Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, January 17, 2012

Tabung IAM-Utusan Bantu Mangsa Banjir


Islamic Aids Malaysia (IAM) bersama Kumpulan Utusan menghulurkan bantuan berbentuk makanan asas seperti beras, gula, sardin, telur dan lain-lain kepada kira-kira 350 mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara, Sekolah Kebangsaan Sinar Mutiara, Pekan, Pahang semalam.

Mangsa banjir tersebut terdiri daripada 79 keluarga yang ditempatkan di kawasan itu setelah kediaman mereka di Kampung Cenderawasih, Sungai Miang digenangi air sejak tiga hari lalu.
Presiden IAM, Zawahir Abdullah berkata, selain menghulurkan bantuan berbentuk pek makanan, pihaknya turut memperkenalkan program baharu iaitu Charity Chef yang melibatkan seorang chef terkenal iaitu Chef Yang Jamil membuat demonstrasi masakan serta memasak untuk mereka.

"Melalui program ini, chef telah memasak untuk hidangan kesemua 350 mangsa yang ditempatkan di sini secara bergotong-royong bersama dengan mangsa banjir. Juadah yang dihidangkan adalah nasi minyak, ayam masak merah dan dalca.

"Mangsa banjir bukan sahaja dijamu dengan makanan lazat yang dimasak oleh chef ternama, tetapi mereka turut berpeluang belajar memasak dan berkongsi tips masakan bersama dengan Chef Yang Jamil.

"Selain itu, mereka juga turut dihiburkan dengan celoteh menarik yang dipersembahkan oleh chef ketika memasak dan berkongsi tips masakan serta teknik-teknik memasak yang betul," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

IAM dan Kumpulan Utusan telah melancarkan Tabung Bencana Banjir pada 29 November 2011 bagi membantu mangsa banjir seluruh negara. Dana yang dikumpulkan ini bertujuan membeli keperluan asas untuk diagihkan kepada mangsa banjir seluruh Malaysia.

Sementara itu, seorang mangsa banjir yang ditemui, Bidayah Mat Jusoh, 32, mengucapkan kesyukuran kerana dengan adanya kunjungan pihak IAM ini, dapat juga menghiburkan sedikit perasaan mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di sini.

"Kunjungan IAM beserta dengan program Charity Chef ini amat bermakna kerana kami bukan sahaja dapat belajar memasak nasi minyak yang lazat, tetapi dapat juga menikmatinya," katanya yang sudah menginap di pusat penempatan sementara tersebut semenjak tiga hari lalu.

Orang ramai yang berhasrat memberi sumbangan kepada tabung mangsa banjir itu boleh melakukannya dengan menyumbang kepada akaun IAM di nombor akaun 5640-7000-2424 (Maybank) atau hubungi talian 03-89485939/ 019-3973558 atau layari laman webwww.iam.org.my.

0 comments:

share2