Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, November 15, 2011

Empower ECER bantu pelajar


Bantuan yang diberikan kerajaan mahu pun pihak swasta menjadikan kemiskinan bukan lagi penghalang untuk mencapai kejayaan dalam bidang pendidikan.

Antara pihak yang terlibat menyalurkan bantuan itu adalah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) menerusi program Empower yang menyasarkan untuk membantu meningkatkan pencapaian akademik pelajar dari keluarga miskin.

Penerima terbaru di bawah program itu ialah keluarga Mohd. Fadril Othman, 41, dari Kampung Bukit Gajah, dekat sini.

Pemilihan Mohd. Fadril dibuat memandangkan dia yang bekerja sebagai nelayan sungai hanya mampu meraih pendapatan kira-kira RM750 sebulan untuk membesarkan lima orang anak yang masing-masing berusia antara enam hingga 17 tahun.

Kehidupan keluarga itu mendapat perhatian apabila salah seorang anaknya, Noratikah, 12, yang dipilih menyertai kelas tuisyen program Kecemerlangan Anak Harapan Empower di Sekolah Kebangsaan (SK) Pelangai menunjukkan potensi membanggakan.

Malah, pada peperiksaan percubaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang berlangsung baru-baru ini, dia mendapat keputusan 4A 1C.

Melihat kesukaran hidup keluarga Mohd. Fadril, pengurusan Empower memberikan bantuan berupa meja, alat tulis, buku teks, buku kerja dan latihan, beg serta keperluan sekolah yang lain kepada anak-anaknya yang masih bersekolah.

Penyelaras Projek Pertubuhan Kemajuan Sosial Malaysia (KSM), G. Thinish berharap dengan bantuan itu dapat meringankan bebanan Mohd. Fadril untuk menyediakan keperluan sekolah anak-anaknya tahun depan.

‘‘Selain kelas tuisyen dan motivasi kepada pelajar sekolah terpilih di bawah Program Empower, pihak kami turut melawat rumah keluarga pelajar terbabit untuk melihat persekitaran keluarga berkenaan,'' katanya selepas majlis penyampaian sumbangan tersebut di rumah Mohd. Fadril dekat sini, baru-baru ini. Turut hadir Penghulu Mukim Pelangai, Nasaruddin Mohamad.

Menerusi bantuan itu, Thinish berharap, Noratikah dan adik-beradiknya yang lain dapat belajar dalam suasana yang kondusif dan mampu mencapai kejayaan dalam pelajaran.

Di samping itu, isteri Mohd. Fadril, Junaimah Lamgah, 38, turut menyertai kelas masakan program Empower di Simpang Pelangai.

0 comments:

share2