Fiesta Bera kali kedua yang akan berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat ini tidak hanya memberi tumpuan kepada hiburan semata-mata, tetapi turut diadakan pertandingan azan, nasyid dan forum perdana. Pengerusi pertandingan tersebut, Normadiah Kamaruddin berkata, ia bertujuan mencari kelainan dan mengubah tanggapan segelintir masyarakat bahawa program itu bukan cara melalaikan.
"Program ini melibatkan semua golongan bermula kanak-kanak sehingga warga emas. Jadi kami merangka beberapa acara baru berbanding tahun lepas.
"Pertandingan azan dan nasyid akan diadakan pada hari Jumaat bermula pukul 2.30 petang dan forum perdana pula akan berlangsung pada sebelah malamnya," katanya kepada Utusan Malaysia selepas menghadiri Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Penganjur Fiesta Bera yang dihadiri Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini, semalam.
Menurutnya, program berunsurkan keagamaan itu diadakan bertujuan menerapkan nilai-nilai Islam dalam diri peserta serta para pengunjung fiesta itu. Pada masa sama, katanya, ia juga dapat mencungkil dan mengembangkan bakat peserta bagi pertandingan nasyid.
Normadiah memberitahu, Pertandingan Azan terbahagi kepada dua kategori iaitu bawah 12 tahun dan bawah 18 tahun, manakala pertandingan nasyid hanya terbuka kepada peserta berusia 18 tahun ke atas.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubunginya di talian 019-9166190.
0 comments:
Post a Comment