Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, November 18, 2011

Subsidi Bersilang Elak Syarikat Bas Terjejas


Kerajaan negeri mempertimbangkan pemberian subsidi bersilang kepada pengusaha bas henti-henti antara bandar berikutan banyak syarikat pengangkutan awam tersebut mendakwa mengalami kerugian sehingga dibimbangi mereka bakal menghentikan perkhidmatan.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, menerusi cadangan itu, syarikat bas di negeri ini yang mengalami masalah kewangan akan dipertimbangkan untuk diberikan projek dalam bidang hartanah bagi membolehkan syarikat terbabit meneruskan operasi.

Menurut beliau, perkara itu sudah dibincangkan secara serius dalam mesyuarat Exco baru-baru ini dan diharap dengan memberikan subsidi bersilang kepada syarikat-syarikat bas ini kerana rakyat yang bergantung kepada perkhidmatan mereka tidak terjejas.

"Subsidi silang ini mungkin memberi mereka projek dalam bidang hartanah atau perumahan dan mereka juga perlu meneruskan operasi bas kerana perkhidmatan bas ini amat diperlukan oleh penduduk luar bandar terutamanya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menutup Persidangan Antarabangsa Berkaitan Islam dan Pengajian Tinggi Kedua (ICIHE 2) di Kompleks Yayasan Pahang di sini semalam.

Sebelum ini media melaporkan terdapat syarikat bas yang menjalankan perkhidmatan bas henti-henti antara bandar di beberapa negeri termasuk Kelantan terpaksa menghentikan operasi bagi mengelak terus menanggung kerugian.

Adnan menambah, cadangan itu dibuat bagi mengelakkan syarikat bas berkenaan gulung tikar dan sekali gus menyusahkan orang ramai.

"Kita mahu syarikat bas itu terus beroperasi tetapi dalam masa yang sama mereka turut memperoleh pendapatan lain yang mampu menjamin kelangsungan syarikat," katanya.

Menurut beliau lagi, cadangan tersebut akan dimulakan dengan dua syarikat bas iaitu syarikat yang beroperasi di Janda Baik, Bentong dan Felda Jengka, Maran.

"Cadangan ini akan dipantau oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Pengangkutan dan Pertumbuhan negeri, Datuk Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail," katanya.

0 comments:

share2