Seramai 100 peserta membabitkan ahli Persatuan Taiost Tai Chi Kuantan dan orang ramai menyertai Larian Nestle Walking Day yang berlangsung di Pantai Teluk Chempedak di sini, kelmarin.
Dalam larian sejauh 1.5 kilometer itu, peserta turut mengutip sampah dan membersihkan kawasan pantai itu.
Salah seorang peserta, Shahridan Abdul Mubin, 35, berkata, dia teruja kerana turut menyertai program yang julung kalinya dianjurkan oleh syarikat korporat.
Menurutnya, selain mencergaskan badan, mereka juga membantu menjaga alam sekitar yang secara tidak langsung dapat mendidik masyarakat terhadap aktiviti sebegitu.
"Aktiviti tersebut perlu kerap diadakan kerana ia dapat mendidik orang ramai supaya mengamalkan gaya hidup sihat selain memberi kesedaran tentang memelihara alam sekitar," katanya.
Perunding acara, Soh Gaik Nyeoh, 48, menyokong usaha syarikat itu kerana memberi peluang kepadanya berbakti kepada masyarakat. Beliau berharap supaya syarikat korporat lain turut memberi kerjasama dalam aktiviti itu yang memberi manfaat besar kepada masyarakat.
Dalam pada itu, Pengurus Acara dan Penjenamaan Nestle Wilayah Pantai Timur, Mohd. Ismail Osman berkata, syarikat itu akan menganjurkan program yang sama di Bukit Pelindung dekat sini pada 17 Julai depan.
Tambahnya, program itu akan menggalakkan orang ramai berjalan kaki dan mengeratkan lagi hubungan antara jenama itu dengan masyarakat khususnya di daerah ini.
0 comments:
Post a Comment