Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, December 26, 2011

Hanya Strategi PAS Yang Berubah


SAYA bersetuju dengan pendapat Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Nik Mat bahawa prinsip perjuangan Pas untuk menegakkan negara Islam tidak pernah berubah tetapi cuma taktik dan strategi ke arah itu sahaja yang berubah.

Nik Abdul Aziz menyangkal pandangan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali yang melihat perubahan itu kerana Majlis Syura Ulama parti itu telah bersetuju untuk membisu seribu bahasa tentang Konsep negara Islam tetapi beralih kepada mempromosikan konsep negara kebajikan.

Kepada mereka yang mempelajari ekonomi dan sains politik hal ini merupakan "pengunduran untuk kemenangan" masa depan, tolak ansur dan pengorbanan identiti perjuangan yang berani kerana negara kebajikan dikenali sebagai konsep sekular atau konsep Barat yang telah pun dicapai oleh negara negara maju Eropah seperti Britain, Jerman, Perancis, Sweden dan lain-lain.

Negara kebajikan adalah negara yang mengambil tanggungjawab ke atas setiap kebajikan manusia dari lahirnya hingga ke akhir hayatnya.

Pas sendiri yang mengasaskan perjuangan negara Islam lebih memahami bahawa negara Islam adalah negara yang mencakupi seluruh konsep kehidupan manusia, keadilan sosial dan ekonomi sejagat yang melampaui batas kaum dan agama dan dengan Pas menurunkan konsep itu kepada negara kebajikan, Pas memperkecilkan perjuangannya kepada hanya satu cabang dari seluruh cara hidup Islam yang bertalu-talu disuarakan oleh Pas dengan nyaring, terus-terang dan berani sejak penubuhannya.

Apakah sebabnya?

Sebabnya adalah Pas telah tersandar pada realiti, terpaksa mengubah strategi untuk tidak menakutkan orang bukan Islam, matlamat terakhir Pas untuk menegakkan Negara Islam perlu disembunyikan lebih dahulu.

Setelah berkawan dengan DAP dan serpihan UMNO, Pas menyedari hakikat bahawa kuasa yang lebih luas di negara ini hanya boleh didapati menerusi kerjasama dan sokongan bukan Islam maka itu strategi dan taktik perjuangan mesti diubah.

Dalam hal ini kita telah melihat Pas bertolak ansur terhadap penjualan arak di Selangor yang mahu diharamkan oleh orangnya sendiri yang berkuasa dan Pas memejamkan mata terhadap skandal seorang anggota wanita Dewan Undangan Negeri dari DAP malah sanggup untuk berketuakan seorang yang ketulenan moralnya diragukan.

Tolak ansur Pas adalah lebih jauh sehingga perkara-perkara yang mengancam kesucian Islam, Pas tidak lagi sanggup untuk kehadapan, umpamanya dalam kes memurtadkan orang Islam. Ini menunjukkan Pas sudah beralih menjadi parti yang ultra liberal, lebih demokratik dari UMNO sendiri.

Pemerhati-pemerhati politik yang prihatin akan dapat melihat bahawa dasar baru Pas ini adalah meminjam atau meniru dasar UMNO yang berasaskan kepada tolak ansur, toleransi dan berhemah dalam pelaksanaan hukum hukum dan dasar dasar mengenai kepentingan umat Islam dan untuk menegakkan maruah Islam di negara ini.

Perikatan dan Barisan Nasional (BN) tidak pernah mengisytiharkan pengharaman arak dan perjudian di negara ini kerana dari sejak Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman lagi telah menyedari tentang budaya atau kesukaan sesuatu kaum atau bukan Islam yang besar jumlahnya di negara ini.

Jika diharamkan amalan dan kesukaan mereka maka akan melahirkan lebih banyak perbuatan haram yang tersembunyi.

Dari semasa ke semasa skandal dan perbuatan tidak bermoral berlaku dalam UMNO, Perikatan dan BN sendiri dan Pas mencaci dan mengutuknya dengan keras tetapi apabila UMNO menyingkirkan seorang homoseksual Pas sanggup menerimanya dan berketuakannya. Pas sanggup memilih jalan haram.

Dasar baru Pas yang melampaui liberalisme Tunku dan UMNO menunjukkan bahawa Pas adalah parti yang dalam keadaan terburu-buru untuk mengikis imej lamanya, menampakkan sebagai sebuah parti yang baru masuk ke bandar setelah berada dalam pondok di hutan rimba kejumudan dan ketaksuban yang tidak pernah melihat ketamadunan.

Jika benar dakwaan Nik Abdul Aziz bahawa Pas tidak berubah dari prinsipnya untuk menegakkan negara Islam maka kenapakah Pas berundur kepada negara kebajikan ?

Tidakkah ini kerana Pas tersandar pada realiti bahwa mengekalkan "Islam" pada perjuangan dasarnya akan membawa kepada kekalahannya dalam pilihan raya akan datang?.

Jika Pas menang dalam pilihan raya atas janji untuk menegakkan negara kebajikan tetapi menegakkan negara Islam maka bukan Islam yang telah memberikan mandat kepadanya atas nama negara kebajikan, pasti akan melihat ini sebagai pembohongan dan pengkhianatan.

Pas tentu sedar politik tidak semudah yang difikirkan oleh Pas apatah lagi jika kemenangan itu tipis. Maka bolehkah kita harapkan Pas untuk menegakkan negara Islam?

Untuk menyembunyikan keruntuhan moralnya, Nik Abdul Aziz dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terus menuding jari kepada UMNO dan kerajaan BN sebagai kafir, gagal melaksanakan hukum Islam dan sebagainya tetapi sebenarnya Pas kini berada di dalam kesesatan kerana tidak dapat melihat pencapaian umat Islam dan penebusan maruah Islam di negara ini dengan cara dan strategi yang menjadi tiruannya sekarang.

Pas adalah sebuah parti yang tersasar dan tersesat tetapi tidak pernah menyedari atau tidak mahu mengakui bahawa ia telah tergelincir dari landasan perjuangannya.

0 comments:

share2