejak sekian lama, Malaysia dan ASEAN berpegang kepada pendapat bahawa perbincangan dan dorongan, bukan sekatan dan pemencilan, merupakan cara paling baik untuk menghasilkan perubahan positif - dan pendirian ini terbukti telah membuahkan hasil.
Setelah suku abad berada di luar, kini Myanmar mula mengorak langkah untuk kembali kepada amalan demokrasi.
Minggu lepas, saya menemui Presiden U Thein Sein untuk mengucapkan tahniah kepada beliau berhubung langkah yang telah beliau ambil dan memberi galakan kepada beliau supaya meneruskan perjalanan itu.
Sebagai pemimpin negara demokrasi tertua di Asia Tenggara, saya sentiasa bersedia untuk berkongsi pengalaman kami dan dalam tempoh separuh abad sejak merdeka, kami dapati bahawa pembaharuan yang dilaksanakan secara berterusan adalah cara terbaik untuk menikmati kestabilan berkekalan.
Proses ini berterusan di Malaysia hingga kini. Pada tarikh ini tiga tahun lepas, saya mula menyandang jawatan Perdana Menteri dan sejak itu, saya tidak pernah melencong daripada komitmen saya untuk membawa pembaharuan sebenar dalam segenap segi, di samping kemakmuran, keselamatan dan demokrasi yang berterusan untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa dan agama mereka.
Seiring dengan itu, saya melakukan pembaharuan terhadap ekonomi kami agar ia mampu berdepan dengan cabaran pada abad ke-21, meningkatkan daya saing dan pendapatan serta mengurangkan kadar pengangguran.
Saya hapuskan undang-undang yang bersifat menindas yang wujud sejak zaman penjajah dan menggantikannya dengan undang-undang moden serta progresif untuk melindungi nyawa serta hak semua rakyat Malaysia.
Saya juga memenuhi saranan agar diwujudkan keadaan lebih telus dalam perjalanan pilihan raya dengan menubuhkan sebuah suruhanjaya dwipartisan untuk mengkaji proses pengundian serta memperkenalkan langkah seperti penggunaan dakwat kekal untuk mengurangkan kemungkinan berlakunya penipuan dalam pilihan raya.
Ia lebih merupakan suatu proses evolusi, bukan revolusi, dan proses ini boleh didukung dan digalakkan oleh satu keluarga negara yang rapat, yang bekerjasama untuk membantu satu sama lain.
Sebab itulah, pada sidang kemuncak minggu ini, kami akan memberi sentuhan akhir terhadap deklarasi yang dikenali sebagai "Satu Komuniti, Satu Tujuan".
Ia merupakan perakuan secara tegas bahawa masa depan kami ditentukan melalui hubungan lebih erat, bersuara secara senada dan berkongsi satu matlamat: meneruskan pembangunan ekonomi, masyarakat dan paling penting, demokrasi kami secara berterusan.
0 comments:
Post a Comment