Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, October 28, 2011

Kerajaan BN Terus Membantu Rakyat Miskin


Penduduk miskin yang tersenarai di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) diberi keutamaan menyertai program tanaman berkelompok, ladang kontrak dan ladang rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak berkata, langkah itu sesuai dengan manifestasi kerajaan negeri membantu mereka terbabit supaya bebas daripada kemiskinan.

Menurut beliau, semua agensi kerajaan dan badan berkanun diminta memberi peluang kepada golongan itu terlibat secara proaktif dalam sektor pertanian termasuk mewujudkan usahawan tani di luar bandar.

"Sehubungan itu, kerajaan negeri akan memastikan mereka yang tersenarai dalam PPRT menerima manfaat berkenaan," katanya selepas majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-38 Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Pasfa) Pahang, di sini baru-baru ini.

Pada majlis itu, Tan Mohd. menerima cek Interim Tabung PPRT Pahang bernilai RM1 juta yang disampaikan oleh Pengerusi Pasfa Pahang, Datuk Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.

Tan Mohd. berkata, pihak pentadbiran daerah dan Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) diminta mengenal pasti penduduk yang masih tersenarai dalam PPRT supaya memperoleh manfaat menerusi bantuan di bawah skim berkenaan.

Kerajaan negeri juga katanya, tidak mengabaikan penduduk miskin khususnya belia yang sudah berkeluarga terbabit dengan projek memajukan tanah kelompok dan penempatan tetap di sesuatu tempat.

"Program memajukan tanah kelompok dengan tanaman komersial merupakan antara usaha kerajaan bagi mempercepat pengeluaran sesuatu hasil dan memenuhi kualiti pasaran.

"Begitu juga projek ladang rakyat yang memberi pulangan saham dan dividen kepada golongan berkenaan," ujarnya.

Beliau yakin matlamat pembasmian kemiskinan sifar menjelang akhir tahun ini berjaya dicapai sekiranya program itu dilaksanakan secara sistematik dan komitmen penduduk terbabit.

Justeru itu katanya, pengisian program yang disusun menerusi kepakaran agensi berkenaan boleh menyumbangkan sumber pendapatan bulanan melebihi RM500 sebulan sekali gus mengeluarkan mereka daripada kemiskinan.

0 comments:

share2