Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, February 3, 2012

Usah Nafi Hak OKU

USAH pandang rendah kepada mereka. Ada ketikanya mereka lebih hebat dan menyerlah daripada kita insan yang sempurna. Mereka sering dipandang sebelah mata, dikatakan tidak produktif dan tidak mampu memberikan sumbangan kepada pembangunan negara. Stigma dan pandangan sinis ini menjadikan OKU terpinggir di dalam komuniti yang sewajarnya membela hak mereka dalam pelbagai aspek kehidupan.

Sebenarnya banyak usaha digerakkan dalam meningkatkan keupayaan golongan ini untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang memberikan sumbangan kepada negara.

Aspek pendidikan menjadi salah satu agenda kerajaan bagi membantu golongan ini. Kementerian Pengajian Tinggi melalui Jabatan Pengajian Politeknik mempelopori usaha menawarkan pendidikan teknik dan vokasional di peringkat pengajian tinggi kepada OKU pendengaran sejak 10 tahun lalu.

Namun hakikatnya, masih ramai yang tidak tahu wujudnya program ini. Apabila saya menyatakan bahawa saya merupakan salah seorang tenaga pengajar kepada golongan ini di politeknik, ramai terkejut dan bertanya benarkah wujud program tersebut di politeknik? Ini menunjukkan ada segelintir masyarakat yang tidak peka dengan isu-isu yang menghantui OKU di negara sendiri.

Politeknik telah menunaikan tanggungjawab khidmat sosial sejak sedekad lalu tanpa gagal. Kita sering mendengar tanggungjawab ini hanya dilaksanakan di syarikat-syarikat korporat, namun institusi pendidikan juga mempunyai tanggungjawab yang tidak kurang pentingnya dalam memberikan perkhidmatan kembali kepada komuniti.

Hal ini selari dengan matlamat Rancangan Sedunia Bangsa-Bangsa Bersatu untuk pelajar berkeperluan khas (United Nations Global Programmes on Disablity) dalam artikel bertajuk " Dasar dan Pelaksanaan Sistem Pendidikan Kebangsaan" oleh Hasnan dan Syed Othman (2001), yang menyarankan supaya golongan itu diberi peluang untuk membangun agar dapat menyertai masyarakat secara berkesan.

Bahagian IV Akta Orang Kurang Upaya 2008 dalam Bab 1 (Perkara 28) iaitu akses kepada pendidikan jelas menyatakan antaranya OKU tidak boleh dikecualikan daripada sistem pendidikan umum atas asas ketidakupayaan, dan kanak-kanak kurang upaya tidak boleh dikecualikan daripada pendidikan prasekolah, rendah, menengah dan tinggi, atas asas kesetaraan dengan orang atau kanak-kanak kurang upaya, termasuk latihan vokasional dan pembelajaran sepanjang hayat.

Kerajaan dan penyedia pendidikan swasta hendaklah membolehkan orang dan kanak-kanak kurang upaya melanjutkan pelajaran, menyediakan penyesuaian munasabah yang sesuai dengan keperluan OKU dari segi prasarana, kelengkapan dan bahan pengajaran, kaedah pengajaran, kurikulum dan bentuk sokongan lain yang memenuhi pelbagai keperluan orang atau kanak-kanak kurang upaya.

Justeru, bagi memenuhi keperluan pendidikan peringkat tinggi kepada golongan ini, Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) yang dahulunya dikenali sebagai Politeknik Johor Bahru, Politeknik Ungku Omar (PUO), Ipoh dan Politeknik Shah Alam (PSA) merupakan tiga politeknik terawal yang menggalas tanggungjawab dengan pengambilan pertama pada Jun 2000.

Beberapa tahun selepas itu, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) di Perlis dan Politeknik Kota Kinabalu (PKK) melebarkan usaha ini. Kolej Komuniti Selayang pula merupakan kolej komuniti pertama di bawah Jabatan Pengajian Kolej Komuniti yang proaktif dengan menawarkan program kepada OKU pendengaran dan OKU bermasalah pembelajaran.

Kesediaan Jabatan Pengajian Politeknik untuk menerima OKU pendengaran lepasan Sijil Pelajaran Malaysia yang cemerlang ke dalam program pengajian peringkat diploma aliran perdana merupakan salah satu ruang yang sangat besar ertinya kepada golongan ini untuk terus bersaing dan membuktikan keupayaan mereka berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah bersama pelajar biasa dalam persekitaran pembelajaran inklusif.

Sepanjang pelaksanaan, program yang ditawarkan kepada golongan ini adalah Sijil Kemahiran Khas Politeknik Rekabentuk Grafik, Rekaan Fesyen dan Pakaian, dan Pengurusan Hotel dan Katering di PJB, Sijil Kemahiran Khas Politeknik Pengurusan Hotel dan Katering di PTSS dan PKK, Program Sijil Kemahiran Awam Pembinaan di PUO dan Sijil Kemahiran Penyenggaraan Mekanikal di PSA.

Dalam usaha memupuk kecemerlangan pelajar dari golongan ini, tenaga pengajar menjadi salah satu faktor pembentukan sumber tenaga bermutu dalam penyaluran pendidikan teknik dan vokasional. Para pelajar dibekalkan dengan tenaga pengajar berlatar belakangkan pendidikan khas serta yang kompeten dalam bidang masing-masing yang dilengkapi kemahiran berbahasa isyarat yang baik.

Keupayaan menguasai kemahiran berbahasa isyarat memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung berdasarkan konsep Outcome Based Education (OBE) yang dilaksanakan di institusi pendidikan. Pengajaran dan proses pembelajaran dirancang dengan sistematik, mematuhi kurikulum sedia ada serta pelajar dinilai secara holistik meliputi kemahiran, kesungguhan, softskill dan pencapaian akademik.

Meskipun mengalami masalah pendengaran, ia bukan bermakna bakat dan kebolehan mereka harus dipertikaikan. Ada di antara mereka yang 'oustanding' sehingga sukar hendak percaya bahawa mereka ialah insan yang dilabelkan cacat dan kurang upaya.

Buktinya, salah seorang pelajar PIS, Saiful Nizam Zakaria berjaya menjadi Johan Pertandingan Rekaan Kasut Malaysia 2010 mengatasi insan lain yang sempurna. Pada tahun sama, dua pelajar dari PIS juga berjaya memasuki peringkat akhir Pertandingan Sulaman Manik (FTIMDC).

Tahun 2011, tiga pelajar lagi berjaya memasuki peringkat akhir Pertandingan Rekaan Kasut Malaysia 2011. Malah, PIS wajar berbangga dengan kejayaan pelajar OKU pendengaran yang berjaya menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi antaranya di Lim Kok Wing University of CreativeTechnology, dan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Secara keseluruhannya, politeknik telah menunaikan tanggungjawab mereka untuk melahirkan masyarakat yang berilmu tanpa mengira gender, kaum, agama dan kecacatan.

Para pensyarah pula memberikan bimbingan serta ilmu yang dapat meningkatkan pencapaian pelajar agar menjadi generasi dan modal insan berkualiti dalam memacu kecemerlangan diri yang seterusnya dapat memberikan sumbangan dalam pembangunan negara.

Hanya penerimaan, komitmen, kesungguhan, dan kerjasama bukan sahaja daripada warga politeknik, malah masyarakat, majikan dan industri juga dapat menerima kehadiran mereka tanpa prejudis.

0 comments:

share2