Pertandingan berkayak lazimnya menyaksikan setiap peserta sanggup bergadai nyawa mengharungi risiko semata-mata untuk ke garisan penamat.
Bagaimanapun, ia berbeza dalam pertandingan kayak di bawah Program Rakan Alam Sekitar di Sungai Lembing, dekat sini baru-baru ini. Juara dinobatkan kepada peserta yang paling banyak mengutip sampah di dalam sungai. Pertandingan kayak yang bermula dari Kampung Sungai Rimau itu mengambil masa dua jam untuk sampai ke lokasi terakhir di Kampung Kuala Kernau, Sungai Lembing.
Antara peserta terlibat ialah dari Felda Bukit Goh, Felda Bukit Kuantan, Felda Bukit Sagu dan Sungai Lembing.
Dalam tempoh tersebut, peserta perlu mengutip semua sampah-sarap di dalam atau tepi sungai sebagai usaha mendedahkan masyarakat betapa pentingnya penjagaan alam sekitar. Sebanyak 55 kayak disediakan Jabatan Pelajaran negeri dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) untuk menjayakan program tersebut.
Pada akhir pertandingan, sampah-sarap yang dikutip dibawa ke pusat pengumpulan dan pusat kitar semula bagi bahan-bahan yang boleh dikitar semula.
Pemenang pertandingan tersebut menerima wang tunai, piala dan hamper yang disampaikan oleh Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Datuk Md. Sohaimi Mohamed Shah.
Abdul Manan berkata, pertandingan anjuran Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar itu bertujuan mendidik generasi muda menghargai sungai kerana ia merupakan sumber air kepada manusia.
"Sungai tersebut bukan sahaja sebagai tempat rekreasi malah, ia juga merupakan sumber air kepada penduduknya terutama ketika terputusnya bekalan air," katanya kepada Utusan Malaysia selepas pertandingan itu.
Menurut Abdul Manan, sungai tersebut dipilih kerana ia merupakan sumber air kepada kira-kira 2,000 penduduk Sungai Lembing apabila terputus bekalan air paip.
"Saya yakin usaha untuk membaik pulih pencemaran sungai akan berhasil jika usaha ini berterusan pada masa akan datang. Peserta bukan sahaja mengutip sisa-sisa pepejal, malah, mereka turut mengutip papan, rangka motosikal dan tayar kenderaan yang dibuang oleh pihak tidak bertanggungjawab," katanya.
Beliau kesal dengan sikap segelintir masyarakat yang menjadikan sungai seolah-olah 'tong sampah' untuk membuang bahan-bahan yang tidak berguna.
"Sungai bukan tempat untuk membuang sampah kerana jika sumber air ini tercemar maka manusia atau masyarakat setempat tidak memperoleh kualiti air yang baik. Malah, mereka akan juga akan menerima kesan jangka panjang seperti penyakit kulit dan taun akibat menggunakan air yang tidak bersih," katanya.
0 comments:
Post a Comment