Para peneroka di sekitar Gugusan Felda Lepar Utara dekat sini menarik nafas lega apabila bekalan gas memasak kembali berada di pasaran sejak beberapa hari lalu.
Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Felda Lepar Utara, Osman Shaari, 47, berkata, para penduduk bersyukur kerana Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Pahang bertindak pantas dengan memohon kerjasama pembekal Petronas menambahkan bilangan pemunggahan tong gas ke gugusan Felda berkenaan.
"Kesukaran di kalangan penduduk di sini disebabkan pertukaran tong gas kosong jenama syarikat lain dengan pembekal dan peruncit Petronas di sini sehingga penduduk tidak mempunyai alternatif.
"Bagaimanapun, kita anggap masalah sudah selesai berasaskan situasi menang-menang kerana kredibiliti dan peranan agensi itu cepat bertindak sehingga senario ketiadaan bekalan tersebut kembali pulih,".
Beliau berharap lebih ramai peruncit di gugusan itu diberi lesen perniagaan gas masak oleh agensi kerajaan terbabit dan Petronas di samping mewujudkan depot gas memasak di kawasan itu untuk memenuhi permintaan 15,000 penduduk.
Seorang penjual gas masak Petronas Felda Lepar Utara 3, Zakaria Abd. Rahman, 56, berkata, punca keputusan tong gas itu bermula sejak bulan lalu kerana bekalan lewat sampai dari Bandar Tun Razak Jengka selain keengganan sebuah syarikat menerima tong kosong dari jenama lain.
"Segalanya selesai apabila tong gas kosong jenama lain diterima oleh Petronas dan saya menerima sebanyak 30 tong gas cukup untuk bekalan dua minggu sebelum tiba penghantaran baru," katanya.
Beliau berkata, pemulihan semula bekalan itu menghilangkan tekanan apabila setiap kali berdepan dengan penduduk yang marah kerana dia enggan menukarkan tong gas kosong jenama lain dengan Petronas.
Penduduk Felda Lepar Utara 2, Osman Hamid, 50, berkata, dia lega dengan tindakan pantas agensi itu sehingga memulihkan kembali jualan gas memasak di kawasan berkenaan.
"Sebelum ini peneroka terpaksa ke bandar Jerantut dan Jengka sejauh 90 kilometer dengan menyewa kereta untuk membeli gas memasak. Jika tidak, anak-anak kami tidak dapat makan," katanya.
0 comments:
Post a Comment