Pelbagai program dan aktiviti dijalankan bagi memeriahkan sambutan Hari Guru sama ada di peringkat sekolah mahupun luar sekolah. Bagi Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Jerantut, pelbagai aktiviti disusun dan paling menarik adalah konvoi Moh ke Rompin yang diadakan pada 15 hingga 17 Julai lalu.
Seramai 60 warga pendidik dari beberapa sekolah sekitar daerah ini dan PPD Jerantut menyertai konvoi tersebut menggunakan motosikal berkuasa 150cc ke bawah itu. Upacara pelepasan konvoi tersebut dilakukan oleh Pegawai Pelajaran daerah, Adnan Abdul Kadir di pekarangan pejabat pelajaran tersebut.
Sepanjang perjalanan, peserta konvoi diiringi oleh polis trafik yang bertindak memimpin konvoi dan mengawal aliran trafik untuk keselamatan di jalan raya.
Adnan berkata, konvoi itu disertai warga pendidik berusia 20-an hingga 50-an dengan meliputi jarak sejauh 280 kilometer.
Menurutnya, program itu diadakan bertujuan mengeratkan hubungan para guru dengan masyarakat di samping berkongsi ilmu dengan pelajar sekolah di luar daerah itu.
“Pada masa yang sama kita mahu para guru terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan selain melahirkan warga pendidik yang mempunyai ketahanan fizikal dan mental yang kuat," katanya.
Sementara itu, penyelaras konvoi, Jamaluddin Samsudin berkata, konvoi tersebut singgah di PPD Bera untuk menghadiri majlis suai kenal antara kedua-dua jabatan tersebut.
Katanya, konvoi itu kemudian meneruskan perjalanan ke stesen minyak Petronas Sebertak sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Felda Bera Selatan.
“Para peserta kemudiannya bertolak ke stesen minyak Petronas Muadzam Shah untuk mengisi minyak dan minum petang yang telah disediakan oleh pihak stesen minyak tersebut," katanya
Katanya, pada hari kedua pula, para peserta menyertai pertandingan memancing manakala perlawanan woodball menyusul pada sebelah petang di Pantai Hiburan, Rompin.
Katanya, pada malam terakhir di daerah itu, para peserta mengadakan majlis ramah mesra bersama warga PPD Rompin.
“Pada hari ketiga pula peserta bertolak pulang ke Jerantut dan persinggahan terakhir di Tasik Bera untuk menghadiri majlis bersama Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob," katanya.
Kata beliau, pihaknya akan mengadakan konvoi tersebut ke negeri lain pada masa depan dengan penglibatan lebih ramai warga pendidik di daerah itu.
0 comments:
Post a Comment