Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, January 28, 2012

PAS Hilang Maruah Setelah Membuang Islam


Prinsip perjuangan Pas terhadap Islam dilihat semakin luntur. Jika tidak, apa peranan Kerajaan Pas Kedah hingga tergamak hendak merobohkan Madrasah Salihiah di Alor Setar bagi memberi laluan pembinaan kompleks beli-belah Aman Central bernilai RM500 juta.

Bagai sukar diterima akal, pimpinan Pas Kedah boleh bersetuju untuk meroboh sebuah madrasah yang masih elok dan diimarahkan selalu oleh para jemaahnya.

Mana pula maruah Pas yang dikatakan "dijulang tinggi" kalau sampai hari ini belum keluar kenyataan pimpinan Pas mengenai hasrat DAP untuk meletak calon Melayunya di kawasan-kawasan yang majoriti pengundinya orang Melayu.

Hal-hal berkaitan peranan dan maruah parti berlambang 'bulan putih' itu belum mengambil kira isu pengambilalihan jawatan Exco Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Selangor!

Apa perasaan ahli-ahli Pas baik di Selangor dan seluruh negara. Mereka tentu rasa terhina apabila portfolio agama yang selama ini disandang oleh parti itu tiba-tiba diambil alih oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang bukan sinonim dengan aktiviti agama.

Nampak sangat Pas sudah tidak dipercayai rakan pakatannya. Sebagai parti yang memperjuangkan Islam, sepatutnya Pas yang diberi tanggungjawab dan kepercayaan untuk memegang jawatan itu.

Tindakan terbaru pakatan pembangkang ini sudah tentu diperhatikan oleh penyokong Hasan dan mereka melihat Pas sudah terlampau mengikut telunjuk PKR dan DAP.

Daripada hanya cakap-cakap politik, dan sekadar persepsi kini orang Pas telah pun mendapat gambaran sebenar.

Ahli-ahli Pas pun bukan semua setuju dengan perubahan hala tuju parti daripada perjuangan negara Islam kepada negara berkebajikan. Dan sejak akhir-akhirnya ini, Pas banyak tunduk setuju dengan ideologi DAP dan PKR.

Akibat kebergantungan Pas kepada DAP konon untuk memulihkan imej ekstrem parti itu daripada kaca mata bukan Melayu, akhirnya Pas yang terpaksa membayar harga amat tinggi apabila dasar perjuangan negara Islam parti itu sendiri dikorbankan.

Tidakkah contoh-contoh tersebut menunjukkan peranan dan maruah Pas bagaikan dipijak-pijak? Bukankah ia juga menampakkan pengaruh dan kuasa parti itu semakin lemah dalam pakatan pembangkang.

Mana pendirian Pas dalam proses tawar-menawar dengan pakatan. Nampak sangat beberapa keputusan penting dilihat bagaikan dibayangi oleh PKR dan DAP. Pas hanya 'mengikut' sahaja.

Jelas, imej Pas sudah dicacatkan, sekali gus mengikis rasa hormat masyarakat kepada parti itu.

Sesungguhnya peranan Pas yang kian pudar dalam pakatan pembangkang perlu disedari pemimpin parti itu agar tidak syok sendiri.

Kedudukan Pas semakin kecil dan bagaikan melukut di tepi gantang boleh menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan ahli akar umbi. Penyokong Pas juga akan mempersoalkan kenapa parti itu kini lemah dan terpaksa akur pada tekanan.

Pas sekarang tidak sama dengan Pas dahulu. Pas sudah jauh berbeza sejak berkawan dengan DAP dan PKR. Pemimpinnya leka berpolitik daripada merancang agenda rakyat sehingga banyak isu rakyat gagal diselesaikan.

Kepada pemimpin tertinggi dan ahli Pas, sedarlah bahawa sumbangan tenaga, masa dan buah fikiran yang mereka taburkan selama empat tahun bersama dengan pakatan kini tidak dihargai.

Kedudukan Pas dalam pakatan pembangkang sekadar penumpang. Pas banyak tunduk dengan arahan DAP dan PKR tanpa tentangan.

Pas sepatutnya sedar parti itu hanya dipergunakan oleh PKR dan DAP bagi menjayakan impian mereka untuk menang dalam pilihan raya.

0 comments:

share2