KETIKA bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor mengutarakan kebimbangannya mengenai agama baru yang sedang berkembang atas asas hak kebebasan individu, banyak pihak memandang sepi kecualilah seorang daripada penyokong pembangkang menulis dengan nada marah mengecamnya dengan sebuah hipotesis sebagai perangkap politik untuk menutupi perjuangan membangunkan demokrasi dalam politik Malaysia.
Belum pun sampai sebulan culaan itu dibuat, kini semakin terdedah bahawa apa yang dimaksudkan oleh Rahim mula membuktikan gema perjuangan untuk Malaysia menerima kedudukan sekumpulan pejuang kebebasan hak asasi yang mendesak agar "komuniti mereka" tidak dipandang serong sebagai "komuniti yang bermasalah" kerana mereka juga mempunyai hak sebagai warganegara.
Tuntutan mereka itu sebenarnya bukan sahaja boleh dilihat melampau kerana mahu mendapat pengiktirafan, ia adalah satu bentuk perjuangan yang boleh meruntuhkan nilai-nilai budaya, moral dan agama masyarakat Malaysia yang masih terus bergelut dengan percaturan pelbagai fahaman yang tidak masuk akal.
Arus gerakan 'komuniti songsang' yang dikenali sebagai pengkid, lesbian, gay dan homoseksual itu sebenarnya mendapat nafas baru apabila pada 17 Jun 2011 Pertubuhan Bangsa- bangsa Bersatu (PBB) menerusi Majlis Hak Asasi telah meluluskan resolusi mengiktiraf kedudukan mereka dalam konteks orientasi seksual, kesamarataan gender dan perkahwinan sejenis.
PBB melihat 'komuniti songsang' atau lesbian, biseksual, gay dan transeksual (LBGT) sebagai kelompok yang semakin berpengaruh kerana mereka sudah berjaya mendapat ruang kebebasan di banyak negara Eropah dan sebahagian besar negeri di Amerika Syarikat.
Kelompok LBGT yang berusaha mempromosikan perjuangan mereka telah berjaya membentuk persepsi baru bahawa apa yang berkaitan dengan kehidupan mereka bukan lagi sesuatu yang jijik dan tidak bermoral, ia adalah satu budaya yang perlu dihormati.
Asas perjuangan untuk mengiktiraf LBGT mendapat kekuatan moral apabila Belanda dan Perancis membawanya untuk dibahaskan dalam platform Majlis Hak Asasi PBB bagi menebus dosa silamnya yang pernah menghukum dengan kejam pengamal-pengamalnya sebelum meletusnya Revolusi Perancis.
Dalam kes perjuangan 'komuniti songsang' senarionya menjadi semakin jelas apabila UNHCR menyifatkan undang-undang Tasmania (pulau di selatan Australia) menilai homoseksual sebagai satu bentuk diskriminasi dan bertentangan dengan International Covenant on Civil dan Political Rights (ICCPR) berdasarkan Perkara 2,17 dan 26. Akhirnya, Tasmania terpaksa memansuhkan undang-undang tersebut dan mematuhi ICCPR yang ditandatanganinya.
Di Malaysia, akhir-akhir ini corak kehidupan pengamal seks bebas ini sudah berubah sehingga menjadi satu tuntutan yang lebih bersifat mendesak, termasuk menganjurkan perhimpunan terbuka untuk menuntut perubahan undang-undang sebagaimana telah berlaku di Eropah dan Amerika Syarikat.
Sebagai warganegara, mereka mempunyai hak untuk hidup berasaskan pilihan mereka sendiri, dan undang-undang tidak sepatutnya menyekat kebebasan tersebut. Atas prinsip kebebasan, mereka juga berhak untuk hidup sebagai pasangan yang sah kerana perkahwinan bagi mereka bukan lagi terhad antara lelaki dan wanita.
Mereka menggunakan definisi perkahwinan sebagai perkongsian antara pasangan atas prinsip kerelaan dan pasangan itu pula boleh dalam bentuk sesama jantina. Matlamat perkahwinan sebagai mengembangkan institusi keluarga tidak lagi boleh diterima kerana mempunyai anak atau zuriat juga adalah pilihan.
Bagi mereka, matlamat utama ialah memenuhi naluri seks, kerana seks dengan pasangan kelainan jantina adalah sesuatu yang menakutkan apabila trauma kehidupan silamnya tidak dapat dipadamkan.
Sebenarnya, langkah memperjuangkan kebebasan individu itu adalah suatu prinsip penebusan dosa moral masyarakat Barat yang ditindas oleh elit agama dan ini sebenarnya tidak berlaku dalam Islam. Masyarakat Barat memberikan kelonggaran dan kebenaran 'komuniti songsang' itu sebagai usaha untuk menebus dosa silam sebagaimana mereka melakukan tindakan yang sama kepada masyarakat Yahudi.
Atas kecenderungan baru di Eropah menghadapi penghijrahan masyarakat Islam setelah berpecahnya Kesatuan Republik Sosialis Rusia, banyak negara telah meletakkan syarat hanya boleh menerima mereka yang mengamalkan budaya LBGT dalam kalangan Muslim, maka perkembangan itu mula dikaitkan dengan sikap sebenar negara-negara Barat.
Barat menganggap dengan membenarkan kemasukan pasangan Islam ke negara mereka, ia bukan sahaja akan menambahkan bilangan penganut Islam, bahkan akan mempengaruhi struktur demografi berasaskan agama.
Mempromosikan kebebasan asasi menerusi budaya LBGT itu sebenarnya satu strategi Barat untuk melumpuhkan Islam dan seterusnya menebus dosa-dosa silam elit gereja. Sebab itulah di Barat, LBGT bukan lagi satu isu. Tetapi, dalam masa yang sama kepura-puraan Barat terus berlaku, kerana masyarakat awam tetap tidak boleh menerima pemimpin politik mereka mengamalkan budaya tersebut.
Malaysia terus mempertahankan bahawa budaya LBGT adalah salah dalam apa aspek sekalipun. Undang-undang yang sedia ada akan menghukum pelakunya sebagaimana terkandung dalam seksyen 377A, 377C dan 377D, Kanun Kesiksaan; dan perkahwinan yang sah dalam Seksyen 69 Akta Pembaharuan (Perkahwinan dan Pembubaran Perkahwinan) 1976 adalah antara lelaki dan wanita, bukannya sesama jenis.
Islam tidak boleh menerima LBGT dan tidak akan bertoleransi dengan tuntutan 'komuniti songsang' kerana budaya itu adalah satu bentuk kemungkaran.
Meskipun Malaysia merupakan anggota PBB, tidak bermakna Malaysia harus meminda undang-undang berkenaan hal itu bagi menyesuaikan keputusan tersebut. Malaysia mempunyai kebebasannya sendiri untuk menentukan rupa bentuk masyarakatnya tanpa perlu menodai sekatan-sekatan yang terdapat dalam agama, kerana hak asasi itu bukanlah tiket kebebasan tanpa batas.
Kepada golongan ini ruang untuk kembali ke pangkal jalan masih luas dan hayati firmannya yang bermaksud: Barang siapa di dunia ini buta (gelap) maka di akhirat kelak juga buta, dan akan lebih sesat jalan lagi. (Maksud al-Quran Surah Al-Isra ayat 72)
DATUK AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
0 comments:
Post a Comment