KOTA BHARU - Pas bersedia mempertimbangkan untuk bekerjasama dengan Datuk Zaid Ibrahim jika beliau membubarkan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) yang diketuainya.  
Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang juga Mursyidul Am Pas berkata, ini kerana partinya boleh bekerjasama dengan mana-mana pemimpin parti politik, demi kepentingan masa depan Pas.
"Kalau dengan Cina, India, kita boleh kerjasama, tidak ada sebab kita tak boleh bekerjasama dengan Zaid," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Suami Isteri di Balai Islam di sini, hari ini.
Zaid melalui blognya baru-baru ini, menyatakan hasrat untuk membubarkan parti itu, walapun mendapat bantahan daripada beberapa pemimpin lain dalam parti berkenaan.
Nik Abdul Aziz berkata keputusan muktamad berhubung kerjasama dengan Zaid itu akan diputuskan pucuk pimpinan parti. - Sinar Harian