Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, January 4, 2012

Bertegas Pada Pelajar 'Taksub'


TINDAKAN pertubuhan tidak berdaftar, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menganjurkan perhimpunan haram di hadapan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak menjelang ambang tahun baru nyata sekali mahu menguji kesabaran dan ketegasan pihak berkuasa.

Kebiadapan mereka itu juga merupakan satu kesinambungan kepada perbuatan menurunkan bendera yang mempunyai gambar Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 17 Disember 2011.

Berselindung di sebalik tuntutan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), anggota SMM cuba mengugut pentadbiran UPSI demi mempertahankan ahli mereka yang juga seorang pelajar universiti tersebut, Adam Adli Abd. Halim yang didakwa menurunkan bendera Perdana Menteri di PWTC.

Dengan jumlah penyertaan yang kecil terutama sekali dari kalangan mahasiswa UPSI sendiri, SMM dilihat mengubah taktik dengan memfitnah kononnya pasukan keselamatan menggunakan kekerasan sehingga menyebabkan kecederaan parah beberapa anggota kumpulannya.

Walaupun skrip ini jelas dikitar semula daripada satu lagi perhimpunan haram di Kuala Lumpur tahun lalu, beberapa blog pro pembangkang dengan beraninya menyebarkan fitnah tersebut tanpa bukti kukuh.

Susunan babak dalam perhimpunan haram itu sebenarnya telah mendedahkan dengan nyata siapa sebenarnya penulis skrip di sebalik SMM dan sasaran mereka menjatuhkan imej institusi pendidikan, pasukan keselamatan sehinggalah ke sistem perundangan negara.

Memperjudikan nyawa dan masa hadapan mahasiswa yang kemungkinan datang dari keluarga pengikut pembangkang sendiri, kumpulan beragenda jahat itu dilihat memikirkan taktik menang-menang tanpa perlu melakukan apa-apa pun.

Dengan merekrut golongan belia yang mudah dipengaruhi, mereka boleh menggerakkan kumpulan mahasiswa ini untuk membuat huru-hara di seluruh negara terutamanya menjelang tarikh keputusan mahkamah seorang pemimpin politik bulan ini, selagi pihak berkuasa tidak berani bertindak terhdap kumpulan boneka tersebut.

Namun, sekiranya pasukan keselamatan bertindak, mereka boleh menjadikannya propaganda tindakan kejam terhadap para belia dan melanggar hak asasi rakyat, seterusnya memburukkan nama kerajaan memerintah menjelang pilihan raya umum akan datang.

Bagi Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim, terdapat dua persepsi di kalangan mahasiswa terbabit iaitu mereka yang mahu diberi ruang berkongsi pandangan atau golongan minoriti yang telah dipengaruhi ideologi politik dan menjadi kuda tunggangan semata-mata.

Menurut beliau, Menteri Pengajian Tinggi dan warga kementeriannya perlu terus mengadakan rundingan meja bulat dan turun padang bertanyakan pendapat golongan mahasiswa berkenaan AUKU.

"Perdana Menteri telah mengumumkan pindaan AUKU sejajar dengan kemahuan majoriti mahasiswa tetapi jika masih ada golongan minoriti yang tetap berdegil selepas pelbagai peluang diberikan, tindakan tegas perlu diambil segera.

"Kejadian di UPSI pada malam tahun baru lalu dilihat melibatkan pelajar yang telah dipengaruhi ideologi politik dan lebih berkaitan dengan agenda kempen 901 untuk membebaskan Anwar Ibrahim," katanya.

Jelasnya, kumpulan kecil mahasiswa yang telah dipengaruhi itu tidak mahu lagi mendengar sebarang penjelasan kerana boleh melihat ke satu arah sahaja.

Oleh itu, beliau berharap golongan 'taksub' itu perlu dikekang pergerakan mereka dan tidak diberi muka lagi bagi mengelakkan menjadi barah lebih besar di institusi pendidikan tinggi di seluruh negara.

"Majoriti mahasiswa sebenarnya marah dengan golongan tersebut dan tidak bersimpati pun dengan apa yang diperjuangan mereka.

"Kumpulan kecil atau minoriti itu dilihat lebih kepada melakonkan sebuah drama, serupa dengan apa yang pernah dilakonkan Anwar sebelum ini," ujarnya.

Tegas Jais, tiada sebab untuk melakukan sebarang demonstrasi jika ruang secukupnya telah diberikan kerajaan berbanding pengalaman GPMS di Pulau Pinang di mana Ketua Menterinya dikatakan langsung tidak mahu mendengar pandangan mereka.

"Negara kita ada undang-undang! Jika pihak universiti merasakan tidak dapat mengawal tindakan sekumpulan pelajar, mereka boleh meminta bantuan pihak polis.

"Namun, saya berharap pihak polis tidak menggunakan kekerasan ketika berdepan dengan golongan mahasiswa kerana semua ini juga merupakan satu proses pembelajaran bagi mereka," jelasnya.




Presiden Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi), Mohd. Shahar Abdullah pula berpendapat ruang untuk kerajaan dan universiti berunding dengan kumpulan minoriti seperti SMM sudah pun berakhir.

"Golongan sedemikian terus berdegil kerana telah diterap ideologi pembangkang dan sudah sampai masanya tindakan tegas diambil demi melindungi majoriti mahasiswa yang mahukan keamanan dan kedamaian untuk fokus kepada pelajaran.

"Jika terus berlembut, ini akan melanggar falsafah demokrasi di mana golongan minoriti pula menjadi dominan sehingga menidakkan hak kumpulan majoriti," tegasnya.

Menurutnya lagi, kerana sikap sekitar 50 pelajar di UPSI tempoh hari, hidup warga kampus telah dihuru-harakan dan perspektif negatif telah menyelubungi universiti tempatan termasuklah di mata masyarakat antarabangsa dan pelajar luar negara terhadap mahasiswa Malaysia.

"Orang luar akan melihat kita tidak mengamalkan adat ketimuran dan akibat tindakan bodoh mereka itu, lebih banyak perkara buruk boleh berlaku kelak.

"Kerana itu, Aspirasi akan menganjurkan Program Jelajah Aman Kampus yang antara lain akan cuba memulihkan pandangan umum dan masyarakat antarabangsa terhadap mahasiswa tempatan," jelasnya.

Tambahnya, majoriti warga pelajar universiti mahu ke meja rundingan untuk menyelesaikan sebarang pertikaian tetapi nyata sekali ada yang cuma mahu porak-perandakan keadaan walaupun banyak saluran berkongsi pandangan telah disediakan.

Tegas Mohd. Shahar, anak muda tidak sepatutnya ditanam sifat membenci pemimpin dan perlu berfikir secara waras, rasional dan bertoleransi.

"Kita tidak mahu membiarkan budaya politik melampau sedemikian terus wujud di kalangan belia di negara ini.

"Pihak berwajib perlu meneliti gerakan golongan pelampau ini dan hentikan jejak langkah mereka dengan segera kerana semua ini tidak memberi contoh yang baik kepada murid di peringkat sekolah rendah dan menengah," tegasnya.

Beliau mencadangkan semua universiti mengambil tindakan menggantung mana-mana pelajar mereka yang terlibat dengan kejadian di PWTC dan UPSI sementara menunggu prosedur tatatertib.

"Perlu difahami, golongan ini telah menconteng arang ke muka universiti mereka sendiri dan wajar dikenakan tindakan sebagai pengajaran kepada yang lain kelak.

"Kejadian di UPSI lebih teruk kerana di PWTC tiada tindakan dikenakan. Pihak polis juga perlu bertindak mengikut kesesuaian dan peruntukan undang-undang sedia ada," katanya.

Walau apa sekalipun skripnya, yang akan menjadi mangsa adalah mahasiswa termasuk anggota SMM sendiri yang sepatutnya kini memberi perhatian kepada pelajaran demi masa hadapan diri, keluarga, bangsa dan negara.

Sudah sampai masanya buku bertemu ruas agar semua peringkat usia ingat kembali negara ini masih mempunyai undang-undang dan sesiapa pun tidak boleh bertindak sesuka hati walaupun atas alasan demokrasi dan hak asasi.

Kerajaan dan pihak berkuasa perlu dan boleh bertegas tanpa berkeras dengan golongan pelajar 'terpesong' ini bagi memastikan masa depan mereka dan semua mahasiswa negara tidak terus-menerus dibelenggu mahupun dililit tali kuda tunggangan pihak lain.

0 comments:

share2