Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, January 14, 2012

Mahkamah Bukan Tempat Pembangkang Berceramah !


MAHKAMAH merupakan tempat kita mendapatkan keadilan jika berlaku suatu ketidakadilan sama ada melibatkan kes jenayah mahupun sivil. Oleh itu jangan jadikan mahkamah sebagai alasan tidak mendapat keadilan jika keputusan hakim berpihak kepada orang lain.

Seorang peguam mahupun bekas hakim ada yang dihadapkan mahkamah atas suatu kesalahan namun mereka juga perlu reda dengan sebarang hukuman yang diterima kepada mereka. Itulah prinsip keadilan yang perlu kita fahami.

Dalam perbicaraan, mungkin kita terlepas di mahkamah rendah namun di mahkamah lebih tinggi kita akan dikenakan sabitan lalu dijatuhkan hukuman. Bercakap soal kes yang tamat di peringkat Mahkamah Tinggi, kes tersebut boleh dirayu hingga Mahkamah Persekutuan. Selagi ada ruang selagi itu keadilan masih memainkan peranannya. Bak kata seorang Tok Guru jika di dunia tidak dihukum di Padang Masyhar hukuman pasti menanti.

Jangan kita berprasangka dengan kebebasan kehakiman di negara ini walaupun ada bekas hakim yang sanggup menjadi ahli parti pembangkang kerana tidak puas hati dipecat dari jawatan. Keadilan memang suatu yang sukar dicapai jika ada pengaruh luar mendominasi pemikiran hakim namun dalam kes tertentu beban sebenarnya terletak di bahu hakim.

Ini disebabkan kita tidak lagi memakai sistem penjurian atau istilah bahasa Inggerisnya, Trial By Jury sebagaimana yang diamalkan dalam sistem kehakiman Amerika Syarikat. Jika kes ditentukan oleh juri mungkin ada kes tertentu pihak Orang Kena Tuduh (OKT) akan didapati bersalah, tambahan kesalahan bersifat moral dan peribadi menjelikkan.

Di Malaysia, apabila mahkamah menjadi mangsa politik sempit pihak berkepentingan demi sebuah kebebasan kita lihat orang ramai akan melihat mahkamah sebagai institusi yang boleh diperkotak-katikkan. Tambahan pula hakim yang selama ini dibantu oleh juri terpaksa memperhalusi sendiri setiap bukti daripada DNA hingga pergi ke lokasi jenayah menjadikan beban kerja mereka begitu menekan.

Hakim adalah manusia biasa yang turut ada kelemahan. Superman seorang adiwira takut kepada kryptonite begitu juga Spiderman yang gagal melekat di dinding jika hatinya terlalu berbunga cinta.

Mahkamah dan sistem pendakwaan perlu dibiar bebas daripada sebarang tekanan sama ada daripada mangsa mahupun 'nasi tambah' yang tidak pernah menyokong pengadu secara material dan kaunseling. Jika kita merasakan mangsa kes perlu dibela bukan sahaja masalah trauma beliau kita perlu atasi malahan kebajikan beliau perlu dipantau.

Jangan jadikan kes mahkamah wadah kita mempertikaikan kerajaan mahupun mana-mana pihak. Bagi kerajaan Barisan Nasional kekuatannya bukan hanya kerana melemahkan pihak lawan tetapi kekuatan dalaman yang terbukti selama 54 tahun ini. Kes mahkamah sesungguhnya perkara peribadi pihak terbabit bukannya campur tangan kerajaan sebagaimana fitnah sesetengah pihak.

Pilihan raya yang bakal menjelang, pihak Perdana Menteri telah menunaikan segala janji dari bajet 2012 hingga memberi lebih ruang untuk suara demokrasi bergema sempena keputusan kes liwat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur beberapa hari lalu. Namun padahnya jika kita mahu berhimpun secara aman sudah pasti ada pihak yang cuba menangguk di air keruh dan perkara ini bukan suatu yang mustahil. Ia adalah kesempatan terbaik untuk keamanan diganggu-gugat oleh pihak yang mahu memburukkan pihak polis pula. Dalam setandan pisang pasti ada dua tiga biji yang busuk dan inilah buktinya.


Ingatan ikhlas kepada pihak pembangkang mahkamah adalah satu-satunya kaedah untuk menegakkan keadilan. Jangan bila menang kes, mahkamah dianggap adil, bila kes mahkamah kalah dianggap batil.

Tanyalah kepada peguam dari parti pembangkang termasuk Shamsul Iskandar Md. Akin (Ketua Angkatan Muda Keadilan), Khairuddin Othman (AJK PAS Selangor), Yusmadi Yusof (Ahli Parlimen Balik Pulau) dan beribu-ribu peguam dalam parti pembangkang, jika mereka menang kes di mahkamah adakah mereka berani menuding jari mengatakan mahkamah adil dan apabila kalah, mahkamah tidak adil.

Tepuk dada tanyalah selera. Jangan jadikan mahkamah sebagai mangsa politik kerana yang lebih berkuasa adalah Allah SWT yang menilai semua manusia tidak kira mereka siapa. Jangan jadikan mahkamah kambing hitam kita.

0 comments:

share2