Seramai 2,360 penuntut Kolej Shahputra Kuantan mula menerima Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) sebanyak RM200 seorang semalam untuk membeli bahan-bahan rujukan pengajian mereka.
Pegawai Perhubungan Awam kolej tersebut, Mohd. Zulkamal Mohamed Salleh berkata, seorang penuntut akan mendapat empat baucer bernilai RM50 sekeping dan mereka hanya dibenarkan membeli buku akademik, majalah ilmiah dan peralatan pembelajaran berdasarkan keperluan masing-masing.
"Kaunter tuntutan baucar akan dibuka mulai pukul 10 pagi hingga 4 petang sehingga Jumaat ini. Bagi penuntut yang sedang menjalani latihan praktikal di luar kolej boleh membuat tuntutan selewat-lewatnya 30 Januari ini," katanya di sini.
Jelasnya, tempoh sah laku baucar tersebut hanya selama tiga bulan iaitu bermula 1 Januari hingga 31 Mac ini.
Jelasnya, mereka juga dimaklumkan bahawa baucar tersebut boleh digunakan di mana-mana kedai buku yang menyertai program tersebut, namun dilarang menebus dengan wang tunai.
"Ketika membuat pembelian, penuntut perlu memastikan nama, nombor kad pengenalan dan cop kolej diisikan pada setiap keping baucar itu," katanya.
Sementara itu Intan Nursyafikah Ishak, 20, berkata, dia teruja apabila menerima baucar berkenaan dan akan menggunakannya untuk membeli buku-buku rujukan.
"Sekurang-kurangnya ia dapat membantu penuntut seperti saya untuk menambah buku rujukan atau peralatan pembelajaran," katanya.
Siti Safura Abdul Rahim, 20, pula berkata, baucar tersebut akan digunakan untuk membeli kamus elektronik yang diimpikan sejak dua tahun lalu.
0 comments:
Post a Comment